Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKali pertama penulis bertegur sapa dengan seorang penutur Arab, penulis dikejutkan bukan dengan kosa kata yang digunakan, tetapi cara sapaan itu dilontarkan. Selepas ucapan “Assalamualaikum”, beliau terus menambah beberapa soalan secara bertalu-talu tentang keadaan saya, keluarga, pekerjaan, disusuli pula dengan doa serta pujian. Soalan tersebut datang begitu laju sehingga saya sendiri tidak sempat menjawab setiap satunya, walhal kebanyakan jawapannya hampir sama.
Hal ini berbeza dengan budaya Melayu yang sapaannya tidaklah sebanyak ataupun bertalu-talu seperti dalam budaya Arab. Malah, pengalaman tersebut juga berbeza daripada buku teks ketika mula mempelajari Bahasa Arab Komunikasi. Saat itu, penulis sedar bahawa rasa janggal yang menyelinap bukan semata-mata kerana perbezaan bahasa, tetapi kerana cara dua budaya menguruskan sapaan kecil atau pembuka bicara. Hal ini yang sering kita sebut sebagai small talk.
Dari sudut pragmatik, sapaan bukan lagi sekadar “Assalamualaikum”, “Apa khabar?” atau “Kaifa ḥāluk?”, tetapi menjadi medan halus yang memperlihatkan cara bahasa digunakan untuk memelihara hubungan sosial, mengekalkan keharmonian, dan menguruskan jarak antara dua jiwa yang saling berinteraksi. Dalam erti kata lain, yang diteliti bukan lagi apakah yang disebut, tetapi bagaimanakah, kepada siapakah dan untuk tujuan apakah sesuatu ujaran itu dilafazkan.
Memahami Sapaan dari Sudut Pragmatik
Dalam kehidupan seharian, hampir setiap perbualan bermula dengan perbualan ringan sebelum beralih kepada perkara yang dianggap lebih penting. Dalam budaya Melayu, pertanyaan seperti “Apa khabar?”, “Dah makan?” atau “Sihat?” sudah menjadi sebahagian daripada rutin sosial yang begitu biasa sehingga kadangkala tidak lagi difikirkan maknanya. Begitu juga dalam bahasa Arab, ungkapan seperti sobāḥ al-khayr, ahlan wa sahlan atau kaifa ḥāluk? memainkan fungsi yang sama sebagai pembuka bicara.
Menurut Bronisław Malinowski, ahli antropologi dan etnologi dari Poland, fenomena ini berada dalam kategori yang dikenali sebagai komunikasi fatik, iaitu penggunaan bahasa bukan untuk menyampaikan maklumat baharu, tetapi untuk menyambung ikatan serta mengekalkan dan mengeratkan hubungan.
Pertanyaan yang kerap muncul dalam sapaan kecil masyarakat Melayu “Sudah makan?” misalnya bukanlah benar-benar bertujuan menyiasat sama ada seseorang itu sudah kenyang ataupun masih lapar, akan tetapi hal tersebut membawa mesej yang tersirat, iaitu kita mengambil peduli tentang pihak yang diajak berbual dan sedang membuka ruang untuk proses komunikasi selanjutnya. Oleh itu, walaupun penutur dalam kalangan masyarakat kita sudah mengetahui bahawa seseorang itu baru sahaja makan, soalan tersebut tetap ditanyakan.
Begitu juga dalam bahasa Arab, rangkaian soalan yang panjang, doa yang berulang serta pujian yang diselitkan bukan sekadar hiasan retorik, sebaliknya lambang bahawa orang yang disapa itu diiktiraf, dihormati dan dianggap penting dalam ruang sosial penuturnya.
Apabila sapaan dilihat dari sudut ini, barulah jelas bahawa setiap “apa khabar?” dan “kaifa ḥāluk?” membawa beban makna budaya yang jauh lebih berat daripada yang kelihatan pada permukaan. Di sinilah sering berlaku salah faham. Penutur dari dua budaya boleh sahaja memahami kosa kata yang digunakan, tetapi masih tersalah tafsir kerana mereka tidak berkongsi norma budaya yang sama di sebalik penggunaan kata-kata itu.
Seni Sapaan dalam Budaya Melayu dan Arab
Masyarakat Melayu dan Arab pada asasnya berkongsi nilai yang hampir sama, iaitu menyanjung kesantunan, keharmonian dan keakraban. Namun demikian, cara nilai ini dizahirkan melalui sapaan sangat berbeza. Dalam budaya Melayu, seni sapaan biasanya mengikuti pola yang lebih teratur, tersusun dan berhati-hati. Penutur Melayu terkenal dengan gaya pertuturan yang berlapik dan halus, serta amat sensitif terhadap konteks sosial, terutama apabila melibatkan status, umur dan jarak hubungan. Di Malaysia, sapaan bukan sekadar pembuka bicara, sebaliknya sebagai sebahagian daripada adat dan budi bahasa yang menjadi lambang maruah diri dan keluarga.
Seseorang mungkin memulakan bicara dengan “Assalamualaikum” atau “Selamat pagi”, lalu diikuti dengan pertanyaan ringan seperti “Apa khabar?” yang biasanya dijawab, “Baik, alhamdulillah” atau “Baik, terima kasih.” Rutin yang kelihatan biasa ini sebenarnya memainkan peranan penting untuk melindungi “muka” pendengar istilah yang digunakan dalam teori kesantunan linguistik yang diketengahkan oleh Brown dan Levinson yang merupakan cendekiawan bidang pragmatik untuk merujuk imej diri yang ingin dipelihara oleh seseorang dalam interaksi sosial.
Orang Melayu sangat berhati-hati agar kata-kata tidak menjadi punca hati orang lain tercalar. Tidak hairanlah peribahasa seperti “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya” terus menjadi pegangan.
Dalam banyak keadaan, pertanyaan yang terlalu terus atau menyentuh hal peribadi seperti gaji, umur, atau status perkahwinan akan cuba dielakkan dalam fasa awal perbualan. Gelaran dan panggilan kekeluargaan seperti abang, kakak, pakcik, makcik, ustaz dan cikgu bukan sahaja digunakan dalam konteks keluarga sebenar, tetapi juga diperluaskan kepada orang lain sebagai tanda hormat dan keakraban. Semuanya ini adalah strategi pragmatik untuk membina hubungan yang mesra tanpa menimbulkan rasa terancam atau tersinggung.
Sebaliknya, dalam budaya Arab, kehangatan itu ditunjukkan secara lebih langsung dan terbuka. Sapaan Arab sering kali datang dalam bentuk rangkaian yang panjang, ekspresif dan penuh emosi. Salam asas “Assalamualaikum” lazimnya disambung dengan “waraḥmatullāhi wabarakātuh”, diikuti pula dengan pertanyaan bertubi-tubi, “Kaifa ḥāluk? Kaifa al-‘ā’ilah? Kaifa awḍā‘ al-‘amal?” (Bagaimanakah keadaanmu?, bagaimanakah keluargamu?, bagaimanab kerja kamu?). Dalam banyak situasi, doa seperti Allāhu yuḥfazuk, Allāhu yubariku fīk atau Allāhu yuwaffiq akan disisipkan sepanjang perbualan bukan sekadar pada awal atau pada akhir bicara sebagai penutup.
Bagi penutur Arab, soalan sedemikian bukan bentuk pencerobohan terhadap privasi, sebaliknya dianggap sebagai tanda keprihatinan dan penghormatan. Dengan bertanya tentang keluarga, pekerjaan, kesihatan atau rezeki, mereka sebenarnya meletakkan orang yang disapa itu dalam lingkungan perhatian dan kasih sayang sosial. Dalam masyarakat yang cenderung kolektivis apabila hubungan kemanusiaan sering dinilai lebih tinggi daripada keutamaan individu. Gaya sapaan sebegitu menjadi lambang tulusnya keinginan untuk benar-benar mengenali dan mengiktiraf kehadiran orang lain.
Titik Temu dan Pergeseran Pragmatik
Di sinilah bermulanya titik geseran. Seorang Melayu mungkin berasa seolah-olah “disoal siasat” apabila baru beberapa saat berjumpa, sudah ditanya tentang hal keluarga dan status perkahwinan. Seorang Arab pula barangkali berasa sapaan “Apa khabar?” yang terlalu ringkas dan tidak disusuli soalan lanjut sebagai hambar atau kurang ikhlas. Kedua-duanya datang dengan niat yang baik, tetapi strategi yang digunakan berbeza hampir pada setiap peringkat sama ada dari sudut intonasi, pilihan kata, panjang sapaan, malah cara tersenyum, ketawa dan mengangguk.
Dari sudut pragmatik, situasi ini boleh dilihat sebagai satu bentuk kegagalan pragmatik, iaitu kegagalan memahami makna sosial di sebalik ujaran walaupun struktur dan kosa kata dapat difahami. Keadaan ini lebih rumit daripada kesalahan tatabahasa biasa kerana kedua-dua pihak mungkin tidak menyedari bahawa mereka sedang menyinggung atau sedang tersinggung. Mereka hanya berasa “orang sana kasar” atau “orang sini dingin dan hambar”, tanpa menyedari bahawa kedua-dua pihak sebenarnya sedang berusaha untuk bersopan santun menurut acuan budaya masing-masing.
Literasi Pragmatik Lintas Budaya sebagai Kunci Penyelesaian
Dalam dunia yang semakin rencam dan saling terhubung hari ini, literasi pragmatik antara budaya menjadi semakin penting. Apabila kita mempelajari bahasa Arab, bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau apa-apa bahasa sekalipun, penguasaan struktur dan makna literal sahaja tidak memadai. Kita perlu memahami bilakah sesuatu ungkapan wajar digunakan, kepada siapakah ucapan tersebut ditujukan, dan dalam suasana emosi yang bagaimanakah ucapan tersebut perlu disampaikan.
Seorang pelajar yang belajar di negara Arab akan memahami bahawa “Kaifa ḥāluk?” yang disusuli deretan soalan dan doa bukanlah tekanan sosial, tetapi tanda kehangatan dalam berbicara. Begitu juga, seorang pelajar Arab yang datang ke Malaysia perlu diberi kefahaman bahawa kesantunan Melayu bukan terletak pada banyaknya pertanyaan, tetapi pada keikhlasan yang tersirat dalam bahasa yang berlapik dan nada yang tenang.
Sapaan dalam konteks ini boleh dilihat sebagai sebuah jambatan empati. Apabila kita memahami bahawa ada budaya yang menunjukkan sayang dengan bertanya banyak perkara, dan ada pula budaya yang menunjukkan hormat dengan tidak bertanya terlalu banyak, kita akan menjadi lebih berhati-hati untuk menilai orang lain. Orang Arab yang bertanya banyak tidak semestinya suka “jaga tepi kain orang”. Mereka mungkin sedang menghamparkan karpet ukhuwah kepada kita. Orang Melayu yang berhati-hati pula bukan semestinya dingin, sebaliknya mereka mungkin sedang melindungi maruah dan “muka” agar tidak terasa diganggu dengan pertanyaan yang terlalu dalam.
Pelajaran yang paling praktikal ialah perlunya kesediaan untuk menyesuaikan diri tanpa perlu mengorbankan identiti budaya sendiri. Penutur Melayu yang berinteraksi dengan penutur Arab mungkin boleh berlatih untuk berasa lebih selesa dengan gaya sapaan yang lebih terbuka dan penuh ekspresi, serta sedikit demi sedikit belajar membalas dengan doa, pujian dan pertanyaan lanjut yang sesuai. Penutur Arab pula, apabila bergaul dengan masyarakat Melayu, boleh memilih untuk memperlahankan tempo sapaan, mengurangkan bilangan soalan peribadi pada awal perbualan, dan memberikan ruang kepada orang Melayu untuk membuka diri secara berperingkat.
Jika ada satu kesimpulan yang ingin saya tinggalkan, saya boleh simpulkan bahawa kita menghormati orang lain bukan sahaja dengan menggunakan bahasa yang kita anggap sopan, namun dengan berusaha memahami serta mampu menggunakan bahasa yang mereka anggap indah. Kadangkala semuanya bermula dengan satu sapaan kecil yang kita pilih. Kita menghormati orang lain bukan dengan bahasa yang kita fikir sudah memadai, tetapi dengan bahasa yang mereka anggap indah dan sopan dalam kerangka budaya mereka. Di situlah pada hemat penulis, budi bahasa sejati menemukan maknanya selaras dengan slogan “Budi Bahasa Budaya Kita”