Diterbitkan pada 30 Januari 2025, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Kesilapan itu menjadi lebih parah apabila terdapat unsur penyebaran perkara yang tidak baik dan mengakibatkan kesan negatif, bukan hanya terhadap diri sendiri, malah orang lain. Apabila seseorang itu menyedari kesilapan tersebut, satu daripada cara untuk membetulkan keadaan tersebut ialah permohonan maaf.

Terdapat beberapa strategi bahasa yang dapat digunakan dalam permohonan maaf. Perbincangan ini memfokuskan tujuh strategi bahasa permohonan maaf yang digunakan, iaitu mengungkapkan penyesalan, menebus kesalahan, menzahirkan kekecewaan, menjelaskan kesalahfahaman, menerima kesan, membetulkan kenyataan dan menjelaskan punca.

Bagi strategi mengungkapkan penyesalan dalam permohonan maaf, seseorang itu boleh mengucapkan kalimat penyesalan. Bagi memudahkan pendengar memahami situasi tersebut, maklumat yang salah tersebut perlu disampaikan secara kronologi dan menyatakan individu yang terlibat. Dalam strategi ini, riak muka penyesalan yang serius dan tiada senyuman merupakan aspek emosi terpenting dalam ungkapan permintaan maaf tersebut. Contoh penggunaan strategi ini dapat dilihat dalam ayat yang berikut:

  • “Kami menzahirkan rasa kesal atas penggunaan kenyataan dalam bahasa Mandarin…. Sekali lagi kami memohon maaf atas kejadian yang tidak disengajakan itu.”
  • “Menerusi kenyataan di Instagram, pasangan terbabit meluahkan rasa kesal kerana keputusan yang diambil mereka tidak membuahkan hasil seperti diharapkan.”

 

Strategi kedua ialah strategi menebus kesalahan. Dalam strategi ini, seseorang itu menyuarakan hasratnya untuk menebus kesalahannya dengan melakukan apa-apa sahaja untuk mengembalikan atau memperbaiki keadaan. Seseorang itu perlu berani bertanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukannya. Bagi sesetengah orang, tindakan seperti ini mampu menzahirkan ketulusan dalam permohonan maaf tersebut. Penggunaan strategi ini dapat dilihat dalam ayat yang berikut:

  • “Menurut Victor, pihaknya sedang meneliti secara menyeluruh bagi memastikan kejadian sama tidak berulang lagi.”

 

Strategi ketiga ialah strategi menzahirkan kekecewaan. Ketika seseorang itu menyedari kesalahan yang dilakukannya, permohonan maaf dapat dilakukan dengan cara menzahirkan rasa kecewanya. Cara ini menunjukkan usaha untuk memperbaiki diri dan menjauhi semua perbuatan tidak baik yang pernah dilakukan. Penggunaan strategi ini pula dapat dilihat dalam ayat yang berikut:

 

  • “Najib mengaku beliau amat terluka setelah mengetahui segala kecurangan yang berlaku ….”

 

Strategi seterusnya ialah strategi menjelaskan kesalahfahaman. Bagi strategi ini, orang yang melakukan kesalahan bersedia untuk menerima tanggung jawab bagi menjelaskan keadaan sebenar yang menjadi punca salah faham. Penjelasan ini menunjukkan bahawa orang tersebut memiliki usaha untuk memastikan salah faham tersebut tidak berterusan dan orang yang mendengarnya memaafkan kesalahan yang berlaku. Penggunaan strategi ini dapat diperhatikan dalam ayat yang berikut:

  • “Sekali lagi,saya bukan dalang …. Saya tidak sedar bahawa … saya tidak langsung mengetahui …. Walaupun sukar sesetengah pihak memahami saya telah dinasihati dengan jujur mempercayai ….”

 

Yang berikutnya ialah strategi penerimaan kesan. Bagi sebahagian individu, kesanggupan untuk menerima kesan daripada kesalahan yang dilakukan ialah bahagian terpenting ketika meminta maaf. Tujuannya adalah untuk memperbaiki hubungan yang renggang. Orang yang melakukan kesalahan ini bersedia untuk menanggung kesan daripada kesalahan tersebut, seperti membayar ganti rugi. Penggunaan strategi ini dapat diperhatikan dalam ayat yang berikut:

  • “Pihak defenden juga bersetuju untuk memadamkan penyataan fitnah dan tidak menerbitkan semula atau berkongsi pernyataan fitnah itu serta bersetuju untuk membayar satu jumlah yang tidak didedahkan sebagai pampasan anak guamnya.”

 

Strategi keenam ialah strategi membetulkan kenyataan. Kenyataan yang salah dapat berlaku disebabkan oleh sikap terburu-buru ketika membuat kesimpulan dalam penyampaian berita. Apabila menyedari kesalahan tersebut, fakta yang tepat perlu dikemukakan. Kejujuran ini dapat membangkitkan rasa percaya terhadap sesuatu laporan. Ayat yang menggambarkan penggunaan strategi ini dapat dilihat dalam ayat yang berikut:

  • “Hari ini Utusan Malaysia yang menyiarkan laporan berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memohon maaf kepada seluruh pembaca dan portal itu turut menarik balik berita berkenaan kerana fakta yang tak dapat disahkan.”

 

Strategi terakhir ialah strategi menjelaskan punca. Hal ini menunjukkan bahawa permohonan maaf juga dapat dilakukan dengan cara menjelaskan punca bagi kesilapan yang berlaku. Penjelasan punca ini dilakukan agar individu yang terlibat dapat memahami dan menerima alasan ketelanjuran tersebut. Penjelasan punca yang ringkas dan padat ini dapat mewujudkan situasi yang lebih baik, membangkitkan keberkesanan dan memberikan impak positif. Contoh ayat yang menggambarkan penggunaan strategi ini dapat dilihat dalam ayat yang berikut:

  • “Menurut Vivy, kegagalan berpunca daripada strategi pengembangan syarikat yang terlalu agresif.”

 

Secara keseluruhannya, jelaslah bahawa bahasa permohonan maaf ini wajar digunakan untuk membetulkan kesilapan. Namun begitu, penggunaan strategi ini bukanlah untuk mewajarkan tingkah laku seseorang. Menerusi strategi yang dibincangkan ini, permohonan maaf dapat menonjolkan sikap perikemanusiaan dan pada masa yang sama membetulkan salah faham yang berlaku, sama ada dalam kalangan pemimpin atau orang awam. Cara ini mampu mengelakkan kemarahan dan mengekalkan keharmonian.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi