Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meneruskan rangka misinya memugar jalinan kerjasama dengan pihak kerajaan negeri menerusi pelaksanaan program Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2024.
Menara Kinabalu yang tersergam indah di pesisir pantai Teluk Likas menjadi saksi kepada pertemuan antara pihak pengurusan DBP dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong.
Program DBK yang merupakan program tahunan Kementerian Pendidikan Malaysia dan diuruskan oleh DBP itu bakal berlangsung mulai bulan Februari hingga Oktober 2024 di seluruh negara.
Semasa sesi pertemuan tersebut, YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong menyatakan sokongannya dan sentiasa bersedia bersama-sama DBP dalam memacu gerakan DBK bagi menyedarkan masyarakat, terutamanya di Sabah akan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan kaum dan bahasa negara.

Menurut beliau, kesemua 10 kementerian di bawah Kerajaan Negeri Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, selaku pihak berkuasa tempatan akan terlibat secara langsung dalam melaksanakan aktiviti semarak bahasa kebangsaan pada peringkat kementerian masing-masing bagi mencapai matlamat pelibatan pelbagai agensi kerajaan dalam usaha pemartabatan bahasa kebangsaan.
Tambah beliau, dengan adanya usaha kerjasama seumpama ini sudah pasti akan memberikan impak yang positif, khususnya kepada sektor awam di Sabah.
Pihak Kerajaan Negeri Sabah yang diwakili oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana DBK 2024 Peringkat Negeri Sabah, manakala Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan Pengarah DBP Cawangan Sabah bertindak sebagai Timbalan Pengerusi Bersama bagi program berkenaan.
Jelas beliau lagi, rangka kerja pelaksanaan DBK 2024 Peringkat Negeri Sabah akan dibincangkan bersama-sama pihak kementerian dan pihak berkuasa tempatan yang terlibat dalam mesyuarat pertamanya yang dijangka akan diadakan pada bulan Mac 2024.
Pada tahun ini, DBK 2024 di Sabah akan lebih meriah dengan adanya pelibatan aktif daripada semua kementerian di bawah Kerajaan Negeri Sabah dan kementerian di bawah Kerajaan Persekutuan Negeri Sabah.

Dalam sesi pertemuan tersebut, rombongan DBP diketuai oleh Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Datuk Jasni Matlani diiringi oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), YBrs. Encik Zulfa Hamzah; Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar; Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Jennitah Noordin dan Puan Julianah Kuli, serta Pegawai Hal Ehwal Korporat, Puan Hadine Yunus Gadong.