Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Seberang Takir –Kesantunan berbahasa dalam media sosial bukan sekadar tentang laras bahasa, tetapi merupakan manifestasi akhlak dan identiti diri yang perlu dipelihara oleh setiap warga digital pada masa ini.
Perkara ini disampaikan oleh Pensyarah Universiti Multimedia (MMU), merangkap Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Prof. Dr. Ramalingam Rajamanickam dalam program Remaja Santun: Bahasa di Media Sosial bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP ke-70 Peringkat Zon Timur di Dewan Utama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir, Kuala Terengganu, pagi tadi.
Sesi diskusi ini dimulakan dengan kupasan tentang perkaitan antara bahasa dengan identiti diri yang merupakan cerminan keperibadian dan akhlak seseorang, selain dipengaruhi oleh faktor usia.
YBhg. Prof. Dr. Ramalingam Rajamanickam turut menekankan kepentingan pemilihan kata ganti diri yang tepat mengikut hierarki umur, seperti penggunaan istilah “saya” yang lebih sopan berbanding dengan “aku” apabila berbicara dengan golongan lebih tua.
Beliau turut berkongsi tentang kepentingan memahami konteks sesuatu budaya dalam penggunaan istilah harian. Sebagai contoh, perkataan dalam bahasa Tamil seperti macha (adik ipar lelaki) dan mappilai (mempelai lelaki) sering kali diguna pakai oleh masyarakat umum tanpa menyedari makna asalnya.

YBhg. Prof. Dr. Ramalingam Rajamanickam turut mengulas tentang realiti komunikasi dalam media sosial yang disifatkannya sebagai ruang awam digital.
“Kesantunan dalam platform ini tidak semestinya menuntut penggunaan bahasa formal atau gramatis secara kaku, sebaliknya lebih mengutamakan penjagaan adab dan tutur kata,” jelas beliau.
Selain itu, beliau turut memberikan penekanan terhadap kepentingan mengenali aspek teknikal yang tepat seperti penggunaan tanda baca dan huruf besar dalam penulisan, terutamanya sewaktu membuat hantaran dalam media sosial.
“Perkara ini sering kali memberikan konotasi negatif seperti mendesak atau marah kepada pembaca. Anak-anak generasi kini tidak harus mengejar populariti atau tanda suka sehingga mengabaikan kesahihan maklumat,” tambahnya.
Dalam ulasan beliau selanjutnya, YBhg. Prof. Dr. Ramalingam Rajamanickam turut menegaskan bahawa tanggungjawab menjaga kesantunan bahasa tidak harus diletakkan di bawah tanggungjawab DBP semata-mata, sebaliknya perlu bermula daripada kesedaran setiap individu.
Golongan remaja harus menggunakan teknologi maklumat dengan bijak selain menonjolkan pencapaian akademik dan sahsiah yang terpuji dalam media sosial, bukan hanya mengejar pengaruh melalui kandungan yang menghina atau mengutuk pihak lain,” katanya.
Mengulas tentang kepesatan evolusi bahasa dalam media sosial, YBhg. Prof. Dr. Ramalingam menyatakan sokongan terhadap pembangunan istilah atau perkataan baharu yang muncul seiring perkembangan budaya masyarakat.
Jelas beliau, penggunaan istilah moden, bahasa ringkas, mahupun akronim tidak menjadi satu kesalahan asalkan perkataan tersebut kekal sopan dan tidak berunsur kebiadaban.
Masyarakat mempunyai ruang untuk mencadangkan perkataan baharu kepada DBP, namun mereka perlu mengelakkan diri daripada menormalisasikan penggunaan perkataan kesat, lucah atau tidak sopan dalam interaksi harian.
Beliau turut menjelaskan bahawa bahasa Melayu harus bersifat kontekstual walaupun urusan rasmi menuntut penggunaan bahasa Melayu yang formal dan gramatis mengikut laras undang-undang, namun penggunaan “bahasa rojak” atau singkatan dalam media sosial dibenarkan atas dasar memudahkan komunikasi.
Walau bagaimanapun, YBhg. Prof. Dr. Ramalingam Rajamanickam juga mengingatkan bahawa kesantunan bahasa tetap menjadi keutamaan apabila sesuatu hantaran dapat diakses oleh seluruh lapisan masyarakat yang bersifat majmuk.
Tambah beliau lagi, cabaran untuk menjaga sensitiviti masyarakat berbilang kaum umpama “menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak”. Setiap individu perlu berhati-hati dalam berbicara agar dapat menjamin keharmonian masyarakat.