Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dr. Malar Santhi A/P Santherasegapan merupakan antara pempengaruh media sosial yang diiktiraf sebagai Ikon Bahasa 2024 dalam majlis Apresiasi Anugerah Citra DBP yang berlangsung di Dewan Dato’ Hassan Ahmad, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semalam.
Dr. Malar Santhi yang merupakan Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Columbia Asia, Cheras, merupakan satu-satunya penerima Ikon Bahasa 2024 berbangsa India yang mempunyai kebolehan bertutur dalam bahasa Melayu yang fasih.
Ketika ditemu bual, beliau berkata bahawa beliau lebih gemar menggunakan bahasa Melayu kerana bahasa tersebut menjadi perantara antara beliau dengan kedua-dua ibu bapanya.
Katanya, beliau berhasrat untuk mengembangkan bahasa Melayu kerana bahasa Melayu merupakan medium yang mudah difahami oleh seluruh masyarakat.
Ujar beliau,
Penyampaian saya dalam bahasa Inggeris membuatkan masyarakat sukar untuk faham, oleh itu saya menggunakan bahasa Melayu yang merupakan medium utama bagi mereka dalam platform media sosial.
Anugerah Ikon Bahasa 2024 juga dimenangi oleh pempengaruh media sosial, Ng Yee Sheng (Boss James) yang juga seorang usahawan dan motivator; dan Lim San Shien yang juga merupakan Ikon Siswa Kepimpinan.
Majlis Apresiasi Anugerah Citra DBP menggabungkan empat anugerah, iaitu Anugerah Ikon Bahasa 2024, Hadiah Tunas Cipta 2021/2022, Pertandingan Komik Jawi dan Hadiah Citra Bahasa.
Bagi kategori Konvensional Pertandingan Komik Jawi 2024, tempat pertama dimenangi oleh Mohd Shah Tumin diikuti naib johan dimenangi oleh Muhammad Taufik Hafzi, dan tempat ketiga dimenangi oleh Zawiyah Kamil yang masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM2,500 dan sijil penghargaan.
Kategori Digital Pertandingan Komik Jawi 2024 pula, johan dimenangi oleh Muhammad Firdaus Husain menerima wang tunai sebanyak RM 2000 dan sijil penghargaan, diikuti naib johan dimenangi oleh Tuan Dhiyat Tuan Yuhailan menerima hadiah wang tunai RM1000 dan sijil penghargaan, dan tempat ketiga dimenangi Encik Adham Azmi Arif menerima sijil penghargaan.
Selain itu, bagi Hadiah Tunas Cipta kategori kanak-kanak berbentuk puisi dimenangi oleh Ryan Yusuf Syah Md Muziman diikuti Nur Zara Amaya Abdul Muntaqim, Nurul Nuha Arisya Zul Aizam, Loshni A/P Paramasiyam dan Assyeefa Nur Imani Abdul Manaf masing-masing menerima hadiah wang tunai RM500 dan sijil penghargaan.
Hadiah Tunas Cipta kategori kanak-kanak berbentuk cerpen pula dimenangi oleh Yasmin Adni Mohd Nazeri diikuti Asma Mohd Shazwan, Ahmad Amni Razali, Iffah Liyana dan Suriyalagan A/L N Mathy Yalagan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM800 dan sijil penghargaan,
Bagi kategori remaja berbentuk puisi, dua karya terbaik oleh Arif Haiqal Roslan yang bertajuk “Terima Kasih Emak” dan “Munajat Al-Aqsa, Palestin memenangi tempat pertama yang membawa pulang hadiah wang tunai RM700 dan sijil penghargaan, diikuti Lee Shuet Yee dengan tajuk “Janji Cikgu”, Rania Adlina Azalan dengan tajuk “Menjulang Aspirasi Koperasi Sekolah” dan Ameer Faiz Mohd Azmi yang bertajuk “Tanah Ini Terlalu Istimewa”
Sementara itu, kategori remaja berbentuk cerpen dimenangi oleh Clariessa Anak Kesulai dengan tajuk “Menenun Kasih” yang membawa pulang wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan, diikuti Aminatul Aqilah Habib dengan tajuk “Wira Negara”, Nur Amynasuha Mohamad Yusop dengan tajuk “Derita Tersirat”, Nik Ailnal Bakti Mohamad Rashidi dengan tajuk “Hero Seorang Abang” dan Nor Faieza Abu Bakar dengan berjudul “Pulang”.
Bagi kategori remaja berbentuk rencana pula dimenangi oleh Daniel Hakim Hanipi dengan tajuk “Memupuk Perpaduan Rakyat Melalui Pendidikan” yang membawa wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan, diikuti Arif Haiqal Roslan dengan tajuk “Pantai Dan Lautan”, Alif Aiman Mohd Yusri dengan tajuk “Jurang Generasi”, Jasmine Lee dengan tajuk “Berita Palsu Sebagai Musuh Negara” dan Puteri Nurina Mohd Jasmani dengan tajuk “OCD Gangguan Mental”.
Selain itu, penerima bagi Anugerah Citra Bahasa 2024 pula dimenangi oleh Kementerian Komunikasi, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Jabatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan BioKeselamatan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia, Majlis Sukan Negara Malaysia, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Muzium Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Majlis Perbandaran Pasir Udang, Public Islamic Bank Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad.