Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Bahasa kebangsaan merupakan elemen bahasa perantaraan yang penting oleh seluruh masyarakat khususnya dalam bidang perundangan yang melibatkan kes-kes pembicaraan mahkamah.”
Demikian pembentangan yang disampaikan oleh Ahli Dewan Negara, YB Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin dalam sesi kedua Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan dalam Bidang Undang-undang yang bertajuk “Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Penggubalan Undang-undang” di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, semalam.
Menurut beliau,
“Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 152 memperuntukkan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan boleh digunakan di beberapa bahagian mahkamah dalam tempoh 10 tahun selepas mencapai kemerdekaan.”
Tambah beliau lagi, sejarah pengembangan bahasa kebangsaan dalam bidang perundangan negara bermula pada awal tahun 1980-an.
Ujar beliau,
“Universiti Malaysia (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menawarkan kursus dalam bidang undang-undang kepada mahasiswa setelah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berjaya diperluas sehingga kini.”
Beliau turut menegaskan bahawa para peguam di mahkamah haruslah menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi mahkamah termasuklah menterjemah bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu agar ianya lebih mudah difahami dan diteliti.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Puan Mediha Mahmood pula menekankan kepentingan pengawalan kod kandungan dalam rangkaian Internet dan media sosial.
Menurut beliau, kawalan akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), merupakan rangkaian penting yang dikawal selia dalam industri komunikasi dan media.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia merupakan badan yang bertanggungjawab mengawal selia kod, pengurusan aduan dan pendidikan menerusi promosi kandungan.”
Selain itu, beliau turut mengupas tentang cabaran membangunkan negara makmur melalui kemajuan industri komersial termasuklah dominasi bahasa asing yang kerap digunakan dalam media dan digital. Selain itu, perkembangan teknologi yang semakin pesat menyebabkan istilah baharu dalam bahasa Inggeris muncul selain keseimbangan antara kemajuan teknologi dengan pemartabatan bahasa selaras dengan kemajuan kecerdasan buatan (AI).

Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan dalam Bidang Undang-undang sesi kedua ini dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Perdana Menteri, YBhg. Dato’ Norazmi Mohd Narawi.
Turut hadir dalam simposium ini termasuklah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Puan Roziah Md Yunus; Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia, Tuan Muhammad Hisham Marzuki dan Ahli Lembaga Pengelola DBP.