Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kota Kinabalu – Pelaksanaan Program Bitara Jawi dilihat berjaya menggilap bakat bakal pendidik dalam menghasilkan karya pendidikan interaktif, sekali gus membuktikan bahawa masa hadapan kelestarian tulisan Jawi kini berada kukuh dalam inovasi digital.
Program yang melabuhkan tirainya dengan jayanya itu menyaksikan 10 kumpulan inovasi terbaik dari tiga Institut Pendidikan Guru (IPG) sekitar Sabah berentap pada peringkat akhir di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah.

Persaingan sengit peringkat akhir tersebut menyaksikan Kumpulan Anwar Ridhwan dari IPG Kampus Keningau cemerlang dinobatkan sebagai johan keseluruhan pertandingan dengan aplikasi JEJAK (Jelajah Jawi Kreatif).
Penganjuran bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-70 DBP Peringkat Negeri Sabah itu merupakan kesinambungan daripada Bengkel Penulisan Jawi oleh Cikgu Lorenica menerusi aplikasi PASCA-ج )PAntas baCA Jawi).
Pertandingan berprestij yang disasarkan khusus buat bakal pendidik opsyen Bahasa Melayu itu melibatkan penyertaan daripada IPG Kampus Gaya, IPG Kampus Kent dan IPG Kampus Keningau.
Ketua Projek Bitara Jawi, iaitu YBrs. Encik Asrar Ab Latif menjelaskan bahawa inisiatif tersebut dilaksanakan bagi membantu pembelajaran dan pengajaran Jawi di sekolah agar menjadi lebih interaktif.

“Peserta akan membuat inovasi dengan mencipta aplikasi berkaitan dengan pembelajaran jawi yang akan mereka gunakan dalam PdP ketika mengajar nanti,” ujar beliau menerangkan objektif pertandingan tersebut.
Mengulas lanjut mengenai perancangan program, beliau menyatakan,
DBP Cawangan Sabah akan terus mengadakan aktiviti sebagai acara tahunan dan diharapkan dapat dilaksanakan juga di semua cawangan DBP pada masa akan datang. Acara ini juga membantu dalam memartabatkan penulisan Jawi di seluruh Malaysia.
Sementara itu, Ketua Hakim pertandingan, Cikgu Lorenica menzahirkan rasa bangga atas persembahan inovasi peserta dengan menyatakan, “Kami melihat masa hadapan tulisan Jawi yang berada di dalam genggaman bakal-bakal guru.”

Walau bagaimanapun, beliau menitipkan pesan sebagai langkah penambahbaikan agar para peserta berhati-hati ketika menggunakan ejaan Jawi dengan merujuk kepada Kamus Dewan Perdana.
Kesalahan itu adalah perkara biasa, supaya kita tidak takut untuk menggunakan Jawi, kita jangan menyalahkan diri sendiri atas kesilapan penggunaan ejaan namun kita perlu berusaha menggunakan tulisan Jawi dengan betul.
Beliau juga menggesa peserta untuk menguji ciptaan mereka secara realistik dengan berkata,
Semua bakal guru atau sesiapa sahaja yang berminat dengan inovasi, cubalah berdamping dengan masyarakat, kerana cara masyarakat memberi respons, itulah kualiti sebenar inovasi kita.
Selain itu, beliau turut mengingatkan kepada para peserta supaya menjiwai pembawaan inovasi memandangkan elemen ejaan Jawi kini telah dimasukkan ke dalam subjek Bahasa Melayu.
“Cara tulisan Jawi ini boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat di Malaysia adalah melalui cara masyarakat mengetahui dan merasakan bahawa itulah bahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan kita,” tegas beliau.
Mengakhiri ulasannya, beliau mengingatkan bahawa perjuangan memartabatkan warisan bangsa tidak seharusnya terhad di atas pentas atau di dalam bilik darjah semata-mata.
“Perjuangan sebenar kita adalah pengaplikasian, penyebaran dan kecintaan terhadap tulisan Jawi itu sendiri, itulah restu jiwa pahlawan,” simpul beliau bagi meniup semangat bakal pendidik itu.