Arina Zata Sabila binti Musthafa Abrar .
Diterbitkan pada 4 Februari 2025, 15:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Uzbekistan State World Languages University (UzSWLU) bercadang untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama akademik dan memperluas promosi bahasa Melayu di Uzbekistan.

Perbincangan yang berlangsung pada petang semalam di Menara DBP tentang cadangan ini melibatkan delegasi UzSWLU yang diketuai oleh Rektor institusi tersebut, iaitu YBrs. Dr. Ilkhomjon Tukhtasinov, serta pensyarah kanan, YBrs. Profesor Dr. Abdurakhim Abdumutalipovich Nasirov dan YBrs. Profesor Azim Abdurakhmonovich Yuldashev. 

Sementara itu,  DBP yang diketuai oleh Ketua Pengarah, YBrs. Dr. Hazami Jahari bersama-sama beberapa pegawai kanan termasuk Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan merangkap Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Puan Roziah Md Yunus; Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, YBrs. Encik Mohd Fadzli Tajuid; Ketua Akademi DBP, YBrs. Puan Mariati Josepha Mustafa serta Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, YBrs. Puan Norhasmanalinda Mustapa.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dan delegasi dari UzSWLU membincangkan kerjasama akademik bagi memperluas pengajaran bahasa Melayu di Uzbekistan.

Dalam pertemuan kali kedua antara kedua-dua institusi ini, perbincangan lebih lanjut dijalankan bagi memantapkan usaha kerjasama akademik melalui beberapa inisiatif utama. 

Kerjasama ini melibatkan pertukaran pentadbir, pakar dan penyelidik dalam bidang bahasa dan sastera serta pertukaran pelajar untuk mengikuti kursus bahasa Melayu dan program latihan industri. 

Selain itu, kedua-dua institusi turut akan melaksanakan projek pendidikan dan penyelidikan serta pertukaran penerbitan yang berkaitan dengan pengajaran bahasa. Penganjuran kursus akademik dan pembangunan profesional jangka pendek bagi tenaga pengajar bahasa Melayu turut termasuk dalam perancangan.

YBrs. Dr. Ilkhomjon Tukhtasinov mencadangkan agar buku-buku dari Uzbekistan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu serta buku-buku bahasa Melayu ke dalam bahasa Uzbek agar dapat mengukuhkan hubungan diplomatik Malaysia-Uzbekistan melalui perkongsian budaya dan bahasa.

Di samping itu, DBP dan UzSWLU akan menganjurkan serta menyertai persidangan, simposium, bengkel dan forum antarabangsa yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran bahasa serta sastera Melayu. 

Kedua-dua institusi juga akan membentuk kumpulan penulis bersama bagi menghasilkan dan menerbitkan buku teks, manual dan bahan metodologi pengajaran. 

Penyertaan dalam acara pendidikan, kebudayaan, pameran dan pesta buku di kedua-dua institusi turut dirancang, tertakluk pada sumber kewangan yang tersedia. Selain itu, kerjasama dalam bidang lain yang berkepentingan bersama juga akan dipertimbangkan.

YBrs. Dr. Hazami Jahari dan Dr. Ilkhomjon Tukhtasinov mengetuai rundingan bagi memeterai MoU antara DBP dengan UzSWLU dalam usaha memperkukuh promosi bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa.

Kerjasama ini bakal melibatkan Kementerian Luar Negeri Malaysia serta Kedutaan Uzbekistan di Malaysia sebagai usaha memperkukuh hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Dengan jalinan kerjasama ini, DBP dan UzSWLU dijangka dapat memperluas penyebaran dan pengajaran bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa, khususnya di Asia Tengah.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi