Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Akademi DBP telah mengadakan Sesi Perkongsian Ilmu: Program Pemerolehan Pengetahuan Editor Bahagian Buku Sekolah pada 6 Januari 2025 bertempat di Ruang Legar Akademi DBP, Aras 4, Wisma DBP.
Sebanyak 30 orang peserta yang terdiri daripada karyawan DBP telah menyertai program perkongsian ilmu ini. Objektif program ini adalah untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan karyawan DBP tentang sistem pendidikan yang dilaksanakan di Denmark.

Program ini menampilkan Encik Muhammad Faiz Muhammad Ali dan Encik Mohamad Arshad Sulaiman dari Bahagian Buku Sekolah, DBP sebagai ahli panel. Perkongsian ini diadakan bersempena dengan lawatan mereka ke Denmark pada 27 Oktober 2024 hingga 5 November 2024.
Sebagai pembuka program, Encik Muhammad Faiz berkongsi secara ringkas tentang Sistem Pendidikan di Denmark. Beliau menyatakan bahawa sistem pendidikan sekolah rendah dan menengah rendah di sekolah kerajaan adalah percuma dan terdapat beberapa buah sekolah yang menyediakan makan tengah hari secara percuma.
Di samping itu, sistem persekolahan rendah dan menengah rendah menggunakan nilai gred. Sistem ini berbeza dengan Malaysia yang menggunakan sistem darjah dan tingkatan. Di Denmark gred satu sehingga tujuh merupakan pelajar yang berusia tujuh hingga 15 tahun. Pelajar yang berada pada gred sembilan perlu menjalani peperiksaan Folkeskole Afgangspr∅ve, iaitu peperiksaan umum sebelum memasuki gred sepuluh. Gred sepuluh tidak diwajibkan kepada semua pelajar kerana gred ini berfokus terhadap tahun ulang kaji dan persediaan sebelum ke peringkat menengah atas.
Menurutnya lagi, sistem sekolah menengah atas akan menyediakan beberapa jenis program seperti pelajaran umum, pembelajaran dalam bidang profesional dan terarah (pengurusan, reka bentuk dan teknologi), pembelajaran dalam bidang ekonomi, pengurusan dan pemasaran serta pembelajaran dalam bidang sains, sains teknikal dan sains komputer.
Seterusnya, Encik Mohamad Arshad Sulaiman pula menyatakan bahawa mereka memilih untuk mengunjungi Syarikat Khora membuat pemerolehan ilmu ini kerana pada tahun 2023, Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan Dasar Pendidikan Digital dan inti pati dalam dasar ini ialah pendigitalan bahan pendidikan dan penggunaan infrastruktur.
Syarikat Khora merupakan syarikat yang membangunkan bahan digital khususnya realiti e-buku dan bahan realiti maya (virtual reality). Syarikat ini juga menyediakan pelbagai perkhidmatan bahan digital terutama dalam bentuk sistem pendidikan dan latihan. Pelajar akan belajar tentang sains dengan lebih mendalam dan seakan-akan berada di dunia nyata melalui bahan realiti maya.