Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata bahawa usaha perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebenarnya telah lama bermula, khususnya dalam aspek pembinaan korpus.
Katanya, para ilmuwan Melayu terdahulu seperti Raja Ali Haji bin Raja Ahmad telah menyusun panduan bahasa melalui bukunya, Bustan al-Katibina li al-Subyan al-Muta’allimin yang dicetak cap batu pada tahun 1857 dan Kitab Pengetahuan Bahasa pada tahun 1859.
“Perancangan bahasa dilakukan oleh sesebuah negara untuk menentukan suatu sistem bahasa yang mampu digunakan dalam semua bidang terutamanya bidang pendidikan, pentadbiran dan ekonomi, dan yang lebih penting ialah proses penyatuan negara,” katanya.
YBrs. Dr Hazami berkata demikian ketika membentangkan Kertas Kerja Dasar yang bertajuk “68 Tahun Perancangan Bahasa di Malaysia: Tanggungjawab DBP” dalam Seminar Perancang Bahasa Kebangsaan 2024, di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Menara DBP, di sini, pagi tadi.
Sehubungan dengan itu, YBrs. Dr. Hazami berkata,
DBP menjadi badan kerajaan melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 yang diberi tanggungjawab untuk membina dan mengembangkan bahasa Melayu melalui tiga strategi teras perancangan bahasa, iaitu perancangan taraf, perancangan korpus dan perancangan perolehan, sebagaimana yang diamalkan oleh kebanyakan negara.

“Wasiat ini diterjemahkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu,”katanya.
Menurut beliau lagi, DBP telah mengharungi liku dan cabaran semasa bermula dengan keperluan bagi meyakinkan rakyat untuk menerima bahasa kebangsaan dan cabaran bahasa Melayu dalam era bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, cabaran bentuk baharu dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi pada era 2000-an, dan seterusnya cabaran untuk mengangkat bahasa Melayu ke pentas antarabangsa.
Selaras dengan falsafah “Pembinaan Negara Bangsa melalui Bahasa Melayu”, beliau berkata, DBP terus memandang ke hadapan dengan meneroka peluang yang dapat meningkatkan keberkesanan usaha perancangan bahasa melalui tiga strategi baharu, iaitu Penjanaan Industri Ekonomi Kreatif Berasaskan Bahasa, Peningkatan Infrastruktur Digital dan Penerapan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Oleh itu, beliau berharap agar DBP akan terus menggalas tanggungjawab sebagai badan perancangan bahasa selari dengan wawasannya untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai satu daripada bahasa utama dunia.
“Organisasi ini akan terus mengambil pendekatan dinamik melalui penyesuaian strategi dan pendekatan, dan mengintegrasikan kemajuan teknologi dalam usahanya itu.

“Dengan strategi dan pendekatan baharu yang bersepadu dan sesuai dengan perkembangan zaman, bahasa kebangsaan akan terus kekal relevan sebagai bahasa negara, bahasa ilmu dan terus mengorak langkah untuk menjadi bahasa ekonomi baharu.
“Dengan keupayaannya memainkan ketiga-tiga peranan tersebut secara berkesan, keyakinan dan kebanggaan rakyat terhadap bahasa kebangsaan akan terus subur sehingga menjadi jiwa bangsa Malaysia,” kata beliau.
Turut hadir pada sesi tersebut ialah YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Haji Awang Sariyan; YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hajah Asmah Haji Omar; YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Ts. Dr. Tengku Mohd Tengku Sembok; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP, YBrs. Dr. Norhafizah Mohamed Husin; Ketua Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Ketua Bahagian Penguatkuasaan DBP, Encik Rahimi Arifin; dan para peserta seminar yang terdiri daripada ahli akademik dan pencinta bahasa Melayu.