Diterbitkan pada 25 Januari 2025, 09:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Negara Malaysia tentu terkejut, jika diberitahu bahawa sehingga kini sudah terdapat seramai kira-kira 2,500 siswa kami mempelajari Bahasa Melayu, sejak beberapa tahun dulu lagi di tiga buah universiti, di negara Uzbekistan.”

Kenyataan di atas diujarkan oleh Ketua Jabatan Pengajian Bahasa Melayu Uzbekistan State World Languages University (UzSWLU), YBrs. Prof. Dr. Azim Abdulrakhmanovich ketika sidang pertemuan peringkat pertama bagi kerangka Cadangan Kerjasama UzSWLU dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) di Bilik Mesyuarat, Aras 4, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 16 Januari yang lalu. 

Prof. Dr. Azim yang fasih berbahasa Melayu sebelum ini pernah menyambung pengajian tingginya dalam bidang kajian bahasa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Jelas beliau lagi,

Di universiti UzSWLU, pengajian bahasa, sama ada bahasa Melayu atau bahasa Indonesia, titik tolak ini mempunyai asas konteks yang sama kerana kedua-duanya adalah keluarga bahasa serumpun.

Beliau memberitahu, selain UzSWLU yang kini merupakan tempat beliau mengajar, terdapat dua buah universiti lain lagi di negara Uzbekistan itu yang turut menawarkan kursus pengajian Bahasa Melayu, iaitu University of Oriental Studies dan Samarkand State University.

“Setiap tahun, seramai kira-kira 100 hingga 250 siswa berminat mempelajari bahasa Melayu di setiap tiga buah universiti ini, di negara kami,” ujar Prof. Dr. Azim.

Sidang pertemuan kali pertama ini merupakan tindakan proaktif oleh DBP, susulan daripada kunjungan hormat YBrs. Prof. Dr. Azim bersama-sama dengan YBhg. Dato’ A. Aziz Deraman yang merupakan mantan Ketua Pengarah DBP (1994 – 2004) dan kini selaku Presiden, Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) pada 7 Januari yang lepas.

Antara lain yang menarik dalam perbincangan ini, Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmini Omar menyarankan agar YBrs. Prof. Dr. Azim menyumbangkan artikel berkaitan dengan perkembangan pengajaran Bahasa Melayu di Uzbekistan untuk paparan pembaca di Malaysia.

Sidang turut membincangkan agar UzSWLU dan negara itu memberikan peluang mewujudkan program penulis tamu (resident writer) bagi bidang sastera antara Uzbekistan dengan Malaysia.

Hal ini agar pemanfaatan bersama-sama antara kedua-dua negara ini dapat mendinamikkan signifikan kesusasteraan pada cakupan kajian dan juga kreativiti, di samping kepentingan bahasa.

Pada sesi penutupan, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puan Roziah Md. Yunus selaku pengerusi sidang pertemuan dan perbincangan ini merumuskan keyakinan tinggi bahawa DBP bersedia untuk berkoloborasi dengan UzSWLU bagi membantu merealisasikan aspirasi dan mendinamikkan wawasan ini.

YBrs. Prof. Dr. Azim (tiga dari kanan) dan YBhg. Dato’ A. Aziz Deraman (empat dari kanan) bergambar kenang-kenangan bersama-sama dengan pegawai kanan serta pegawai DBP lain yang terlibat dalam sidang tersebut.

“Langkah dan usaha ini dapat bersejajar dengan hasrat Malaysia MADANI yang bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban,” ujar kata penutupan beliau, sebagai menyampaikan amanat Ketua Pengarah DBP.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi