Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam tradisi masyarakat Melayu, sesuatu majlis bukan sekadar menjadi ruang pertemuan atau acara rasmi semata-mata. Majlis merupakan medan yang menampilkan nilai budaya, adab dan kehalusan bahasa masyarakat. Dalam konteks ini, peranan pengacara majlis amat penting kerana individu inilah yang mengemudi perjalanan acara dan membentuk suasana sepanjang majlis berlangsung.
Walaupun tugas pengacara majlis sering dianggap sekadar memperkenalkan tetamu atau mengumumkan atur cara, tanggungjawab tersebut menuntut kemahiran bahasa yang tinggi. Bahasa yang digunakan oleh pengacara majlis bukan sahaja berfungsi sebagai alat komunikasi, malah menjadi wahana retorik, adab dan hiburan yang mampu mencorakkan pengalaman hadirin. Oleh itu, keupayaan pengacara majlis untuk mengolah bahasa dengan baiknya dapat menentukan, sama ada sesuatu majlis meninggalkan kesan yang mendalam kepada hadirin atau tidak.
Secara umumnya, bahasa yang digunakan oleh pengacara majlis dapat dianggap sebagai cerminan bagi keseluruhan acara. Melalui tutur kata yang tersusun, jelas dan sopan, pengacara majlis dapat mencerminkan tahap profesionalisme penganjur dan nilai budaya yang dipegang oleh masyarakat.
Dalam majlis rasmi, seperti seminar, konvokesyen atau majlis anugerah, penggunaan bahasa Melayu baku amat penting. Struktur ayat perlu jelas dan sistematik agar maklumat dapat disampaikan dengan tepatnya. Pemilihan kata juga perlu dilakukan secara berhati-hati supaya tidak menimbulkan kekeliruan atau salah tafsir.
Sebaliknya, dalam majlis yang lebih santai, seperti majlis perkahwinan atau majlis kesyukuran, gaya bahasa dapat disampaikan secara lebih mesra dan santai. Walau bagaimanapun, kesantunan bahasa tetap perlu dijaga kerana majlis tersebut melibatkan tetamu daripada pelbagai latar belakang.
Dalam hal ini, pengacara majlis yang mahir lazimnya mampu menyesuaikan gaya bahasa mengikut konteks majlis. Keupayaan ini memerlukan kepekaan terhadap suasana dan kefahaman terhadap norma budaya masyarakat.
Apabila mengacarakan sesuatu majlis, unsur retorik perlu digunakan. Retorik merujuk seni penggunaan bahasa secara berkesan untuk menarik perhatian dan mempengaruhi pendengar bagi memastikan hadirin sentiasa memberikan perhatian terhadap perjalanan acara.
Antara teknik retorik yang sering digunakan oleh pengacara majlis termasuklah penggunaan metafora, pengulangan dan susunan ayat yang bersifat dramatik. Teknik ini membantu pengacara majlis untuk mencipta kesan emosi dan menjadikan penyampaiannya lebih berkesan.
Selain itu, penggunaan pantun dan peribahasa juga menjadi unsur penting dalam pengacaraan majlis yang berteraskan budaya Melayu. Pantun bukan sahaja memperindah bahasa, malah mencerminkan kehalusan pemikiran masyarakat Melayu yang gemar menyampaikan mesej secara tersirat.
Seterusnya, dalam budaya Melayu, bahasa tidak dapat dipisahkan daripada konsep adab. Adab berbahasa merujuk cara seseorang itu menyampaikan katanya dengan penuh kehormatan dan kesopanan.
Pengacara majlis perlu memastikan agar setiap ucapan disampaikan dengan tertibnya, terutamanya ketika memperkenalkan tetamu kehormat atau individu penting. Penggunaan gelaran yang tepat, seperti “Yang Berhormat”, “Yang Berbahagia” atau “Yang Berusaha” merupakan tanda penghormatan yang penting dalam konteks majlis rasmi.
Selain itu, pengacara majlis juga perlu memastikan nama individu disebut dengan betulnya. Kesilapan menyebut nama atau gelaran dapat menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan tetamu.
Adab juga merangkumi kepekaan terhadap sensitiviti sosial. Dalam sesetengah keadaan, jenaka yang tidak sesuai dapat menyinggung perasaan pihak tertentu. Oleh itu, pengacara majlis perlu berhati-hati ketika menggunakan humor agar tidak melampaui batas kesopanan.
Selain menyampaikan maklumat, pengacara majlis juga bertanggungjawab untuk menceriakan suasana. Unsur hiburan dalam pengacaraan majlis dapat membantu mengelakkan suasana menjadi terlalu formal atau kaku.
Hiburan ini boleh hadir dalam bentuk pantun, gurauan ringan atau kisah pendek yang berkaitan dengan majlis. Namun demikian, unsur hiburan perlu disampaikan secara sederhana agar tidak mengganggu perjalanan acara utama.
Pada era globalisasi, penggunaan bahasa dalam pengacaraan majlis turut menghadapi pelbagai cabaran. Antaranya termasuklah kecenderungan untuk mencampuradukkan antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris dalam satu ayat. Fenomena ini sering berlaku, terutamanya dalam majlis yang melibatkan generasi muda.
Walaupun penggunaan bahasa Inggeris tidak dapat dielakkan dalam konteks tertentu, pengacara majlis perlu memastikan agar bahasa Melayu tetap menjadi bahasa utama dalam pengacaraan majlis. Hal ini penting bagi memelihara martabat bahasa kebangsaan.
Selain itu, pengaruh media sosial juga menyebabkan gaya bahasa menjadi makin santai dan ringkas. Dalam pengacaraan majlis, penggunaan bahasa yang terlalu santai dapat menjejaskan imej profesional pengacara majlis.
Oleh itu, pengacara majlis perlu sentiasa memperkukuh kemahiran berbahasa melalui pembacaan, latihan dan pendedahan terhadap karya sastera Melayu. Penguasaan bahasa yang baik dapat membantu pengacara majlis menyampaikan ucapan dengan lebih berkesan dan berwibawa.
Secara keseluruhannya, bahasa pengacara majlis merupakan gabungan unsur retorik, adab dan hiburan yang membentuk satu seni komunikasi yang unik. Melalui penggunaan bahasa yang indah, sopan dan kreatif, pengacara majlis bukan sahaja menghidupkan suasana majlis, malah turut memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang kaya dengan nilai budaya.
Dalam hal ini, pengacara majlis sebenarnya memikul tanggungjawab yang lebih besar daripada sekadar mengendalikan acara. Mereka juga berperanan sebagai duta bahasa yang memperlihatkan keindahan dan kehalusan bahasa Melayu kepada khalayak.
Dengan penguasaan bahasa yang baik dan kesedaran terhadap nilai budaya, seni pengacaraan majlis dapat terus berkembang sebagai satu tradisi komunikasi yang bermakna dalam masyarakat Melayu.