Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangApakah cabaran bagi generasi muda untuk meningkatkan penguasaan peribahasa? Satu daripada cabaran yang dihadapi oleh mereka ialah pengaruh media sosial. Aplikasi media sosial seperti WhatsApp, Instagram, Tiktok dan Facebook menjadi keperluan masyarakat pada zaman ini. Aplikasi WhatsApp menjadi keutamaan dalam berkomunikasi. Komunikasi bersama-sama kenalan seperti keluarga dan rakan sekolah menggunakan bahasa pasar dan slanga secara dominan. Aplikasi Tiktok, Instagram dan Facebook pula membolehkan pengguna berhubung dengan dunia luar yang membolehkan pengguna menonton video pendek dan membaca hasil penulisan pelayar pada mesej atau kapsyen dalam pelbagai bahasa.
Sehubungan dengan itu, alam pekerjaan kini telah berkembang menjadikan pengalaman dan penghayatan dalam peribahasa itu berkurang. Penoreh getah dan petani tidak lagi menjadi pilihan generasi muda sebagai pekerjaan mereka. Pekerjaan yang dahulunya menggunakan kudrat manusia telah digantikan dengan mesin untuk memaksimumkan produktiviti ekonomi. Lebih banyak yang memilih untuk bekerja di pejabat. Oleh yang demikian, tidak banyak golongan muda yang memahami peribahasa disebabkan oleh tiada pengalaman dan tidak pernah berada dalam suasana peribahasa itu.
Perkara ini menyebabkan munculnya tabiat atau pengaruh bahasa yang lebih mudah digunakan dan makna yang difahami secara langsung, lebih pantas dan mudah difahami tanpa kiasan. Pengguna mudah tertarik kemudian terikut dengan penggunaan bahasa Inggeris, bahasa slanga dan bahasa rojak dalam komunikasi lisan dan tulisan. Berbeza pula dengan kiasan yang lebih panjang dan mempunyai makna tersendiri. Kadangkala pengguna media sosial menggunakan peribahasa yang salah dan akhirnya memberikan kesan kepada pengetahuan konsep dan makna asal peribahasa generasi muda.
Selain itu, kurang pendedahan oleh keluarga dan institusi pendidikan juga menjadi cabaran bagi generasi muda untuk menguasai peribahasa. Interaksi yang kurang menggunakan peribahasa menjejaskan penguasaan peribahasa dalam diri generasi muda. Misalnya, perbualan antara pelajar dengan ibu bapa, guru dan rakan sebaya semasa berada di rumah atau di sekolah perlu banyak menggunakan peribahasa. Peribahasa berfungsi sebagai nasihat, pengajaran dan teguran dalam masyarakat dan institusi kekeluargaan. Sesetengah pelajar menganggap bahawa peribahasa hanya sesuai untuk orang-orang tua sahaja, yang lebih mengetahui maksud di sebalik peribahasa yang tersirat berbanding mereka yang muda dan sukar memahami maksud peribahasa dan perlu melakukan tafsiran.
Kurang penekanan di sekolah mengakibatkan golongan muda kurang pengetahuan dan tidak memberikan perhatian terhadap peribahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana peribahasa melibatkan unsur alam, barangan dan aktiviti ekonomi pada zaman dahulu yang mesti difahami kerana mempunyai makna tersirat. Sebagai contoh, peribahasa yang melibatkan kegiatan ekonomi ialah berjagung-jagung dahulu, sementara menunggu padi masak dan bagai melepaskan batuk di tangga. Makna “batuk” bukanlah tindakan seseorang yang batuk, tetapi “batuk” ialah tempurung yang digunakan untuk mencedok air dari tempayan. Tanpa pengetahuan umum tentang keadaan dan makna tersirat, makna peribahasa tidak dapat dihayati. Jika bukan generasi muda, siapa lagi yang akan meneruskan warisan dan budaya bahasa Melayu melalui peribahasa ini?
Peranan ibu bapa dan institusi pendidikan amat penting dalam memastikan peribahasa kekal relevan dalam kalangan generasi muda. Kempen dan pertandingan peribahasa serta mengamalkan peribahasa dalam kehidupan sehari-harian dapat meningkatkan penguasaan peribahasa dalam kalangan generasi muda. Bukan sahaja ibu bapa dan institusi pendidikan malah, media massa juga berperanan dalam penguasaan peribahasa ini dengan mencipta kandungan kreatif yang dapat menggalakkan penggunaan peribahasa dalam diri mereka. Bahasa yang lebih sopan dan tertib haruslah diamalkan dalam masyarakat Melayu supaya keindahan bahasa ini akan kekal diwarisi oleh generasi akan datang.