Diterbitkan pada 16 Oktober 2024, 12:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Jainal Sakiban diumumkan sebagai penerima Anugerah Karyawan Seni Khat dalam Majlis Penyampaian Anugerah Karyawan Seni Khat dan Karyawan Muda Jawi bersempena dengan program “Gempita Jawi” anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan bertempat di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) baru-baru ini.

Jainal Sakiban merupakan pakar kaligrafi dan seni khat Jawi yang telah berjasa selama lebih dua dekad untuk menghasilkan karya seni khat berimpak dan bernilai tinggi.

Anak kelahiran Senggarang, Batu Pahat, Johor ini pernah berkhidmat di Jabatan Agama Islam Johor, dan merupakan graduan Universiti al-Azhar, Mesir.

Beliau merupakan Setiausaha Kerja Majlis Agama Islam Johor dan Pengerusi Persatuan Khat Negeri Johor, serta pembimbing kelas seni khat di Yayasan Warisan Johor.

Sepanjang kerjayanya, Jainal Sakiban telah menerima pelbagai penghargaan dan anugerah seperti Tokoh Maal Hijrah Johor 1434 dan Tokoh Kaligrafi Johor.

Beliau juga dikenali atas sumbangannya mencipta logo ikonik seperti logo TV al-Hijrah, rancangan Halaqah dan pelbagai logo kaligrafi rasmi lain terutamanya untuk masjid jamik di negeri Johor.

Antara pencapaian yang paling membanggakan termasuklah ketika beliau dipilih untuk menulis warkah rasmi bagi Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, iaitu suatu pengiktirafan terhadap mutu karyanya yang tinggi.

Selain mencipta karya seni, Jainal Sakiban turut memberikan sumbangan akademik menerusi penerbitan beberapa buku panduan seni khat yang menjadi rujukan utama dalam bidang ini.

Karya beliau merangkumi Siri Seni Khat bagi pelbagai gaya tulisan khat seperti Khat Nasakh, Riqa’ah, Dewani, Thuluth, Farisi dan Dewani Jali, di samping turut menerbitkan buku Seni Khat: Sejarah Tokoh dan Karya, Sejarah Perkembangan Pentadbiran Agama Islam Johor, dan 40 Tokoh Ulama Johor.

Abdul Aziz Omar (dua dari kanan) menerima Anugerah Karyawan Muda Jawi daripada Pengarah DBP Wilayah Selatan, YBrs. Tuan Haji Mohd Ridhwan Wahab (dua dari kiri).

Sementara itu, Anugerah Karyawan Muda Jawi pula dianugerahkan kepada Abdul Aziz Omar yang mempunyai latar belakang pendidikan Sains Pendidikan Pengajian Islam dan kini berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Bimbingan dan Kaunseling di Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Johor.

Abdul Aziz Omar memainkan peranan penting dalam projek pendidikan Jawi dengan mengetuai panel penyemak kurikulum Jawi serta terlibat dalam penghasilan buku teks sekolah agama di negeri Johor.

Abdul Aziz turut dikenali sebagai pereka seni khat dalam acara mega pada peringkat negeri dan kebangsaan seperti Sambutan 100 Tahun Pendidikan Islam Johor dan Majlis Tilawah al-Quran dan Hafazan.

Beliau juga bertindak sebagai editor dan penulis buku Jawi yang digunakan di sekolah agama kerajaan negeri Johor yang merangkumi buku teks darjah satu hingga Darjah Khas.

Pemberian anugerah ini tidak hanya sebagai platform pengiktirafan tokoh dalam nuansa Jawi, tetapi turut menyemarakkan usaha memelihara dan mengembangkan tulisan Jawi serta seni khat sebagai warisan budaya bangsa.

Pengiktirafan seperti ini diharapkan menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus menghargai dan memartabatkan tulisan Jawi di Malaysia dan Johor khususnya.

Penganjuran program ini merupakan komitmen dan iltizam yang tinggi DBP Wilayah Selatan dalam pemartabatan seni khat dan tulisan Jawi di negeri Johor.

Majlis telah disempurnakan oleh Pengarah DBP Wilayah Selatan, YBrs. Tuan Haji Mohd Ridhwan Wahab selaku penganjur utama dan Rektor KUIJSI, YBrs. Profesor Madya Dr. Hussin Salamon selaku tuan rumah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi