Diterbitkan pada 12 April 2026, 11:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seremban – “Guru ialah pahlawan jiwa bangsa; jangan biarkan bahasa Melayu terkapai-kapai di bumi sendiri.” Demikian tegas Pensyarah Fakulti Undang-undang, Universiti Multimedia, YBrs. Prof. Dr. Ramalingam Rajamanickam dalam sesi bicara bertajuk “Guru Pahlawan Jiwa Bangsa” yang menuntut kesedaran tinggi terhadap jati diri kebangsaan demi memastikan pemartabatan bahasa kebangsaan.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menegaskan bahawa keutuhan sesebuah negara amat bergantung pada asimilasi sosial, serta penyatuan rakyat melalui sinergi semua pihak. Dalam konteks ini, beliau menyifatkan jatuh bangun sesebuah masyarakat terletak pada bahu guru sebagai pemimpin pembentukan insan, memandangkan setiap lapisan masyarakat daripada pemimpin tertinggi sehingga masyarakat marhaen, lahir daripada didikan guru.

Menurut beliau, golongan pendidik ialah pahlawan sebenar yang membentuk, melakar dan mencorakkan masa hadapan, termasuk melahirkan barisan pemimpin dunia hari ini.

Beliau turut menzahirkan kegusaran terhadap kemerosotan pencapaian bahasa dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, sambil mempersoalkan puncanya sedangkan seluruh rakyat Malaysia seharusnya berupaya menguasai bahasa kebangsaan dengan baik.

Menyentuh tanggungjawab rakyat Malaysia, beliau menegaskan bahawa kemelut bahasa kebangsaan tidak wajar dituding kepada pihak sekolah, kementerian mahupun DBP semata-mata. Sebaliknya, semua pihak perlu menghayati Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan, sekali gus menjadikannya kewajipan setiap rakyat untuk mendaulatkan bahasa tersebut sebagai identiti nasional.

Pada masa yang sama, beliau membangkitkan realiti semasa apabila warga asing dari pelbagai negara seperti China, Bangladesh dan Vietnam mampu menguasai bahasa Melayu dalam tempoh singkat sedangkan masih terdapat segelintir rakyat tempatan yang gagal berkomunikasi dengan baik dalam bahasa kebangsaan walaupun telah lama menetap di negara ini.

Dalam aspek kepimpinan pendidikan, beliau menyeru agar para pendidik menjadi suri teladan yang berwibawa dalam memartabatkan bahasa kebangsaan.

Menggunakan peribahasa “umpama kayu besar di tengah padang”, beliau menegaskan bahawa guru perlu menjadi model rujukan utama kepada murid dalam penuturan bahasa Melayu yang betul.

Beliau turut melahirkan kekesalan apabila memikirkan bahawa selepas hampir tujuh dekad negara mencapai kemerdekaan, martabat bahasa kebangsaan masih perlu diperjuangkan seolah-olah dipinggirkan di tanah air sendiri.

“Falsafah ‘hilang bahasa, lenyaplah bangsa” harus diinsafi. Mengabaikan bahasa merupakan satu kesalahan besar yang boleh memusnahkan identiti sesebuah tamadun,” tegasnya.

Syarahan “Guru Pahlawan Jiwa Bangsa” diharapkan dapat menyedarkan masyarakat agar bersama-sama menghayati perjuangan guru yang banyak berkorban dalam mendidik, serta memandaikan bangsa.

Sebelum mengakhiri sesi bicara, YBrs. Prof. Dr. Ramalingam menyifatkan kedudukan bahasa Melayu ketika ini ibarat “gantung tidak bertali; tarik tidak sampai ke langit, lepas tidak sampai ke bumi”.

Beliau menzahirkan kekesalan bahawa meskipun bahasa Melayu dimartabatkan melalui peruntukan perundangan dan diberi kedudukan yang tinggi, bahasa tersebut masih terkapai-kapai, serta terumbang-ambing tanpa hala tuju yang jelas di tanah air.

Kredit Foto: Muhd Haziq
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi