Diterbitkan pada 7 Mei 2026, 23:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Merbok – Usaha memperkasakan tulisan Jawi dan memartabatkan bahasa Melayu terus menjadi agenda utama dalam pengisian program sempena Sambutan Ulang Tahun ke-70 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Peringkat Zon Utara.

Program yang berlangsung meriah di Dewan Perdana, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah ini menyaksikan pelibatan aktif generasi muda demi memelihara warisan linguistik negara.

Tumpuan utama program kali ini terarah kepada Pertandingan Eksplorasi Jawi yang diadakan di ruang legar Dewan Perdana. Sebanyak tujuh kumpulan mahasiswa UiTM Cawangan Kedah menyahut cabaran menguji tahap kecaknaan dan penguasaan tulisan Jawi mereka.

Peserta Eksplorasi Jawi tekun membincangkan soalan dan tugasan yang diberikan.

Peserta dinilai berdasarkan kecekapan menukarkan ejaan Jawi dalam bentuk ayat mahupun perenggan, serta transliterasi Jawi dalam pelbagai bidang termasuklah bidang sains, sekali gus membuktikan bahawa tulisan ini masih relevan dan mampu dikuasai oleh golongan muda.

Menariknya, eksplorasi ini turut menyuntik elemen tradisi melalui aktiviti baling selipar. Keputusan pertandingan menyaksikan Kumpulan Aurora muncul sebagai johan, diikuti oleh Kumpulan Zaitun dan Kumpulan Sugar Rush.

Selain pengukuhan Jawi, aspek kebahasaan turut diperkukuh melalui slot Cakna Kata anjuran Bahagian Peristilahan dan Leksikologi DBP. Sebanyak 400 mahasiswa telah menyertai aktiviti ini yang merangkumi perkongsian tentang istilah semasa, ejaan Jawi, dialek, tokoh bahasa serta trivia DBP.

Program ini mendapat sambutan yang luar biasa apabila dilaksanakan secara interaktif melalui aplikasi Kahoot dan permainan roda pusingan. Bagi cabaran Kahoot, kemenangan berpihak kepada peserta yang menggunakan nama samaran Nimep, diikuti oleh Nurul Syafikah dan Zazizu.

Reaksi mahasiswa UiTM Cawangan Kedah yang aktif dalam Kuiz Cakna Kata melalui aplikasi Kahoot.

Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, hadir memberikan sokongan terhadap inisiatif ini yang dilihat sebagai platform terbaik untuk mendekatkan fungsi DBP dengan institusi pengajian tinggi. Beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang program Cakna Jawi.

Program ini turut menyemai rasa cinta terhadap budaya dalam kalangan generasi tunas melalui Pertandingan Mewarna yang melibatkan murid daripada 10 buah sekolah rendah di sekitar negeri Kedah.

Para peserta cilik bagi Pertandingan Mewarna yang dilaksanakan di Dewan Jerai, UiTM Cawangan Kedah.

Pertandingan bagi kategori sekolah rendah ini menyaksikan penguasaan daripada peserta SK Semeling dan SK Sultan Mudzaffar Shah yang berjaya membawa pulang hadiah yang ditawarkan.

Penyampaian hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-Kanak dan Remaja, YBrs. Encik Mohd Azam Juhari.

Para pemenang Pertandingan Mewarna sempena Sambutan Ulang Tahun DBP ke-70 Peringkat Zon Utara.
Kredit Foto: Adib Zulkifli dan PSKR DBP
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi