Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Jabatan Bantuan Guaman (JBG), Jabatan Perdana Menteri, Majlis Peguam Malaysia (MPM), Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia melalui Fakulti Undang-undang akan menganjurkan Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan dalam Bidang Undang-undang pada 27 Februari 2025, bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.
Dengan mengangkat tema “Merakyatkan Undang-undang, Memartabatkan Bahasa Kebangsaan”, simposium ini bertujuan untuk mengumpulkan pakar perundangan sebagai usaha untuk memastikan bahasa Melayu dapat digunakan sepenuhnya dalam bidang perundangan di negara ini.

Menurut Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika ditemu bual oleh editor majalah Dewan Bahasa DBP, baru-baru ini, pemerkasaan bahasa kebangsaan dalam bidang perundangan perlu diberikan perhatian yang khusus.
DBP melihat perkara ini perlu diberikan perhatian khusus bagi memastikan agar agenda pemerkasaan bahasa kebangsaan itu juga meliputi bidang yang dianggap kritikal termasuklah bidang perundangan, iaitu bidang yang berkaitan rapat dengan undang-undang dan mempunyai terma-terma tertentu yang diwarisi daripada bahasa Inggeris.
Sebahagian daripada perundangan di negara ini masih tertulis atau terwarta dalam bahasa Inggeris dan banyak pihak terutamanya pengamal undang-undang yang mempersoalkan adakah bahasa kebangsaan mampu untuk mengungkapkan persoalan undang-undang semasa berlangsungnya perbicaraan di dalam mahkamah?
Ujar beliau lagi, andaian yang mengatakan bahawa sesi perbicaraan dalam mahkamah tidak boleh dijalankan secara sepenuhnya dalam bahasa kebangsaan adalah tidak tepat.
Sebenarnya, kalau kita hendak meneliti, DBP telah pun membentuk banyak istilah dalam pelbagai bidang termasuklah dalam bidang perundangan.
Seperti di Mahkamah Syariah, saya yakin bahawa bahasa kebangsaan telah digunakan dengan baik manakala di Mahkamah Sivil masih bergantung pada kemampuan pengamal undang-undang untuk menggunakan bahasa Melayu. Maka itu, pelaksanaan bahasa kebangsaan dalam perundangan sebenarnya boleh kita laksanakan.
Menurut beliau lagi, DBP telah menyediakan sejumlah istilah dalam bidang perundangan dan jika tidak cukup, pihak DBP boleh sahaja menggubal istilah yang diperlukan itu dari semasa ke semasa.
Dalam temu bual tersebut juga, YBrs. Dr. Hazami Jahari turut mengundang orang ramai untuk hadir bagi menyaksikan simposium ini pada tarikh dan tempat yang telah dinyatakan, bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 5.00 petang.
Simposium yang bakal dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek ini juga boleh ditonton secara langsung menerusi platform media sosial DBP.