Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Bahasa kebangsaan merupakan bahasa mahkamah yang wajib digunakan dalam prosiding pada semua peringkat mahkamah. Namun begitu, penggunaan bahasa kebangsaan bukanlah secara mutlak kerana Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 memberikan kuasa kepada mahkamah untuk menggunakan budi bicaranya bagi menjalankan sebahagian daripada prosidingnya dalam bahasa Inggeris.”
Demikian menurut Peguam Bela dan Peguam Cara, Yang Berbahagia (YBhg.) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dalam pembentangannya di Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan dalam Bidang Undang-undang di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.
Dalam sesi pertama yang mengangkat tema “Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Mahkamah”, beliau berpendapat bahawa usaha dalam memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa mahkamah bermula daripada pengamal undang-undang dan pelajar undang-undang di Malaysia itu sendiri.
Menurut beliau,

Terdapat kecenderungan menggunakan bahasa Inggeris dalam penghujahan, penulisan penghakiman dan komunikasi antara peguam serta hakim.
Usaha diteruskan oleh Jabatan Peguam Negara pada 1974 apabila satu inisiatif telah diambil dengan penubuhan Bahagian Bahasa Kebangsaan supaya dokumen undang-undang, triti dan perjanjian disediakan dalam bahasa kebangsaan.
Tambah beliau lagi, apabila British mentadbir Tanah Melayu, sistem perundangan berasaskan common law telah diperkenalkan dan bahasa Inggeris menjadi dominan dalam mahkamah.
Walau bagaimanapun, selepas Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 diperkenalkan, akta tersebut memperuntukkan semua prosiding mahkamah dilaksanakan dalam bahasa Melayu kecuali jika terdapat kepentingan keadilan yang memerlukan penggunaan bahasa lain.
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyebut status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tanpa menjejaskan hak mana-mana individu untuk menggunakan bahasa lain selain bahasa Melayu.
Sementara itu, pensyarah di Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) YBrs. Profesor Madya Dr. Ramalinggam Rajamanickam berkata, institusi pendidikan tidak kira sama ada Institusi Pengajian Tinggi Awam atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTA/IPTS) memainkan peranan yang penting dalam menentukan hala tuju bahasa kebangsaan di mahkamah.

Beliau menjelaskan bahawa terdapat sesetangah IPTA yang mendapat kebenaran daripada pihak yang berautoriti untuk menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya semasa proses pembelajaran.
“Sejauh manakah IPTA secara berleluasa menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar? Soalnya berapa banyak pula IPTS menggunakan bahasa Inggeris dalam mengendalikan proses pembelajaran?” ujar beliau yang juga Ahli Lembaga Pengelola DBP.
Oleh itu, katanya peranan institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam memperkasakan bahasa kebangsaan terutamanya dalam mahkamah.
Turut serta dalam sesi ini termasuklah Yang Dipertua Badan Peguam Malaysia, YBrs. Tuan Mohamad Ezri Abdul Wahab dan Profesor Pusat Kajian Undang-undang Malaysia dan Perbandingan UKM, YBhg. Profesor Dr. Kamal Halili Hassan selaku pengerusi sesi.