Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sayembara Deklamasi Puisi Bahasa Melayu Antarabangsa Ke-2 pada tahun 2024 dengan tema “Bahasa Melayu Bahasa Dunia” anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengangkat martabat penggunaan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.
Program sayembara tersebut telah disempurnakan dengan ucapan penutupan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang di Balai Seminar Tun Hamdan Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP, semalam.
YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata,
Saya melihat program sayembara ini merupakan suatu keperluan untuk memperkasakan penggunaan bahasa Melayu sebagai lingua franca pada peringkat antarabangsa serta memberikan peluang dan pendedahan kepada para peserta untuk menunjukkan bakat dalam bidang deklamasi puisi.
Selain itu, beliau turut berharap agar program sebegini akan diadakan secara berterusan pada masa akan datang.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan turut menyatakan dalam ucapan sambutannya bahawa program tersebut dapat membuktikan bahasa Melayu boleh dikuasai dan berkembang pada peringkat antarabangsa menerusi penyertaan oleh para deklamator.
Malah, penyampaian para peserta secara umumnya menarik walaupun penguasaan bahasa Melayu masih pada peringkat awal dan pertengahan, namun mesej dalam puisi yang disampaikan dapat difahami kerana puisi yang dipilih mengagungkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu, lingua franca yang sepatutnya terus dimantapkan serta diperkasakan di negara ini dan berkembang di negara lain.

Program sayembara tersebut telah menampilkan sebanyak 10 orang peserta daripada pelbagai negara yang bukan penutur asalnya berbahasa Melayu seperti Arab Saudi, China, Jepun, Palestin, Syria dan lain-lain.
Selain itu, penganjuran sayembara pada kali ini menetapkan setiap peserta perlu mendeklamasikan satu daripada puisi yang terdapat dalam Antologi Puisi Bahasa Bonda, terbitan GAPENA pada tahun 2022.
Penjurian bagi program sayembara tersebut diadili oleh lima orang hakim, iaitu YBrs. Tuan Haji Hamzah Hamdani sebagai ketua hakim, YBrs. Dr. Abang Patdeli Abang Muhi, YBhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin, YBhg. Briged Jeneral Dato’ Dr. Mohd Radzi Haji Abdul Hamid, YBrs. Dr. Syahidatul Munirah Badrul Munir serta YBrs. Encik Mohd Khair Ngadiron sebagai juruaudit.

Turut hadir memeriahkan program tersebut ialah Pengerusi GAPENA, YBhg. Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Borhan; Timbalan Pengerusi GAPENA, YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Duta Besar Republik Turkiye Ke Malaysia, YBhg. Tuan Yang Terutama Emir Salim Yüksel.
