Diterbitkan pada 6 Oktober 2024, 17:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh – Bersempena dengan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 Peringkat Kebangsaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Perkamusan turut memeriahkan majlis dan tidak melepaskan peluang untuk menganjurkan satu program, iaitu Program Bersahabat dengan Kamus. Program ini dilaksanakan selama dua hari, iaitu pada 5 dan 6 Oktober 2024.

Program yang dianjurkan ini telah menjadi tumpuan dan mendapat sambutan yang menggalakkan melalui pelibatan aktif para pengunjung dan pelajar serta mendapat kerjasama strategik dan komitmen yang jitu daripada semua pihak.

Pada 5 Oktober 2024, program ini dilaksanakan di Sekolah Raja Perempuan Taayah, Jalan Raja Dihilir, Ipoh, Perak. Puan Hajah Juraidah Abdul Razak yang merupakan Penolong Kanan Pentadbiran sekolah ini turut mengalu-alukan dan menyambut baik usaha penganjuran program ini.

Program sebegini bukan sahaja memberikan peluang kepada para pelajar untuk memahami dan mendalami penggunaan kamus bahkan juga dapat meningkatkan minat para pelajar terhadap bahasa.

“Berdasarkan keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia, analisis yang dilakukan oleh Lembaga Peperiksaan ada menyebut, Tatabahasa Dewan dan kamus terbitan DBP perlulah dijadikan bahan rujukan utama oleh para pelajar khususnya kerana kandungannya yang tuntas dan autentik,” demikian ucapan balas oleh Ketua Bahagian Perkamusan, Encik Abdul Ghani Abu.

Sesi penyampaian cenderamata oleh Encik Abdul Ghani Abu (tiga dari kiri) kepada Puan Hajah Juraidah Abdul Razak (tiga dari kanan).

Dalam sesi pertama, program dimulakan dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Kanan Bahagian Perkamusan, iaitu Puan Zuraini Yeop Ahmad. Dalam sesi ini, para pelajar diberi pendedahan tentang sejarah dan perkembangan perkamusan Melayu, pengelasan kamus, jenis-jenis kamus terbitan DBP dan maklumat penting yang terdapat dalam kamus seperti kelas kata, sebutan, takrif, label bidang ilmu, label bahasa dan dialek dan etimologi.

Pendedahan ini sangat penting kerana kamus merupakan gerbang maklumat yang bersistematik yang perlu digunakan semasa proses pembelajaran bagi memperluas perbendaharaan kata, mempertingkatkan keyakinan dan kemahiran pelajar untuk melahirkan idea, tulisan dan pandangan yang baik dan berkesan melalui penggunaan bahasa yang indah, tepat dan bermutu.

Pelajar Sekolah Raja Perempuan Taayah menjawab soalan yang dikemukakan oleh penceramah, Puan Zuraini Yeop Ahmad.

Sesi kedua diteruskan dengan aktiviti Roda Kata. Aktiviti ini dikendalikan oleh Encik Md Shukuri Hamzah, Puan Norihan Rosli dan Encik Abdul Ilah Aminuddin. Aktiviti Roda Kata merupakan permainan singkat dan santai tentang kaedah pengunaan kamus dan pencarian kata atau maklumat yang dimuatkan dalam kamus. Program ini telah berjaya menarik seramai 120 penyertaan yang terdiri daripada pelajar sekolah berkenaan.

Pada 6 Oktober 2024, aktiviti Roda Kata diteruskan di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), Ipoh, Perak. Reruai Bahagian Perkamusan di ICC meriah dengan kebanjiran para pengunjung yang terdiri daripada pegawai jabatan kerajaan, pelajar institusi pengajian tinggi, badan swasta dan orang awam yang tidak ingin melepaskan peluang bermain Roda Kata dan menguji kemahiran mereka menggunakan kamus.

Reruai Bahagian Perkamusan di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) sibuk dikunjungi pengunjung yang tidak mahu melepaskan peluang menyertai aktiviti Roda Kata.

Pengunjung juga berpeluang mendapatkan maklumat tentang kamus-kamus yang diterbitkan oleh DBP. Aktiviti ini berlangsung pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 5.30 petang.

Antara pengunjung cilik yang turut serta menyertai aktiviti Roda Kata di Reruai Bahagian Perkamusan.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi