Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada era Revolusi Industri 4.0, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan chatbot bukan lagi sekadar konsep futuristik. Kini, teknologi ini menjadi sebahagian daripada ekosistem komunikasi harian manusia. Daripada khidmat pelanggan, penterjemahan, penulisan automatik sehinggalah bidang pendidikan, chatbot berasaskan AI, seperti Siri, Alexa dan ChatGPT, mula mengambil tempat sebagai perantara komunikasi yang pantas, cekap dan menjimatkan masa.
Namun begitu, persoalan besar yang perlu ditimbulkan ialah implikasi kemunculan teknologi ini terhadap bahasa manusia, khususnya bahasa Melayu. Persoalan lain ialah persoalan, sama ada teknologi ini mewakili masa hadapan komunikasi yang canggih atau membuka ruang kemunduran kebahasaan yang baharu.
Kecerdasan buatan dilatih melalui pembelajaran mesin menggunakan berjuta-juta data bahasa daripada pelbagai sumber. Dalam konteks chatbot, AI menghasilkan teks atau ucapan seperti manusia yang lengkap dengan nada, gaya dan konteks. Fenomena ini menandakan transformasi besar dalam cara manusia menggunakan dan memahami bahasa.
Bagi bahasa Melayu, chatbot AI membuka peluang besar. Peluang ini membantu memperluas penggunaan bahasa dalam sistem pintar, meningkatkan keupayaan terjemahan dan penghasilan teks, serta menjadikan bahasa Melayu lebih relevan dalam ekosistem digital global. Perkara ini memberikan peluang keemasan kepada bahasa tempatan untuk berkembang selari dengan teknologi antarabangsa.
Chatbot membolehkan komunikasi dua hala yang pantas dalam pelbagai bidang. Misalnya, pelajar di kawasan pedalaman berpeluang untuk mendapatkan bantuan pembelajaran melalui chatbot berbahasa Melayu. Penerbit dan penulis pula dapat menggunakan AI untuk menjana idea, menyemak tatabahasa atau menterjemahkan kandungan.
Dalam jangka masa panjang, AI dapat membantu usaha pendokumentasian dan pemuliharaan dialek Melayu, serta menjadi medium latihan untuk penutur bukan jati yang ingin mempelajari bahasa ini. Situasi ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada penutur natif, tetapi juga memberikan manfaat kepada penutur bukan natif.
Walau bagaimanapun, kebergantungan terhadap AI dalam komunikasi membawa bahaya baharu terhadap integriti bahasa. Bahasa yang dijana oleh chatbot sering kelihatan terlalu lurus, generik dan kekurangan nuansa budaya. Sistem AI cenderung untuk menormalisasikan satu bentuk bahasa sahaja, iaitu dalam bentuk standard atau yang paling banyak dipaparkan dalam data latihan.
Hal ini dapat menyebabkan pengabaian kepelbagaian ragam bahasa, termasuklah keunikan dialek, peribahasa dan gaya penulisan sastera. Lebih membimbangkan, generasi muda mula meniru gaya bahasa chatbot yang seragam dan kurang ekspresi budaya sehingga melunturkan keindahan semula jadi bahasa Melayu yang penuh dengan makna tersirat dan berestetika.
Satu lagi isu kritikal ialah ketepatan maklumat dan bias dalam pemprosesan bahasa. Chatbot tidak memahami makna sebagaimana manusia, tetapi menjana maklum balas berdasarkan corak statistik. Perkara ini dapat menyebabkan kesilapan fakta, tafsiran konotasi yang salah atau penggunaan istilah yang tidak sesuai dari segi budaya.
Selain isu ini, terdapat isu lain yang tidak kurang pentingnya. Jika data latihan tidak mencukupi atau tidak mewakili pelbagai aspek bahasa Melayu, termasuklah variasi etnik, geografi dan konteks budaya, AI dapat memperkukuh bias bahasa yang secara tidak langsung meminggirkan kumpulan minoriti linguistik.
Dalam dunia yang makin digital, keseimbangan antara teknologi dengan nilai kemanusiaan menjadi kunci yang dapat mengatasi cabaran ini. Kecerdasan buatan dan chatbot seharusnya dilihat sebagai alat bantu bahasa, bukannya pengganti penutur bahasa. Pengguna bahasa perlu memiliki kepekaan bahasa yang tinggi agar tidak menerima bulat-bulat setiap jawapan atau struktur bahasa yang diberikan oleh mesin. Pendidik dan penggiat bahasa juga berperanan penting untuk membimbing masyarakat agar memanfaatkan AI tanpa mengabaikan asas bahasa yang betul, bernuansa dan beretika.
Penggunaan chatbot dan teknologi AI dalam komunikasi pada masa ini yang makin meluas mewujudkan kebimbangan terhadap pengabaian unsur emosi yang menjadi asas dalam interaksi manusia. Walaupun AI mampu memberikan maklum balas dengan pantas dan tepatnya, bahasa yang digunakan sering bersifat literal, neutral dan mekanikal. Ketiadaan emosi yang tulen menjadikan komunikasi digital terasa hambar, tidak berjiwa dan tidak menyentuh perasaan, terutamanya apabila melibatkan situasi yang memerlukan empati dan keprihatinan.
Dalam konteks masyarakat Malaysia yang kaya dengan nilai kesantunan dan emosi dalam pertuturan harian, kekosongan emosi ini bukan sahaja mengganggu penyampaian maksud tersirat, malah dapat mencetuskan salah tafsir, rasa terasing dan pengasingan sosial. Lebih membimbangkan, kebergantungan terhadap AI dalam komunikasi harian berpotensi untuk menjejaskan hubungan insaniah, melemahkan kemahiran sosial dan mengikis nilai murni, seperti empati, toleransi dan kasih sayang dalam kalangan pengguna, khususnya generasi muda yang makin selesa berinteraksi secara maya.
Kesimpulannya, Chatbot dan AI bukanlah musuh bahasa, tetapi alat yang mencerminkan dan memperkukuh keupayaan bahasa jika digunakan secara bijaksana. Cabarannya terletak pada manusia, sama ada menjadi pengguna yang pasif atau menjadi agen yang proaktif bagi memastikan bahasa Melayu terus hidup, berkembang dan bermaruah dalam dunia digital pada masa ini. Masa hadapan komunikasi mungkin makin canggih, tetapi nilai bahasa tetap terletak pada kefahaman, kehalusan dan kemanusiaan di balik kata-kata.