Diterbitkan pada 28 Mac 2026, 11:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Peribahasa merupakan kata-kata yang digunakan untuk memberi teguran, nasihat dan kritikan secara halus oleh masyarakat Melayu sejak dahulu. Kamus Dewan Perdana mentakrifkan peribahasa sebagai ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu. Peribahasa oleh masyarakat pada zaman dahulu menggunakan bahasa halus dan berkias untuk memberi teguran agar tidak mengguris perasaan pendengarnya.

Menurut Zaitul Azma Zainon Hamzah dalam “Nilai Pendidikan dan Kebijaksanaan Masyarakat Melayu dalam Pantun dan Peribahasa Melayu”, peribahasa dicipta menggunakan elemen alam sekitar dalam kehidupan sehari-harian yang menunjukkan keadaan atau sifat mereka seperti alat-alatan, pokok, lautan dan haiwan yang mewakili pemikiran masyarakat. Mengapakah unsur alam banyak digunakan dalam peribahasa? Hal ini disebabkan oleh pekerjaan masyarakat Melayu banyak berkaitan dengan sumber alam pada masa dahulu. Contohnya, pertanian, berkebun dan memburu. Jadi, mereka banyak meluangkan masa menjalankan kegiatan ekonomi dan berupaya memahami serta menghayati peristiwa yang berlaku.

Teknologi moden seperti telefon pintar dan komputer agak terbatas pada masa dahulu membuatkan masyarakat lebih menghayati alam sekeliling. Suasana angin yang meniup dedaun di dahan pokok, mendengar dan menghayati aliran sungai menjadi cara mereka meluangkan masa lapang. Oleh itu, penggunaan elemen ini mempunyai perkaitan yang logik bagi masyarakat Melayu untuk memahami konsep dan tafsiran di sebalik peribahasa ini. Misalnya, peribahasa bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing yang membandingkan sifat enau yang hanya melepaskan pucuknya seperti manusia yang mementingkan diri untuk menyelamatkan diri mereka sahaja.

Terdapat juga peribahasa yang menggunakan unsur alam seperti laut. Contohnya, laut mana yang tak berombak, bumi mana yang tak ditimpa hujan yang membawa maksud segala usaha tetap ada kesukaran atau bahayanya. Masyarakat Melayu juga menggunakan unsur haiwan dalam peribahasa. Wan Norasyikin Wan Ismail dalam penulisannya berjudul “Haiwan dalam Penulisan Melayu” menyatakan bahawa masyarakat Melayu banyak menggunakan unsur haiwan dalam penciptaan peribahasa. Hal ini disebabkan mereka banyak melakukan pemerhatian terhadap haiwan tersebut yang kemudian dapat mengaitkan kelakuan haiwan itu dengan manusia. Pelbagai spesies ikan, burung, unggas dan ayam banyak digunakan dalam peribahasa Melayu. Contohnya, bagai anjing dengan kucing, mandi kerbau dan bagai kera mendapat bunga yang menggunakan unsur haiwan yang berdekatan dengan masyarakat Melayu.

Peribahasa bukan sahaja menjadi pengajaran, teguran dan didikan kepada masyarakat malah, pelbagai nilai dapat ditafsirkan dalam peribahasa. Contohnya, nilai kekeluargaan, masyarakat dan pendidikan. Peribahasa belakang parang kalau diasah nescaya tajam menunjukkan makna biarpun seseorang itu bodoh, jika belajar dengan bersungguh-sungguh pasti akan menjadi pandai juga. Selain itu, bagai aur dengan tebing memberi makna nilai kemasyarakatan yang kekal utuh dan saling melengkapi. Teguran dan didikan yang maksudnya tidak dinyatakan secara langsung dalam peribahasa mendidik masyarakat Melayu untuk berfikir dan mentafsir maknanya. Penggunaan peribahasa dalam kalangan masyarakat zaman dahulu menggambarkan keindahan warisan bahasa Melayu tetapi jarang digunakan oleh generasi sekarang telah menunjukkan keindahan warisan bahasa Melayu semakin pudar.

Tidak dapat dinafikan generasi muda kini jarang menggunakan peribahasa dalam komunikasi sehari-harian. Mereka lebih gemar menggunakan bahasa slanga dan bahasa rojak semasa berinteraksi dengan keluarga mahupun rakan serta melalui media sosial. Nasihat, kritikan dan teguran diberitahu secara langsung malah, tidak tersirat berlainan dengan masyarakat zaman dahulu yang berkias dalam teguran dan didikan mereka. Hashimah dalam bukunya, “Remaja Malaysia dan Peribahasa Melayu” berpendapat bahawa remaja pada masa ini yang hidup dalam era kemajuan sains dan teknologi, lebih selesa menggunakan bahasa yang dianggap moden dan tidak menggambarkan bahasa klasik dan unsur sastera lama semasa berinteraksi. Hal ini dikatakan demikian kerana generasi muda gemar akan teguran atau ayat yang pendek tetapi mudah untuk difahami malah, kadangkala bahasa moden oleh generasi kini lebih kasar bagi pendengar.

Namun begitu, peribahasa telah mengalami perkembangan seiring dengan peredaran masa menunjukkan peribahasa masih relevan pada masa sekarang kerana terdapat sebahagian pengguna yang masih menggunakan peribahasa dalam media sosial mereka. Menurut Salinah Jaafar dalam penulisannya berjudul “Perubahan Fungsi dan Makna Peribahasa” dalam laman Facebook menyatakan penggunaan peribahasa meluas dalam aplikasi Facebook tetapi mereka mengubah struktur peribahasa itu seperti penggunaan kata dan unsur dalam peribahasa tersebut. Hal ini mewujudkan perubahan elemen peribahasa dan maknanya menyebabkan kata atau frasa peribahasa yang sebenar menyimpang dari makna asalnya sehingga tidak diketahui oleh golongan muda.

Umpamanya, peribahasa sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit telah diolah menjadi sikit-sikit, lama-lama jadi buncit. Perubahan perkataan “bukit” kepada “buncit” telah mengubah makna asal peribahasa ini. Perubahan ini dikatakan lebih mengikut trend terkini, sebagai hiburan dan memberi sindiran secara langsung supaya pendengarnya faham dan terasa berbeza dengan penggunaan peribahasa dahulu yang memberi sindiran atau teguran secara berlapik dan berkias. Peribahasa moden ini telah disesuaikan dengan kehidupan sekarang. Kadang-kadang terdapat sebahagian masyarakat yang memerlukan teguran secara terang-terangan untuk menyedarkan mereka. Keadaan ini bukan sahaja menunjukkan berlakunya perkembangan dalam bahasa Melayu malah, mengubah gaya bahasa dan fungsi asal peribahasa.

Selain itu, golongan muda mempelajari peribahasa hanya untuk memenuhi standard kurikulum sekolah. Silibus pelajaran Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) di sekolah rendah mahupun sekolah menengah menggalakkan penggunaan peribahasa. Walaupun hal itu sebenarnya sudah cukup bagus untuk memperkenalkan peribahasa kepada generasi muda, mereka hanya belajar peribahasa untuk peperiksaan dari segi akademik tetapi kurang memahami dan menjiwai peribahasa tersebut kerana mereka menghafal peribahasa untuk mendapatkan markah yang lebih baik dengan menggunakan peribahasa dalam penulisan karangan. Pelajar yang menggunakan peribahasa dalam penulisan karangan mereka dikatakan akan mendapat skor yang tinggi dalam peperiksaan tetapi terus melupakan kegunaan peribahasa setelah selesai ujian kerana berfikir mereka tidak lagi menggunakannya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi