Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-70, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus memacu transformasi digital sebagai nadi utama pengembangan bahasa kebangsaan, sekali gus memastikan kedudukan bahasa Melayu kekal ampuh dan utuh untuk mendepani arus pemodenan global.
Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari menegaskan bahawa kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kukuh di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, namun strategi pengembangannya harus berevolusi mengikut persekitaran baharu.
Beliau menjelaskan bahawa DBP kini sedang melakukan anjakan paradigma dengan beralih daripada percetakan konvensional kepada digital sepenuhnya menerusi portal JendelaDBP.
Inisiatif ini membolehkan karya sastera dan rencana bahasa diterbitkan secara digital sepenuhnya, sekali gus menyingkirkan jurang masa terbitan konvensional dan membolehkan khalayak mengakses kandungan berkualiti tanpa perlu menunggu terbitan bulanan,” jelas beliau ketika berkongsi tentang evolusi penerbitan digital.
Kejayaan DBP turut terpancar menerusi Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang menyediakan aksesibiliti tanpa had selama 24 jam. Platform ini telah merupakan penanda aras yang membanggakan apabila berjaya menarik pengguna di lebih 160 buah negara, sekali gus memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rujukan ilmu yang dinamik pada peringkat antarabangsa.
Bagi mendepani cabaran bahasa rancu dalam ruang siber, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari menyifatkan bahawa DBP kini memanfaatkan platform media sosial seperti TikTok dan Facebook menerusi pembelajaran didik hibur.
Strategi ini bertujuan melahirkan kandungan kreatif yang bermutu tinggi, sekali gus bertindak sebagai imbangan terhadap pengaruh budaya bahasa tidak formal yang dipopularkan oleh pempengaruh digital masa ini, ujarnya.
Selain itu, YBrs.Dr. Hazami bin Jahari turut menzahirkan kegusaran terhadap trend “bahasa rojak” dan penggunaan singkatan yang kian menular ke dalam urusan rasmi kerajaan. Beliau menegaskan bahawa pematuhan terhadap etika bahasa kebangsaan dalam dokumen rasmi dan majlis kerajaan bukan suatu pilihan, sebaliknya merupakan satu kewajipan mutlak bagi setiap penjawat awam sebagaimana yang digariskan dalam pekeliling sedia ada.
Kita sebagai penjawat awam harus menjadi suri teladan dengan memastikan bahasa kebangsaan digunakan secara tepat dan betul. Kita merupakan benteng utama, jika urusan rasmi tidak dizahirkan dengan bahasa yang betul, maka hilanglah martabat bahasa itu pada mata masyarakat.

Beliau turut berkongsi pengalaman seorang duta dari negara Perancis yang sukar memahami bahasa Melayu sepanjang seminggu berada di Malaysia ekoran penggunaan bahasa yang bercampur-aduk dalam media massa dan masyarakat tempatan.
Hal ini jauh berbeza dengan situasi di negara Indonesia ketika beliau berada di Indonesia selama seminggu dan berkeupayaan memahami bahasa yang dituturkan kerana seluruh komuniti menggunakan bahasa Indonesia dengan baik dan betul dalam komunikasi harian.
Senada dengan itu, pensyarah Fakulti Undang-undang, Universiti Multimedia yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Prof. Dr. Ramaliggam Rajamanickam menarik perhatian tentang kemerosoton kualiti bahasa kebangsaan sebagai satu cabaran kritikal yang perlu ditangani segera walaupun kedudukan bahasa Melayu telah termaktub menerusi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32).
Beliau turut menzahirkan kegusaran terhadap trend penurunan kualiti bahasa yang kian meresap ke dalam wacana rasmi golongan profesional, pendidik, dan pemimpin negara.
Isu utama negara bukan lagi terletak pada skala penutur bahasa, tetapi pada ketulenan dan estetika bahasa kebangsaan yang kian terhakis akibat pengaruh unsur luar dan struktur ayat yang tidak betul.
Mengulas falsafah “Bahasa Jiwa Bangsa”, YBrs. Prof. Dr. Ramalingam Rajamanickam menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk kembali bermuhasabah dan menanam rasa bangga terhadap bahasa kebangsaan yang melambangkan maruah bangsa demi mempertahankan kedaulatannya daripada pencemaran bahasa rancu.
Pada era ledakan teknologi maklumat, beliau menggesa generasi muda agar mengoptimumkan kemahiran teknologi sebagai wahana untuk menyebarkan kandungan bahasa Melayu yang berkualiti dalam ruang siber.
Ujar beliau,
Sepatutnya bahasa perlu menguasai teknologi, bukannya kita biarkan teknologi yang menguasai bahasa kita.

DBP juga bergerak pantas melalui fasa perangkaan Pindaan Akta DBP yang memberikan fokus khusus terhadap agenda pengantarabangsaan. Langkah strategik ini bertujuan untuk mengangkat semula martabat bahasa Melayu setaraf dengan bahasa utama dunia, sekali gus memugar kembali sejarah kegemilangan sebagai lingua franca yang unggul pada persada antarabangsa.
Beliau turut menegaskan bahawa bahasa Melayu memiliki daya tarikan yang luar biasa dengan kehadiran pencinta bahasa dari seluruh pelosok dunia, termasuk dari negara Jepun dan China.
Kedudukan bahasa Melayu akan terus diperkukuh dan dimartabatkan pada peringkat antarabangsa sekiranya nilai bahasa Melayu melonjak di seantero dunia sebagai bahasa ilmu, bahasa ekonomi, dan bahasa diplomasi yang disegani.