Diterbitkan pada 13 Mac 2026, 15:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Landskap penerimaan karya berbahasa Melayu mengalami anjakan paradigma yang signifikan, serta menonjolkan kematangan dan kepelbagaian karya tempatan. Hal ini dapat dilihat menerusi kejayaan beberapa filem dan drama tempatan yang menembusi pasaran melalui platform penstriman global. Secara tidak langsung, keadaan ini mencetuskan fenomena baharu yang menunjukkan peningkatan minat dan permintaan terhadap kursus Bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa.

Gelombang baharu yang disalurkan melalui medium visual dan naratif yang menarik membuktikan bahawa bahasa mampu diajar dan dihayati bukan lagi melalui hafalan kosa kata semata-mata, tetapi juga melalui lakonan yang mengandungi interaksi emosi dan apresiasi budaya yang sebenar dalam drama dan filem. Kaedah ini merupakan saluran yang jauh lebih berkesan kerana mengukuhkan status bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa.

Keupayaan platform global yang menyediakan sari kata dan alih bahasa yang berkualiti menjadi pemangkin utama bagi peningkatan pendedahan bahasa Melayu di arena global. Perkara ini bukan suatu kebetulan kerana teknologi pada masa ini mampu menyaingi keupayaan terjemahan manusia dan mencatatkan jumlah tontonan yang tinggi apabila disebarkan dalam media sosial. Kemudahan ini menjadi gerbang pengenalan nuansa bahasa dan sosiobudaya di rantau Melayu.

Pemaparan sari kata dalam drama dan filem juga menonjolkan keupayaan penterjemah budaya secara tidak langsung. Hal ini dapat dilihat dari aspek kemampuan penterjemah untuk menterjemahkan nuansa, istilah slanga tempatan dan peribahasa Melayu yang sukar difahami oleh penonton tempatan dan penonton asing tanpa menjejaskan dialek dan sensitiviti budaya.

Penayangan drama dan filem tempatan di persada antarabangsa ini menyebabkan banyak orang berminat untuk mengenali dan mempelajari bahasa Melayu. Hal ini disokong oleh laporan tidak rasmi daripada beberapa pusat bahasa universiti di Eropah dan Asia Timur yang menunjukkan peningkatan pertanyaan tentang kursus Bahasa Melayu selepas siri tertentu ditayangkan.

Fenomena ini membuka ruang untuk mempelajari bahasa Melayu yang hidup dan dinamik melalui dialog drama dan filem tempatan yang kaya dengan slanga, dialek dan ekspresi emosi yang autentik. Hal ini mewujudkan motivasi intrinsik dan mencabar anggapan lama bahawa bahasa hanya boleh diajar di bilik kuliah dengan cara menghafal kosa kata daripada buku teks atau pembelajaran berasaskan struktur.

Pelajar dari negara luar dapat melihat cara bahasa itu digunakan dan cara jati diri ditonjolkan untuk meluahkan kasih sayang, kemarahan atau kesantunan dalam komunikasi harian dan situasi formal. Perkara ini sukar diajar melalui sukatan akademik semata-mata. Oleh itu, media hiburan berfungsi sebagai kurikulum sokongan pembelajaran yang paling berkesan.

Kesan positif terhadap pembelajaran ini dapat dilihat melalui peningkatan kualiti kefahaman dalam kalangan pelajar asing. Banyak pelajar asing melaporkan bahawa dirinya bukan sahaja mampu mengikuti alur cerita, tetapi juga berupaya untuk mengulas kedalaman plot, kesatuan watak dan keberkesanan tema yang disampaikan dalam drama dan filem tempatan.

Tahap penguasaan ini diukur apabila pelajar menganalisis dialog atau sari kata tertentu untuk memahami konteks sosial atau maksud peribahasa yang digunakan. Cara ini membantu pelajar asing membezakan antara pertuturan santai dengan pertuturan formal (baku) yang sesuai dalam konteks tertentu.

Kemahiran berbahasa memerlukan penghayatan budaya yang mendalam agar mesej yang disampaikan bukan sahaja menepati makna literal, malah kaya dengan nuansa emosi. Hal ini dikatakan demikian kerana drama dan filem tempatan yang menonjolkan watak berbudaya tinggi tidak akan menyatakan sesuatu secara literal.

Kejayaan filem berbahasa Melayu pada peringkat global mencetuskan lonjakan peluang baharu dalam industri kreatif tempatan, sekali gus meningkatkan nilai komersial bahasa Melayu. Bahasa yang digunakan dalam filem mempunyai nilai sentimental tersendiri apabila membabitkan komunikasi manusia yang mempunyai dua keadaan fizikal yang berbeza sehingga mempengaruhi naluri penonton. Tidak dapat disangkal bahawa penulis yang mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi diiktiraf pada peringkat dunia kerana mampu menghasilkan skrip yang menarik dan autentik tanpa menjejaskan kualiti tatabahasa dan peristilahan.

Sebagai contoh, drama romantik komedi dan cakera sains Gadis Masa berjaya memaparkan perbezaan halus bahasa Melayu sepanjang tempoh 11 tahun latar cerita tersebut. Bagi babak dengan latar tahun 2014, drama ini menggunakan slanga atau lingo yang popular pada era tersebut (walaupun tidak ekstrem). Bagi babak dengan latar pada tahun 2025 pula, drama ini menggunakan slanga digital yang lebih moden dan terkini yang mencerminkan perkembangan kosa kata Melayu dalam media sosial.

Menerusi drama tersebut, penonton asing dapat mengetahui bahawa istilah bahasa Melayu turut berkembang. Hal ini membuktikan bahawa drama tempatan mampu bersaing dengan karya antarabangsa dari segi estetika dan keaslian idea.

Filem Lelaki Komunis Terakhir pula diiktiraf kerana keberanian linguistik dan naratif. Walaupun berbentuk dokumentari, filem ini menggunakan bahasa Melayu yang puitis, bersifat esei dalam naratif dan mengandungi dialog yang berani.

Selain itu, filem Hanyut satu daripada filem Melayu berprofil tinggi diiktiraf kerana nilai produksi dan penggunaan bahasanya yang kompleks. Filem ini juga menampilkan dialog dalam bahasa Melayu tinggi yang sarat dengan unsur sastera, serta memaparkan pertembungan antara budaya Melayu dengan budaya Eropah.

Kedua-dua filem ini membantu penutur asing, terutamanya pelajar, untuk menguasai kosa kata dan struktur ayat bahasa Melayu yang betul dan memahami identiti budaya tempatan. Hal ini dikatakan demikian kerana filem ini mengandungi nilai kesantunan, kehalusan budi dan kekayaan metafora.

Namun begitu, kejayaan ini tidak boleh dianggap sebagai jaminan yang berterusan. Hakikatnya, kekuatan sesebuah drama dan filem tidak semestinya bergantung pada skala produksi semata-mata, tetapi pada ketelitian bahasa dalam penyampaian cerita berbahasa Melayu tersebut.

Bagi memastikan kesinambungan dan kualiti bahasa Melayu dalam drama dan filem tempatan dipertahankan, terdapat keperluan kritikal yang perlu dipenuhi. Dalam hal ini, penggiat industri kreatif mesti mengekalkan standard kualiti bahasa yang tinggi dan mengelakkan penggunaan bahasa rojak yang berlebihan yang dapat mengelirukan penutur asing.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi