Diterbitkan pada 6 April 2026, 10:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Masyarakat Melayu yang beragama Islam pada zaman dahulu dididik untuk rajin bekerja. Apabila rajin bekerja, seseorang itu akan senang dalam kehidupannya. Mudah mendapatkan makanan dan wang serta diluaskan rezeki. Hal inilah yang menjadi pegangan dalam kehidupan mereka, iaitu keinginan keras dengan penuh semangat yang mendorong usaha untuk mencapai matlamat yang diidamkan.

Sejarah perkembangan bahasa Melayu amat menarik untuk dikaji. Satu daripada sejarahnya adalah apabila tercetus dan terbentuknya peribahasa Melayu dalam kehidupan masyarakat Melayu. Pada era perkembangan bahasa Melayu klasik, terdapat banyak peribahasa yang dicipta serta memberikan sumbangan yang besar terhadap perkembangan bahasa Melayu. Bahasa Melayu klasik berfungsi sebagai bahasa perantaraan, bahasa pentadbiran, bahasa ilmu, bahasa undang-undang dan bahasa persuratan. Melalui bahasa persuratan, peribahasa Melayu dicipta dan berkembang seiring dengan puisi lama seperti pantun, gurindam, syair dan seloka.

Masyarakat Melayu terdahulu yang kebanyakannya bekerja sebagai petani, peneroka dan pesawah terkenal dengan sifat rajin dan tekun. Semasa bekerja mereka menggunakan kata-kata motivasi untuk menggalakkan anak-anak mereka supaya rajin bekerja. Motivasi dalam peribahasa Melayu dijadikan pembakar semangat bagi meneruskan perjuangan hidup yang sukar khususnya dalam kehidupan sosial dan budaya masyarakat.

Dari segi budaya kerja, kebanyakannya rajin bekerja sebagai petani, penoreh getah, pesawah dan juga nelayan. Meskipun kehidupan pada masa dahulu serba susah, tetapi mereka gembira bekerja bersama-sama dengan mengamalkan semangat kebersamaan melalui semangat gotong-royong di kampung dan pedalaman yang boleh diibaratkan “seperti lebah menghimpun madu” yang menabirkan sifat kerajinan dan ketekunan seseorang dalam bekerja. Begitu juga dengan sifat rajin atau malas yang turut memiliki        peribahasa yang menjurus kepada motivasi, iaitu “kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih”.

Kepayahan dan kesusahan hidup menjadi pengalaman berguna bagi masyarakat Melayu dahulu.  Mereka sama-sama merasai dan mengalami keadaan tersebut dengan masyarakat di sekeliling mereka. Seperti kata peribahasa “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.

Oleh sebab itu, bahasa dan kata-kata motivasi sangat penting bagi menggalakkan anak muda pada masa itu bekerja keras demi menampung kehidupan. Jelaslah bahawa peribahasa merupakan kata-kata atau ayat yang disusun indah dan bermakna menjurus pemikiran bangsa yang lahir dari hati dan fikiran, diucapkan oleh lidah dan mulut secara lisan dan juga ditulis sebagai tulisan yang diwariskan kepada generasi Melayu kini dan akan datang.

Pendeta Za’ba dalam Ilmu Mengarang Melayu menjelaskan bahawa masyarakat Melayu menggunakan bahasa untuk mengeluarkan buah fikiran supaya dapat diketahui orang dengan cara mendengar dan membacanya. Orang Melayu mencipta peribahasa untuk generasi akan datang sebagai pesanan, pendidikan dan juga peringatan. Peribahasa ini dicipta berdasarkan kehidupan semasa dalam kalangan orang Melayu.

Bagi mengkaji dan melihat kebijaksanaan bahasa dan kata-kata dalam kalangan orang Melayu, lihatlah peribahasa dan pantun Melayu yang terkandung unsur alam dan falsafah kehidupan masyarakat Melayu sejak dahulu. Peribahasa juga menjadi motivasi kepada sesiapa yang rajin dan berusaha sekali gus memperoleh kejayaan.

Himpunan keindahan bahasa dan mutiara kata terdapat dalam peribahasa, perumpamaan, bidalan, pepatah dan simpulan bahasa. Kata-kata hikmah Melayu juga mengandungi falsafah, kebijaksanaan dan motivasi ke arah kejayaan yang membawa kebaikan bagi mengharungi kehidupan yang penuh cabaran.

Simpulan bahasa biasanya mengandungi beberapa perkataan yang bermakna. Sebagai contoh, “ringan tulang berat perut” yang bermaksud rajin bekerja mudah mendapat rezeki, pepatah pula mengandungi beberapa kata yang berpatah-patah seperti “ada padi semua kerja jadi”, “ada beras semua kerja deras”. Motivasinya, jika ada upah, semua kerja jadi mudah dan senang dilakukan.

Sementara itu, bidalan mengandungi empat kata seperti “ada sampan hendak berenang”. Perumpamaan pula merupakan kata-kata yang terdapat perlambangan yang dimulai dengan kata “bagai”, “seperti”, “ibarat”, “laksana”, dan “umpama”. Sebagai contoh, “umpama kiambang di air, akarnya tidak jejak di bumi”. Maksudnya, tidak mempunyai pegangan hidup yang kukuh dan kuat.

Bahasa sangat rapat dengan fikiran dan pemikiran sebagai alat yang mengeluarkan idea dan fikiran bernas untuk mendidik, mengajar dan memberikan nasihat serta berkomunikasi antara satu sama lain. Melalui peribahasa orang Melayu berpesan dan mendidik ke arah kejayaan hidup.

Masyarakat Melayu terdahulu menggunakan bahasa yang indah berkias serta bermakna seperti dalam peribahasa dan pantun Melayu. Mereka mengucapkannya dalam kehidupan seharian sebagai panduan dan motivasi diri. Bahasa yang ringkas mudah diingat dengan rima dan persamaan bunyi di hujung kata.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi