Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Keberkesanan bahasa Melayu sebagai ejen penyatuan kaum di Malaysia kini berhadapan dengan cabaran besar. Hal ini berikutan faktor sikap segelintir masyarakat yang masih memandang enteng terhadap peranan bahasa kebangsaan.
Tokoh akademik, YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, mengulas perkara ini dengan menegaskan bahawa sikap terhadap sesuatu bahasa sebenarnya mencerminkan pandangan sosial seseorang terhadap kelompok penutur jati bahasa itu sendiri.
Kedudukan bahasa Melayu yang telah lama diiktiraf sebagai bahasa rasmi Malaysia masih belum diterima dengan sepenuh hati oleh segelintir masyarakat tertentu, khususnya masyarakat Cina. Menurut beliau,
Perkara yang lebih membimbangkan pada masa ini ialah masyarakat Cina hari ini lebih cenderung mempelajari bahasa Melayu untuk peperiksaan semata-mata. Kebanyakan pelajar Cina hanya mempelajari bahasa kebangsaan untuk memenuhi syarat lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Namun, sebaik-baik sahaja matlamat akademik itu tercapai, bahasa Melayu segera dipinggirkan sehingga mereka hilang kemampuan untuk berkomunikasi dengan baik dalam urusan rasmi mahupun harian.
Selain itu, isu ini menjadi lebih parah apabila masyarakat menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama walaupun ketika berurusan di agensi kerajaan.
Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong turut menyatakan bahawa hasil pemerhatian beliau mendapati bahawa warga asing di negara ini bertutur dalam bahasa Melayu dengan lebih fasih berbanding dengan etnik Cina yang juga merupakan warganegara Malaysia.
Beliau menjelaskan bahawa selagi bahasa Melayu tidak dilihat secara positif oleh sesetengah masyarakat di negara ini, usaha untuk memupuk perpaduan negara menerusi integrasi nasional akan terus terbatas. Pembelajaran bahasa secara integratif sangat penting bagi memastikan setiap kaum menjadi sebahagian daripada bangsa Malaysia, bukannya sekadar penglibatan di atas kertas.
Bagi mengatasi kemelut ini, beliau mencadangkan agar penyaluran maklumat yang benar tentang peranan bahasa Melayu sebagai identiti negara dan bangsa perlu terus dipergiat.
Kesedaran tentang kedudukan asal usul negara dan sejarah penutur jatinya perlu diterapkan semula bagi mengubah persepsi masyarakat agar bahasa Melayu kembali dijulang sebagai jambatan perhubungan yang utuh untuk semua rakyat Malaysia.