Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Mohd Farid Janudin
Kuala Lumpur – Bahasa Melayu mempunyai potensi yang besar dalam pembinaan tamadun bangsa. Berdasarkan sejarah bahasa Melayu yang melalui pelbagai fasa berperingkat, ternyata bahasa Melayu mampu mendepani segala tantangan ataupun cabaran termasuklah era digital.
Demikian antara inti pati ucapan oleh YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan, Ahli Dewan Negara ketika menyampaikan ceramah dalam Sesi III: Bahasa Sendi Tamadun Bangsa, menerusi Seminar Bahasa Tonggak Perpaduan “Bahasa Jiwa Bangsa” pada petang tadi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. Sesi ini dikendalikan oleh YBrs. Encik Ahmad Fedtri Yahya (Penerbit Eksekutif Jabatan Pengisian Islam TV3) sebagai moderator.
Tambah beliau, masyarakat tidak kira peringkat umur haruslah bersama-sama dalam dunia teknologi digital dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Di samping itu, sejajar dengan perkembangan semasa era digital kini, maka perlu ada terbitan yang berbagai-bagai sifatnya yang mesra pengguna untuk orang awam dalam edisi yang dipermudah.
Bahasa ialah inti pati dalam segala hal. Tanpa bahasa, tidak ada tamadun yang akan berkembang dan membangun.
Sementara itu, menurut YBhg. Profesor Madya Datuk Dr. Shamrahayu Ab Aziz, Pensyarah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula, undang-undang yang berkaitan dengan bahasa perlu untuk mengawal selia bahasa Melayu bagi menjadikan bahasa Melayu itu utuh, seterusnya membawa aura dan keunggulan kepada tamadun bangsa.
Perlunya undang-undang yang menjaga bahasa dari segi ketetapan dan keunggulan bahasa dan juga undang-undang yang mengawal cara masyarakat berbahasa seperti mengawal tingkah laku dalam berbahasa supaya tidak menimbulkan keretakan hubungan sesama masyarakat. Antara undang-undang yang sudah ada termasuklah Akta Hasutan (tidak menyalahgunakan pelbagai alat komunikasi untuk mengelakkan kecelaruan atau ancaman awam) dan Akta Fitnah (mengawal penggunaan bahasa supaya masyarakat mengamalkan tatacara berbicara yang sopan dan bersusila).
Sesi seterusnya ialah pembentangan sembilan resolusi Seminar Bahasa Tonggak Perpaduan “Bahasa Jiwa Bangsa” oleh YBrs. Dr. Hazami Jahari, iaitu Ketua Pengarah DBP, iaitu:
Mengakhiri seminar ini ialah ucapan penutupan Seminar Bahasa Tonggak Perpaduan “Bahasa Jiwa Bangsa” oleh SN YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.
Menurut beliau, pengembangan bahasa Melayu akan tetap diteruskan oleh DBP walaupun menghadapi perubahan zaman dan teknologi yang semakin berkembang seperti teknologi komputer, internet dan sebagainya.
DBP sentiasa mengalu-alukan pihak luar dalam usaha mengembangkan bahasa Melayu termasuklah dalam pembentukan glosari istilah dan sebagainya. Selain itu, DBP akan menganalisis apa-apa perkara yang berkaitan dengan bahasa Melayu yang perlu dan seterusnya akan membawanya ke peringkat kementerian. Kewajaran undang-undang yang berkaitan dengan bahasa Melayu dapat diperkemaskan lagi dan akan diselidiki oleh DBP dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu.
Tambah beliau, DBP dalam mendepani hala tuju bahasa Melayu terutamanya yang melibatkan teknologi terkini dan masa depan sentiasa sensitif dalam menyantuni generasi muda kerana mereka merupakan pewaris pengguna bahasa Melayu dan bakal pemimpin negara pada masa akan datang.
Yang turut hadir dalam program ini ialah Penasihat Agama Timbalan Perdana Menteri, iaitu YBhg. Dato’ Seri Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, tetamu kehormat, barisan Pengarah Jabatan DBP, Ketua-ketua Bahagian DBP, wakil agensi, rakan media, karyawan DBP dan tetamu undangan lain.