Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSelandar — Satu Program Pemulihan Bahasa Melayu telah dilaksanakan bagi menilai tahap penguasaan membaca dan menulis dalam kalangan murid kelas pemulihan di Sekolah Kebangsaan (SK) Selandar, semalam.
Program berimpak ini melibatkan kerjasama strategik antara pensyarah dari Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh yang diketuai oleh YBrs. Dr. Nurul Jamilah Rosly dengan guru Bahasa Melayu serta pentadbir sekolah SK Selandar. Pelaksanaan program yang berlangsung sepanjang sesi persekolahan mencerminkan komitmen berterusan oleh guru dan murid dalam usaha memperkasakan literasi awal murid.
Menurut YBrs. Dr. Nurul Jamilah Rosly, program ini dianjurkan bagi memperkukuh kemahiran asas bahasa Melayu sejajar aspirasi memartabatkan bahasa kebangsaan sejak dari peringkat awal pendidikan.
Tambah beliau,
Pendekatan ujian diagnostik literasi dilaksanakan secara sistematik bagi menilai kesedaran fonologi, kefahaman bacaan dan keupayaan menulis murid kelas pemulihan.
Penilaian ini merangkumi aspek pengecaman bunyi dan huruf, ketepatan sebutan, pemahaman makna teks mudah, serta kebolehan membina perkataan dan ayat asas.
Di samping itu, dapatan ujian dianalisis secara terperinci bagi menghasilkan profil literasi individu murid, seterusnya menjadi asas terhadap perancangan intervensi pemulihan yang bersasar dan berperingkat. Antara intervensi yang dirangka termasuklah latihan sebutan berfokus, aktiviti pengayaan kosa kata kontekstual, serta bimbingan penulisan asas yang menekankan struktur ayat, ejaan dan tanda baca. Pendekatan ini bagi memastikan sokongan yang diberikan lebih tepat, berkesan dan selari dengan keperluan sebenar murid.

Menurut beliau lagi, pendekatan berfokus dan berasaskan data ini membolehkan guru mengenal pasti kelemahan murid secara sistematik serta merancang sokongan yang lebih berkesan.
Sementara itu, Guru Besar SK Selandar, Encik Mohd Nazri bin Ahmad menegaskan bahawa penguasaan bahasa Melayu yang mantap merupakan tunjang kejayaan akademik dan pembentukan jati diri murid. Program ini diharap dapat meningkatkan keyakinan murid, memantapkan literasi, dan menyokong usaha berterusan memartabatkan bahasa Melayu di sekolah.