Diterbitkan pada 13 Oktober 2024, 15:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terpaksa mengambil tindakan mengenakan kompaun dan notis penguatkuasaan terhadap lima premis perniagaan yang tidak menyertakan bahasa Melayu di papan iklan mereka.

DBKL dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasminya telah menjalankan siasatan di Jalan Imbi dan mendapati bahawa lima premis perniagaan yang didapati melanggar Undang-undang Kecil Iklan (WP) 1982 dengan meminggirkan bahasa Melayu di papan iklan mereka.

Walau bagaimanapun, DBKL memaklumkan bahawa mulai sekarang sehingga 14 hari berikutnya pemilik premis perniagaan itu hendaklah menurunkan  iklan tersebut atau tindakan selanjutnya akan menyusul.

Satu daripada premis perniagaan di Jalan Imbi yang didapati telah melanggar Undang-undang Kecil Iklan (WP) 1982 menerima surat kompaun.

Menurut beliau,

Nampaknya mereka lebih gemar mempamerkan bahasa lain. Tidak mengapa DBKL akan bantu mengingatkan mereka dengan kompaun dan Notis Penguatkuasaan. DBKL akan terus pantau dan pastikan premis lain tidak ‘terlupa’ pula pada masa akan datang.

DBKL menjelaskan bahawa penggunaan bahasa lain boleh dipamerkan, namun saiz perkataannya perlu lebih kecil daripada perkataan dalam bahasa Melayu

Menurut DBKL lagi, pihaknya akan meneruskan pemantauan untuk memastikan premis perniagaan lain tidak “terlupa” untuk mematuhi Undang-undang Kecil Iklan (WP) 1982 di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, dan menggesa orang ramai untuk membuat laporan jika melihat papan iklan yang tidak mematuhi udang-undang tersebut.

Tindakan ini berikutan tularnya satu video di media sosial sehingga memaksa DBKL turun padang bagi ‘menyegarkan’ ingatan pemilik premis tentang peraturan yang telah berkuat kuasa selama ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi