Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Seminar Perancangan Bahasa Kebangsaan 2024 yang berlangsung selama dua hari hingga semalam di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menetapkan tujuh resolusi untuk diambil perhatian dan tindakan oleh pihak yang berkenaan.
Resolusi daripada sesi pembentangan kertas kerja seminar tersebut disampaikan oleh Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa.
Antara resolusi seminar yang dibentangkan termasuklah bahasa Melayu perlu diperkaya dengan pelbagai cara.
Kedua, khazanah bahasa Melayu perlu diperkaya berdasarkan kerangka strategik lima tahap utama, iaitu penilaian kritis dalam bidang ilmu, keahlian dan institusi, pemetaan bidang ilmu yang ditafsirkan, ilmu yang dicari dalam bidang tafsiran, pelaksanaan promosi dan keteguhan prasarana.

Ketiga, pengumpulan dan pendokumentasian pelbagai ilmu dalam bahasa Melayu dalam format digital perlu dilaksanakan sebagai langkah pemeliharaan khazanah ilmu.
Sehubungan dengan itu, pembangunan kamus dan tatabahasa elektronik perlu diusahakan bagi membantu pengguna berkomunikasi dan memahami bahasa Melayu dengan lebih baik.
Kelima, kegiatan penyelidikan dan pendokumentasian perlu terus dipergiat demi memperkasakan bahasa dan persuratan Melayu.
Keenam, pemerkasaan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan guru bukan opsyen mesti dilaksanakan agar pembelajaran bahasa Melayu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Ketujuh, kerangka standard bahasa Melayu (KSBM) perlu dimanfaatkan dalam semua perancangan dan pelaksanaan hala tuju pendidikan bahasa Melayu.
Majlis penutupan Seminar Perancangan Bahasa Kebangsaan 2024 telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; dan Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin.