Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan agensi di bawahnya, khususnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sentiasa bersedia menyokong dan mendukung usaha pemerkasaan bahasa kebangsaan dalam bidang undang-undang dan keseluruhan ranah di negara ini.
Dalam ucapan Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan, usaha tersebut merangkumi penyediaan kursus bahasa dan pelaksanaan program yang bersesuaian seperti pertandingan debat dan pidato bagi memantapkan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan pengamal undang-undang khususnya para peguam.
Usaha murni ini amat penting kerana akses berkaitan dengan undang-undang yang bersifat dwistandard perlu dielakkan, khususnya dalam sistem penyampaian sehingga keadilan tidak dapat ditegakkan untuk menjamin hak dan keharmonian rakyat Malaysia yang penuh kerencaman.

Demikian menurut beliau dalam ucapan perasmian Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan dalam Bidang Undang-undang di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pagi tadi.
Selain itu, beliau turut mengulas lanjut bahawa penganjuran Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan dalam Bidang Undang-undang penting untuk menyokong hasrat pemartabatan dan memuliakan bahasa kebangsaan dalam sistem undang-undang di negara ini.
Simposium ini bertujuan untuk menjadikan bidang undang-undang tidak bersifat elit kepada pengamalnya sahaja, sebaliknya bidang undang-undang perlu bersifat merakyat dengan menjadikan bahasa kebangsaan sebagai wahana bagi mencapai matlamat tersebut.
“Simposium pada hari ini telah menghimpunkan tokoh, pengamal bidang undang-undang, ahli akademik, pentadbir dan pelajar jurusan undang-undang untuk menanam serta menyemai kecintaan, mewujudkan sikap megah bahasa dalam kalangan semua pihak,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan pada masa ini pernah menjadi bahasa teras bagi undang-undang bertulis dalam negara sebelum kedatangan British.
Antara undang-undang yang menggunakan bahasa Melayu termasuklah Hukum Kanun Melaka, Undang-undang Laut Melaka, Hukum Kanun Pahang, Undang-undang Kedah, Undang-undang Johor dan Undang-undang 99 Perak.
Perasmian simposium tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan yang mewakili YB Puan Fadhlina Sidek.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapan alu-aluannya berkata, penganjuran simposium ini diharapkan dapat memperlihatkan suatu pencapaian, gagasan dan cadangan bagi menyegerakan proses pelaksanaan bahasa kebangsaan digunakan dalam bidang undang-undang.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut termasuklah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan; Timbalan Ketua Pengarah Syariah, Jabatan Bantuan Guaman, YBrs. Tuan Haji Abdul Nassir Abdul Aziz; Profesor Pusat Kajian Undang-undang Malaysia dan Perbandingan, Universiti Kebangsaan Malaysia, YBhg. Profesor Dr. Kamal Halili Hassan; Yang Dipertua Badan Peguam Malaysia, YBrs. Tuan Mohamad Ezri Abdul Wahab dan Presiden Persatuan-peguam Muslim Malaysia, YBrs. Tuan Muhamad Hisham Marzuki.