Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Majlis Peguam Malaysia, dan Fakulti Perundangan Universiti Kebangsaan Malaysia akan menganjurkan Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan dalam Bidang Undang-Undang pada 27 Februari ini di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP.
Menurut Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Puan Roziah Md Yunus, program ini bertujuan untuk memahami cabaran yang dihadapi pengamal undang-undang dalam penggunaan bahasa Melayu serta merakyatkan bahasa kebangsaan dalam sektor perundangan.
“DBP dan rakan strategik ingin memastikan bahasa Melayu dimartabatkan dalam sistem perundangan negara. Simposium ini akan menjadi medan perbincangan bagi mengenal pasti isu-isu serta langkah ke arah pengukuhan penggunaan bahasa kebangsaan dalam bidang ini,” katanya ketika bersiaran secara langsung di Radio UiTM (93.6 FM) pagi tadi.
Peguam bela dan peguam cara, Encik Khairul Naim Rafidi yang turut menjadi panel dalam siaran tersebut menegaskan bahawa perjuangan untuk menempatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam perundangan bukanlah perkara baharu.
Perbincangan tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sudah pun dibangkitkan sejak zaman penjajahan. Misalnya, dalam akhbar Saudara bertarikh 14 Mac 1936, Abdul Rahman Al-Ayubi pernah menulis tentang keperluan penggunaan bahasa Melayu dalam mesyuarat kerajaan Perak termasuklah cadangan menyediakan penterjemah jika perlu,” ujar beliau.
Beliau juga menyatakan bahawa meskipun kebanyakan akta dan enakmen telah diterbitkan dalam bahasa Melayu, masih terdapat kecenderungan penggunaan bahasa Inggeris di mahkamah tinggi, mahkamah rayuan dan mahkamah persekutuan, terutamanya dalam kes sivil dan komersial. Tambah beliau,
Sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, perkembangan positif dapat dilihat apabila hakim-hakim sendiri menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam prosiding mahkamah.
Simposium ini diharap dapat menjadi landasan untuk memperkasakan lagi penggunaan bahasa Melayu dalam sistem perundangan negara selaras dengan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan.