Diterbitkan pada 27 Oktober 2024, 11:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Majlis Kemuncak Sambutan Jubli Perak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara bersempena dengan 25 tahun penubuhannya telah berlangsung pada 26 Oktober 2024 di Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia (USM) dengan tema Semangat Nan Abadi”.

Dalam majlis tersebut, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak berkenan menyempurnakan perasmian teater Aci Patmabi dalam suasana yang penuh gemilang. Majlis dirasmikan dengan simbolik paluan gong sebanyak tiga kali.

Dalam majlis tersebut, beliau turut menerima senaskhah buku Semangat Nan Abadi daripada Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan sebagai lambang kemegahan bahasa, sastera dan persuratan kebangsaan dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dalam ucapannya juga menekankan bahawa usaha pemartabatan bahasa, sastera dan persuratan kebangsaan tidak akan pernah luntur, malah akan kekal berterusan sehingga bahasa Melayu menjadi “tuan” di tanahnya sendiri.

Sepanjang 25 tahun DBP Wilayah Utara beroperasi, banyak kegiatan yang telah dilaksanakan sama ada berskala besar ataupun kecil. Antaranya termasuklah Hadiah Sastera Darul Ridzuan, Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang, Anugerah Sastera Darul Aman, pementasan teater, pelbagai seminar dan wacana yang merangkumi kegiatan kebahasaan, kesusasteraan dan persuratan, pelbagai pertandingan, bengkel dan pelbagai kegiatan lain.

Buku Semangat Nan Abadi diserahkan kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Buku Semangat Nan Abadi yang diterbitkan bersempena dengan Jubli Perak DBP Wilayah Utara.

Beliau berkata, mengimbau sejarah 25 tahun yang lalu, DBP Wilayah Utara mula beroperasi sejak 1 Julai 1999 di Bandar Perda, Bukit Mertajam. Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang pada ketika itu, iaitu Tun Datuk Seri Abdul Rahman Abbas pada 3 Ogos 2001.

“Tertubuhnya pejabat DBP Wilayah Utara di Bandar Perda tidak hanya menandakan tekad dan iltizam DBP dalam usaha memartabatkan bahasa dan sastera Melayu, bahkan penubuhannya adalah untuk menjadi pusat rujukan serta pusat kegiatan bahasa, sastera dan persuratan, khususnya di Wilayah Utara,” jelas beliau.

Babak pada awal cerita yang mengisahkan Aci Patmabi (kanan) bersama-sama ibu mentuanya yang berfkiran kolot sehingga dirinya tidak dibenarkan bersalin di hospital.

Bagi pementasan teater pada malam kemuncak, para penonton terpukau dengan persembahan teater Aci Patmabi yang mengisahkan perjuangan seorang wanita yang cuba menyelamatkan tanah, harta dan maruah penduduk peribumi Pulau Pinang daripada tergadai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Sepanjang perjuangannya, Aci Patmabi turut berdepan dengan cabaran apabila ditentang oleh bangsa dan keturunan suaminya.

Para penonton daripada pelbagai bangsa tidak berganjak semasa menyaksikan teater Aci Patmabi.

Turut hadir dalam pementasan teater tersebut ialah mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, YBhg. Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Naib Canselor USM, YBhg. Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Mohd Yussof Latiff; Konsul Jeneral Kehormat Negara Pakistan, YBhg. Dato’ Seri Dr. Haji Abdul Rafique Abdul Karim; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), DBP, Tuan Haji Md. Johari Hasan; Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Armin Azhari Saleh; ketua-ketua jabatan dan bahagian DBP serta USM; penggiat teater; agensi kerajaan dan swasta; staf USM, para pelajar USM; pelajar dari China dan orang awam.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi