Diterbitkan pada 27 April 2026, 17:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkasakan lagi hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China melalui pengantarabangsaan bahasa dan budaya yang dikenali sebagai Kem Interaksi Bahasa dan Budaya Belia China-Malaysia 2026.

Sebanyak 59 orang delegasi yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar jurusan Bahasa Melayu dari 13 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) China telah melibatkan diri dalam program selama empat hari yang diadakan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Majlis perasmian telah berlangsung di Dewan Za’ba, KPT itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat (YB) Adam Adli Abd Halim.

YB Adam Adli ketika ditemu ramah pihak media menyatakan bahawa program yang julung kali diadakan ini merupakan inisiatif strategik KPT bersama-sama rakan kerjasama seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Beijing Foreign Studies University (BFSU) dan universiti tempatan sebagai platform silang budaya bagi generasi muda kedua-dua negara.

YB Adam Adli bersama-sama wakil 13 universiti delegasi China dalam sesi penyerahan sijil.

“KPT banyak mengadakan program mobiliti pelajar sama ada bersifat jangka pendek mahupun jangka panjang, namun dalam bidang Pengajian Melayu ini merupakan kali pertama. Program ini menjadi penanda aras baharu untuk program mobiliti pelajar dalam bidang bahasa. Jika impaknya positif, KPT akan meneruskan program seperti ini dengan pelibatan langsung pihak DBP dan universiti yang terlibat,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Bahagian Akademik dan Penyelidikan, YBhg. Prof. Dr. Zainal Amin Ayub menegaskan bahawa kerjasama ini adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam memperkukuh pendekatan people-to-people engagement.

Beliau turut menyentuh kepentingan pemerkasaan Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di BFSU yang kini disandang oleh YBhg. Prof. Dr. Indirawati Zahid sebagai pemangkin utama Pengajian Melayu pada peringkat antarabangsa.

Sebahagian daripada delegasi China yang hadir ke Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Ketua Delegasi China yang juga Dekan Fakulti Pengajian Asia BFSU, YBhg. Prof. Dr. Su Yingying, dalam ucapannya menyifatkan program ini sebagai jambatan pembelajaran tamadun yang berbeza bagi pelajarnya.

“Kini, sebanyak 18 buah universiti di seluruh China telah menawarkan pembelajaran bahasa dan budaya Melayu, seterusnya melahirkan banyak pakar profesional yang fasih bertutur bahasa Melayu. Mereka telah bertindak sebagai penghubung dalam pertukaran dua hala dan memberikan sumbangan bermakna bagi memperkukuh hubungan China-Malaysia dalam pelbagai bidang,” tambah beliau lagi.

Dalam masa yang sama, suasana majlis menjadi lebih meriah apabila delegasi pelajar dari China mempamerkan persembahan berkaitan kesenian Melayu. Delegasi pelajar tersebut memukau para hadirin dengan tarian Wau Bulan yang gemalai serta nyanyian lagu “Dua Dunia Satu Cinta”. Hal ini membuktikan bahawa bahasa dan seni mampu merentas sempadan negara dalam usaha membina persefahaman yang harmoni.

Persembahan daripada delegasi China dengan tarian Wau Bulan.

Program selama empat hari ini bakal menyaksikan para peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti interaktif, termasuk syarahan ilmiah tentang peradaban dan lawatan ke agensi media serta badan kebudayaan.

YB Adam Adli turut menyatakan kepada delegasi pelajar dari China untuk melakukan interaksi yang lebih membumi dengan turun ke kawasan kedai untuk bertemu dan berinteraksi secara tidak formal bagi merasai pengalaman budaya hidup di Malaysia.

Usaha ini selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 untuk melahirkan graduan berkeupayaan global yang menghargai kepelbagaian nilai dunia.

Yang turut hadir dalam majlis perasmian ini termasuklah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP; YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa dan Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia; YBrs. Tuan Yang Terutama Ouyang Yujing.

Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi