Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Kepakaran dalam bidang bahasa Melayu boleh diperbaik dan diperluas apabila kita menggunakan teknik aplikasi dengan latihan yang terancang dan bukan hanya teoritikal semata-mata,” ujar YBrs. Dr. Supian Mohamad Noor selaku pembimbing Kursus Pemugaran Tatabahasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Akademi DBP yang berlangsung pada 19 hingga 20 Februari 2025 di Dewan Bankuet, Menara DBP.

Kursus yang disertai oleh staf DBP pelbagai jabatan ini merupakan platform terbaik bagi individu yang ingin memperkasakan tatabahasa dengan lebih baik sekali gus membantu peserta memahami dan menguasai peraturan tatabahasa bahasa Melayu, termasuklah penggunaan imbuhan, ejaan dan struktur ayat yang betul di samping meningkatkan keterampilan peserta dalam menghasilkan penulisan yang berkualiti dan berkesan.
Pembimbing kursus ini merupakan mantan pensyarah dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur merangkap cendekiawan bahasa yang pakar dalam bidang bahasa Melayu khususnya sintaksis.
Menurut YBrs. Dr. Supian Mohamad Noor, kursus ini memberikan impak yang besar bahawa ilmu tatabahasa yang diketahui oleh mereka belum mencukupi. Apabila beliau memberikan hujah dan peraturan yang betul kepada peserta, mereka akan lebih yakin untuk menghayati tatabahasa bahasa Melayu.

Sementara itu, melalui latihan dan perbincangan interaktif dalam kursus ini, peserta bukan sahaja dapat memperkukuh penguasaan bahasa Melayu, bahkan menyedari bahawa penggunaan bahasa ini seharusnya diperkasakan dalam semua aspek kehidupan.
Kesalahan tatabahasa yang lazim juga dapat dikenal pasti dan penggunaan tatabahasa yang betul dapat diaplikasikan dalam melakasanakan tugasan harian.