Diterbitkan pada 27 Februari 2025, 16:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tanjong Malim – Sebanyak 20 orang penjawat awam Persekutuan dan negeri telah menghadiri Kursus Asas Penerbitan Buku Digital yang dianjurkan oleh Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) bermula pada 25 Februari 2025 hingga 27 Februari 2025.

Selaras dengan minat para peserta, kursus ini memberikan pendedahan kepada peserta tentang asas penulisan dan penerbitan. Selain itu, kursus ini juga membantu peserta meningkatkan kemahiran dalam tugas hakiki khususnya penghasilan bahan penerbitan rasmi dan kandungan berkualiti untuk jabatan dan agensi.

Peserta kursus yang hadir terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi termasuklah Perpustakaan Negara Malaysia, Perbadanan Adat-adat Melayu Warisan Negeri Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah, Politeknik Sultan Azlan Shah, Kolej Komuniti Teluk Intan dan beberapa jabatan lagi.

Sepanjang tiga hari berkursus, peserta didedahkan dengan beberapa proses penerbitan seperti pembentukan jawatankuasa, penetapan struktur dan format buku serta pendaftaran ISBN/ISSN.

Selain itu, peserta turut diberikan panduan tentang cara mereka bentuk buku digital, pendaftaran penerbitan serta pemasaran buku digital.

Kursus ini dikendalikan oleh Puan Noor Azira Abdull Razak, iaitu Pustakawan INSTUN yang berpengalaman dalam pengendalian penerbitan buku dan bahan ilmiah INSTUN serta beberapa lagi agensi.

Menurut penyelaras kursus, iaitu Puan Yusmila Ishak, kursus yang julung kali diadakan oleh INSTUN ini bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta untuk mengenali jenis dan format penulisan di samping memahami stuktur buku.

Tambahnya lagi, penyertaan kursus yang dikendalikan oleh Seksyen Perpustakaan dan Penerbitan INSTUN ini telah dibuka kepada penjawat awam daripada jabatan lain dan mendapat sambutan yang cukup menggalakkan. Hal ini menunjukkan bahawa banyak penjawat awam yang meminati bidang penerbitan dan penulisan buku dan kursus ini membuka peluang yang lebih meluas untuk mereka meneroka tentang ilmu penerbitan dan penulisan buku.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi