Diterbitkan pada 22 Mei 2026, 15:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya–Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P) hari ini menegaskan bahawa penggunaan rasmi rekod pemantauan pesakit adalah dalam bahasa Melayu.

Penegasan ini dibuat susulan insiden yang tular dalam media sosial berhubung penggunaan Kad Rekod Pemantauan Pesakit Denggi berbahasa Cina di Klinik Kesihatan Setapak.

Menurut kenyataan media JKWPKL&P, siasatan mendapati insiden tersebut berlaku pada 18 Mei 2026 yang melibatkan seorang pesakit kanak-kanak yang hadir untuk mendapatkan rawatan bagi kes disyaki demam denggi.

Jabatan itu menjelaskan bahawa pihak klinik menyediakan kad pemantauan dalam beberapa bahasa sebagai inisiatif sokongan komunikasi kepada pesakit dan penjaga mengikut kesesuaian. Inisiatif ini bertujuan untuk membantu komunikasi dan pemantauan pesakit di kawasan berkepadatan tinggi.

Walau bagaimanapun, JKWPKL&P mengakui telah berlaku kesilapan pemberian kad berlainan bahasa kepada penjaga pesakit dalam kes tersebut.

Menurut JKWPKL&P,

Penerangan berkaitan rawatan dan pemantauan telah diberikan oleh pegawai perubatan kepada pesakit dalam bahasa Melayu, termasuk catatan bertulis pada kad tersebut.

Sehubungan dengan itu, pihak JKWPKL&P telah mengambil langkah penambahbaikan serta-merta bagi memastikan pemberian kad pemantauan dibuat dengan lebih teliti dan bersesuaian, sekali gus mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam urusan penyampaian perkhidmatan.

Pihak JKWPKL&P turut memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku namun kekal komited dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selamat dan mesra rakyat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi