Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sayembara Deklamasi Puisi Bahasa Melayu Antarabangsa Ke-2 pada tahun 2024 menyaksikan Tai Weuy Liang dari Malaysia muncul sebagai juara dalam pertandingan tersebut dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000, piala, sijil dan cenderamata.
Sementara itu, Nusanwari Ha’ dari Thailand berjaya meraih naib juara dan menerima wang tunai sebanyak RM3,000, piala, sijil dan cenderamata, manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Roa’a Muhanad Alhamad dari Syria dengan memperoleh wang tunai sebanyak RM2,000.00, piala, sijil dan cenderamata.

Dalam temu bual eksklusif wartawan JendelaDBP bersama-sama juara Sayembara Deklamasi Puisi Bahasa Melayu Antarabangsa Ke-2 2024, Tai Weuy Liang menyatakan keterujaan beliau kerana pertandingan sayembara tersebut merupakan medan pada peringkat antarabangsa dan dianggap sebagai suatu medan yang besar berbanding dengan pertandingan lain yang disertai oleh beliau sebelum ini.
Beliau berkata,
Saya berasa sangat bangga dan bersyukur kerana kemenangan ini bukan sahaja untuk saya, malah untuk ibu bapa, jurulatih dan negara kita, Malaysia.
Sebenarnya saya membesar dalam persekitaran sekolah jenis kebangsaan Cina tetapi jurulatih saya banyak membantu kerana saya selalu bertutur bersama-sama beliau. Selepas beberapa ketika dan banyak pengalaman diperoleh, saya dapat memahami bahasa Melayu dan nuansa yang terdapat dalam bahasa tersebut.

Bahkan, beliau turut berkongsikan bahawa sumber seperti buku, novel dan video dalam medium bahasa Melayu sangat membantu beliau menguasai bahasa tersebut dengan lebih baik.
Selain itu, Nusanwari Ha’ yang bertugas sebagai guru bahasa Melayu di Sekolah Wittayalai Phuket, Thailand menzahirkan ucapan terima kasih kepada Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selain berasa gembira akan layanan yang diberikan kepada beliau seumpama orang tempatan di sini.

Menurut Nusanwari Ha’, kefasihan beliau bertutur dalam bahasa Melayu disebabkan beliau merupakan orang Melayu kampung di Pattani dan mempunyai guru yang minat dalam bidang sastera sebagai idolanya serta didikan guru tersebut dianggap sebagai pedoman untuk beliau terus mencuba menjadi penulis dan sasterawan.
Di samping itu, Roa’a Muhanad Alhamad yang bercita-cita menjadi seorang doktor dan kini belajar di Pusat Bimbingan Alternatif Cinta Syria Malaysia berasa gembira dan bersemangat dengan kejayaan yang diperoleh, malah pengalaman menetap di Malaysia selama sembilan tahun di Malaysia telah banyak membantu beliau untuk fasih berbahasa Melayu.

Penyampaian hadiah pertandingan ini telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan; dan Pengerusi GAPENA, YBhg. Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Borhan di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP.