Diterbitkan pada 5 Februari 2026, 09:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Masyarakat Melayu dahulu terkenal dengan kerajinannya. Mereka menjalankan kegiatan ekonomi sara diri sebagai petani dan pesawah. Mereka juga terkenal sebagai pelaut atau nelayan yang mahir di lautan. Masyarakat Melayu pada waktu ini mengusahakan tanaman padi bukit dan padi huma.  Selain padi, mereka juga bertanam jagung, ubi dan sayur-sayuran untuk kelangsungan hidup.

Corak dan gaya kehidupan masyarakat Melayu pada ketika itu sangat bergantung pada alam sekitar di sekeliling mereka. Hal ini dikatakan demikian, masyarakat Melayu terdahulu menjadikan alam sekeliling mereka sebagai perlambangan dan guru bagi mendidik generasi mereka. Perlambangan ini dapat dilihat apabila mereka menggunakan bahasa kiasan berdasarkan tumbuh-tumbahan yang melingkungi kehidupan mereka. Falsafah dan makna yang tersirat dalam pantun, peribahasa, kiasan dan kata-kata hikmat Melayu mengandungi unsur pendidikan, pengajaran dan nasihat yang berguna untuk diamalkan dalam kehidupan masyarakat.

Penanaman padi yang diusahakan sebagai sumber ekonomi mereka dijadikan bahan kiasan untuk berbalas pantun pada waktu senggang. Konsep dan objek padi dikaitkan dengan budi, manakala beras dikaitkan dengan kerja keras dan deras, iaitu kerja yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan cepat. Hal ini dapat dilihat melalui pantun dan peribahasa Melayu yang terkenal dengan makna kiasan berkaitan beras dan padi. Beras adalah hasil daripada padi, Manakala padi yang telah dimasak akan menjadi nasi untuk dimakan.

Masyarakat Melayu menjadikan sifat yang dimiliki oleh padi, beras dan nasi untuk mengungkapkan peribahasa sebagai pesanan kepada generasi mereka. Peribahasa ini diungkapkan sebagai kaedah pengajaran dalam kehidupan mereka. Sebagai contoh peribahasa “bawa resmi padi, makin berisi makin tunduk” yang mengingatkan bahawa semakin banyak ilmu yang dimiliki atau semakin tinggi pangkat yang diduduki, seseorang itu hendaklah semakin merendah diri. Maksud tersirat yang disampaikan melalui peribahasa ini memperlihatkan ketinggian ilmu dan falsafah yang disemai dalam diri masyarakat Melayu terdahulu.

Kiasan yang dikaitkan dengan padi melambangkan hasil usaha dan kerja keras masyarakat Melayu pada ketika itu untuk memperoleh hasil akhir yang dipanggil nasi.  Sebelum menuai hasil padi, pelbagai kerja dan usaha perlu dilakukan termasuklah membajak tanah, menyemai benih, mengubah semaian di petak sawah, menuai, menampi, menjemur dan menumbuk padi. Kesemua aktiviti tersebut perlu dilalui sebelum akhirnya padi tersebut menjadi beras. Usaha ini menunjukkan kerajinan dan ketekunan masyarakat Melayu pada masa dahulu. Konsep kerajinan dan ketekunan dapat dilihat melalui usaha menanam dan menuai padi yang memerlukan tenaga dan usaha yang berterusan.

Menurut Datuk Profesor Emeritus Dr. Nik Safiah Karim dalam Teks STPM Bahasa Melayu, orang Melayu menggunakan bahasa Melayu bermula dengan bahasa Melayu kuno, bahasa Melayu klasik dan bahasa Melayu moden yang menunjukkan sejarah dan perkembangan bahasa Melayu mengikut masa zaman dan eranya berkaitan dengan perkataan istilah dan penggunaan kata. Sejarah bahasa Melayu ini tidak dapat dinikmati oleh generasi muda masa ini. Kepayahan yang dilalui oleh masyarakat Melayu terdahulu dengan menebas dan menebang kayu di hutan, memagar, menanam padi di sawah serta menuai padi. Kesusahan dan kepayahan ini hanya dapat dirasa oleh mereka yang lahir sebelum  negara mencapai kemerdekaan.

Lantaran itu,  lahirlah  peribahasa “berbudi kepada tanah” yang bermaksud berbudi pada tempat yang sesuai akan mendapat hasil dan balasan setimpal. Tanah menjadi sumber semula jadi bagi masyarakat untuk bertanam padi, jagung dan pokok yang akhirnya mendatangkan hasil untuk kegunaan masyarakat Melayu ketika itu. Hasil berbudi kepada tanah ini juga menjadi sumber ekonomi masyarakat Melayu bermula dengan sistem pertukaran barang (sistem Barter) kepada sistem mata wang dan jual beli. Perkembangan ini membolehkan masyarakat Melayu berkembang dari aspek ekonomi.

Selain itu, peribahasa Melayu yang berbunyi “kalau ada padi, semua kerja jadi” yang bermaksud jika ada upah yang setimpal semua tugas yang dilakukan akan jadi sempurna. Begitu juga dengan peribahasa “kalau ada beras, semua kerja deras” yang bermaksud jika ada upah, semua kerja akan cepat disiapkan. Berdasarkan peribahasa tersebut, dapat dilihat bahawa pemikiran masyarakat Melayu yang mementingkan adab dan kesantunan untuk berbicara, lebih-lebih lagi perihal yang berkaitan dengan pemberian upah atau gaji. Falsafah beras dan padi yang digunakan amat signifikan dengan fungsi utama beras dan padi sebagai makanan ruji masyarakat Melayu pada ketika itu.

Kajian menunjukkan kaitan bahasa dengan kehidupan masyarakat sangat erat. Masyarakat Melayu menggunakan bahasa setiap masa untuk berkomunikasi sesama mereka. Bahasa digunakan sebagai kiasan dan pedoman dalam kehidupan. Falsafah dan makna tersirat difahami dan dijadikan sebagai pengajaran. Bahasa yang digunakan di sebalik kiasan padi, beras dan nasi yang sangat akrab dengan kehidupan orang Melayu terdahulu. Padi dikaitkan dengan budi atau kerja yang menjadi, manakala beras dikaitkan dengan semangat  kerja keras, seterusnya nasi melambangkan hasil usaha yang dapat diperoleh melalui kerja keras.

Pendeta Za’ba dalam Ilmu Mengarang Melayu menyebutkanbahawa bahasa kiasan mempunyai perkaitan antara bahasa dengan pemikiran. Bahasa yang diungkapkan bagi  sesuatu perkara dengan kiasan terhadap perkara lain, iaitu dengan membuat bandingan antaranya supaya dapat menjelaskan tentang sesuatu yang dikatakan atau diceritakan bagi menguatkan maknanya.

Peribahasa lain yang mengungkapkan kata padi, beras dan nasi sebagai kiasan termasuklah “ada hari, ada nasi” membawa maksud  jika masih hidup pasti ada rezeki;  “ada nasi di sebalik kerak” yang bermaksud satu masalah yang timbul belum selesai, datang pula masalahyang lain; peribahasa “air diminum rasa duri, nasi dimakan rasa sekam” bermaksud rasa yang tidak selesa dan kepayahan dalam kehidupan yang dirasakan.

Kesimpulannya, masyarakat Melayu yang terkenal dengan kehalusan adab dan budi serta semangat kental semasa bekerja menggunakan bahasa yang indah untuk memberikan pesanan dan pengajaran. Falsafah dan pemikiran mereka tentang resam padi, beras dan nasi membawa pelbagai kiasan untuk dijadikan pegangan dalam hidup. Akal budi Melayu yang sangat tinggi dan terpuji dapat dilihat dan diteliti melalui bahasanya terutamanya pantun, peribahasa dan kata-kata hikmat. Kemahiran menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan serta idea yang kritis dan kreatif melalui pengucapan bahasa yang indah ini merupakan khazanah yang perlu diwarisi oleh generasi muda hari ini agar tidak hilang ditelan zaman.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi