Diterbitkan pada 8 Mei 2026, 00:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh martabat bahasa Melayu di persada dunia melalui penganjuran Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2026.

Program yang memasuki edisi ke-16 ini bukan sekadar suatu pertandingan pengucapan awam, malah diangkat sebagai wahana diplomasi budaya yang penting bagi mengeratkan hubungan antara negara melalui elemen pendidikan dan kesusasteraan.

Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim, menjelaskan bahawa kehadiran peserta dari pelbagai pelosok dunia menjadi simbol kesungguhan global demi memartabatkan bahasa Melayu.

YBhg. Datuk Dr. Anesee berucap ketika majlis resepsi meraikan peserta PABM 2026.

Berucap dalam majlis resepsi meraikan peserta malam semalam, beliau menegaskan bahawa tema pada tahun ini, iaitu “Bahasa Melayu Jambatan Peradaban Global” sangat bertepatan dengan usaha kementerian untuk menjadikan bahasa tersebut sebagai medium penyatuan pemikiran merentas sempadan negara.

Program berprestij hasil kerjasama KPT dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) ini mencatatkan rekod membanggakan dengan menerima sebanyak 174 penyertaan dari seluruh dunia.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 50 peserta terbaik dari negara seperti China, Uzbekistan, Rusia, Jepun, sehingga ke Nigeria dan Thailand telah berjaya melangkah ke peringkat seterusnya dalam tiga kategori utama yang dipertandingkan.

Sebahagian peserta PABM 2026 dalam majlis resepsi malam semalam.

Kemuncak program ini menyaksikan pengumuman sembilan orang finalis yang bakal berentap di pentas akhir pada 8 Mei 2026. Peserta peringkat akhir ini terdiri daripada wakil negara Malaysia, Indonesia, Mesir, Afghanistan, Burundi, Uzbekistan, China dan Rusia.

Majlis ini turut menjadi medan bagi para peserta membina jaringan persahabatan antarabangsa dan mengenali latar belakang budaya rakan seperjuangan mereka melalui perantaraan bahasa yang sama.

Dalam pada itu, pihak KPT turut menzahirkan penghargaan terhadap pelbagai agensi termasuk Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri atas kerjasama erat bagi melancarkan urusan kemasukan peserta antarabangsa.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh kepimpinan tertinggi KPT serta pengurusan kanan UniKL yang menunjukkan komitmen padu kerajaan bagi memastikan bahasa Melayu terus relevan sebagai jambatan ilmu dan peradaban dunia.

Kredit Foto: Facebook KPT
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi