Diterbitkan pada 20 Oktober 2024, 14:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pengkalan Chepa – Sebanyak 21 individu ditauliahkan sebagai Munsyi Dewan bagi tahun 2023 dalam Majlis Pentauliahan Munsyi Dewan 2023 dan Wacana Profesional Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) Siri 2/2024 di Dewan Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan Negeri Kelantan, pagi tadi.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak tiga orang ditauliahkan sebagai Munsyi Dewan (Bahasa), enam orang Munsyi Dewan (Sastera) dan 12 orang Munsyi Dewan (Jawi).

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan dalam ucapan perasmiannya berkata, DBP telah mentauliahkan 464 orang munsyi hingga kini yang terdiri daripada 290 orang Munsyi Dewan (Bahasa), 50 orang Munsyi Dewan (Sastera) dan 124 orang Munsyi Dewan (Jawi) yang melibatkan karyawan luar dan karyawan DBP sendiri.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Pentauliahan Munsyi Dewan 2023 dan Wacana Profesional Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) Siri 2/2024 di Dewan Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan Negeri Kelantan.

Menurut beliau, Munsyi Dewan ialah guru atau guru bahasa yang menjadi penceramah bahasa Melayu yang dilantik dan diiktiraf oleh DBP untuk mengendalikan kursus, ceramah dan taklimat bahasa Melayu, sama ada dalam sektor awam ataupun sektor swasta serta menjadi pakar rujuk bahasa Melayu bagi membantu DBP dalam usaha mengembangkan bahasa Melayu.

Ujar beliau,

Syabas dan tahniah kepada Munsyi Dewan yang ditauliahkan pada hari ini dan saya berharap agar tuan-tuan dan puan-puan dapat menjalankan tugas serta tanggungjawab sebagai Munsyi Dewan yang bukan sahaja untuk memberikan ceramah dan kursus, malah menjaga nama baik DBP dan memelihara kedaulatan bahasa Melayu.

Beliau juga menekankan bahawa DBP akan sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama kepada Munsyi Dewan untuk terus maju dalam kerjaya masing-masing, sama ada dalam bidang pendidikan ataupun dalam bidang lain yang diceburi.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, YBhg. Dato’ Haji Mohd. Zamri Haji Abdul Aziz berkata, Munsyi Dewan sebagai pakar rujuk dan mempunyai peranan yang sangat penting dalam membantu DBP untuk mengembangkan dan menyemarakkan penggunaan bahasa, sastera dan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, YBhg. Dato’ Haji Mohd. Zamri Haji Abdul Aziz ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Beliau juga menyokong bahawa bukan mudah untuk seseorang itu ditauliahkan sebagai Munsyi Dewan kerana mereka perlu melalui beberapa tapisan kursus dan bengkel serta ujian sebelum ditauliahkan sebagai Munsyi Dewan.

Katanya,

Semoga Munsyi Dewan yang ditauliahkan akan terus beriltizam tinggi untuk membantu masyarakat memperkasakan bahasa Melayu dan hal yang lebih utama ialah rakyat Malaysia hendaklah sedar akan peri pentingnya memartabatkan bahasa Melayu sebagai satu daripada wahana penyatuan bangsa di Malaysia.

Pada masa yang sama, Wacana Profesional Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) Siri 2/2024 yang dikendalikan oleh Pensyarah Akademik, Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu, YBrs. Dr. Azaha Ibrahim turut diadakan dengan menampilkan dua orang ahli panel yang memiliki kepakaran dalam bidang bahasa, iaitu Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, YBrs. Profesor Madya Dr. Karim Harun dan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBrs. Dr. Mazlan Ismail.

Sesi wacana yang dilaksanakan secara bersiri dan berterusan itu bertujuan untuk memberikan ilmu pengetahuan dan kefahaman kepada khalayak tentang KSBM; membuktikan kepada masyarakat bahawa KSBM adalah penting sebagai usaha untuk memperkukuh kedudukan bahasa Melayu dan menjelaskan kepada masyarakat bahawa KSBM merupakan rujukan dalam pembinaan, penilaian dan penguasaan bahasa Melayu.

Sekitar berlangsungnya Wacana Profesional Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) Siri 2/2024 di Dewan Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan Negeri Kelantan.

YBrs. Profesor Madya Dr. Karim Harun dalam sesi perkongsiannya berkata, KSBM merupakan satu dokumen rujukan untuk mengukur dan menentukan tahap pemerolehan dan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pengguna bahasa Melayu.

Ujar beliau,

Selama ini, kita tidak memiliki panduan untuk membangunkan atau membina kurikulum dan pentaksiran bahasa Melayu yang berasaskan sesuatu seperti KSBM, jadi kini kita telah mempunyai asas untuk dijadikan rujukan bagi tujuan tersebut.

Seterusnya, YBrs. Dr. Mazlan Ismail pula berpandangan bahawa KSBM diwujudkan sebagai rujukan dan digunakan di mana-mana institusi yang mengadakan kursus bahasa Melayu untuk memastikan keselarasan dan tahap penguasaan bahasa Melayu itu adalah sama.

Tambah beliau,

Bahasa sebenarnya suatu keterampilan dan berbahasa memerlukan penguasaan terhadap penggunaan bahasa yang betul serta berupaya mengukur sejauh mana penguasaan diri terhadap penguasaan bahasa Melayu itu.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pengarah DBP Wilayah Timur, Puan Ariza Che Ismail; Ketua Akademi DBP, Puan Mariati Josepha Mustafa; ahli panel pembinaan Munsyi Dewan 2023; tenaga pengajar Munsyi Dewan; wakil KPM; para pensyarah; guru-guru dan tetamu undangan lain.

Barisan Munsyi Dewan (Bahasa) bergambar bersama-sama YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan, YBhg. Dato’ Haji Mohd. Zamri Haji Abdul Aziz dan Puan Ariza Che Ismail.
Empat orang Munsyi Dewan (Sastera) yang hadir menerima Watikah Pentauliahan Munsyi Dewan 2023 di Dewan Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan Negeri Kelantan.
Sebanyak 12 orang Munsyi Dewan (Jawi) bergambar bersama-sama seusai menerima Watikah Pentauliahan Munsyi Dewan 2023.

SENARAI NAMA PENERIMA WATIKAH PENTAULIAHAN MUNSYI DEWAN 2023

Kredit Foto: Mohamad Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi