Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLagu raya sering didendangkan setiap kali menjelang hari raya. Secara umumnya, terdapat dua jenis lagu raya, iaitu lagu raya klasik dan lagu raya moden. Lagu raya klasik merujuk lagu yang dicipta pada sekitar tahun 1950-an hingga 1990-an dan masih popular sehingga kini. Lagu raya moden pula merangkumi lagu yang dicipta selepas tahun 2000.
Hiburan berbentuk lagu ini menjadi pilihan kerana mampu menyebabkan seseorang itu mengimbau nostalgia, seterusnya merindui keluarga dan kampung halaman. Namun begitu, terdapat perbezaan pandangan terhadap pemilihan lagu raya antara lagu raya klasik dengan lagu raya moden setiap kali menjelang hari raya.
Bagi sesetengah orang, lagu raya moden, seperti Raya Nak ke Mana?, Meriah Lain Macam, Serumpun dan Raya Pum Pang, tidak dapat menandingi keindahan dan keunikan lagu raya klasik, seperti Dendang Perantau, Selamat Hari Raya, Indahnya Beraya di Desa dan Suasana Hari Raya. Hal ini disebabkan oleh lagu raya moden yang kurang malar segar dan tidak mampu merentas generasi walaupun tetap mempunyai unsur kemelayuan.
Dalam artikel ini, penulis memfokuskan perbezaan dari segi bahasa, gaya dan struktur yang disampaikan dalam lagu raya klasik dan lagu raya moden. Dari segi bahasa, lagu raya klasik mempunyai ciri bahasa yang puitis dan indah. Hal ini dikatakan demikian kerana lirik lagu raya klasik banyak menggunakan bahasa yang berbunga-bunga, puitis dan mempunyai metafora, kiasan dan perumpamaan.
Selain itu, lirik lagunya mempunyai keindahan dan kekuatan jati diri yang disampaikan dengan penuh perasaan sehingga menjadikan liriknya lebih mendalam dan menyentuh hati. Sebagai contoh, lirik lagu Balik Kampung dan Dendang Perantau menggunakan bahasa yang menggambarkan kesedihan perantau yang tidak dapat pulang ke kampung dengan kata yang halus dan sopan, di samping lirik yang lebih formal dan mengikut tatabahasa yang betul. Contoh lirik daripada lagu ini ditunjukkan dalam contoh (1) dan contoh (2).
Lagu raya moden pula menggunakan bahasa yang mempunyai pendekatan yang segar dan kontemporari dalam usaha untuk meraikan Aidilfitri. Lirik lagunya lebih moden dan menampilkan gaya yang lebih santai, segar dan sesuai dengan trend muzik pada masa ini. Sebagai contoh, lirik lagu Meriah Lain Macam dan Serumpun menampilkan keunikan lagu raya moden sehingga menjadikannya menarik, indah dan menghiburkan.
Walau bagaimanapun, lagu raya tersebut menggunakan bahasa yang rancu (pengaruh bahasa pasar dan bahasa Inggeris) dengan alasan mengikuti trend semasa. Selain itu, kedua-dua lagu ini kurang penggunaan perumpamaan atau metafora klasik, tetapi lebih terus kepada maksud yang dikehendaki. Contoh lirik daripada lagu ini ditunjukkan dalam contoh (3).
Dari segi gaya, lagu raya klasik banyak menekankan konsep atau tema berfokus, seperti memohon maaf, merapatkan silaturahim dan merayakan hari raya dengan penuh kesyukuran. Gaya yang ditonjolkan juga menekankan elemen kerinduan terhadap kampung halaman.
Di samping itu, keadaan yang digambarkan melibatkan suasana perantau pulang ke kampung dan nostalgia beraya bersama-sama keluarga. Sebagai contoh, lirik lagu Kepulangan yang Dinanti menggambarkan keadaan sentimental yang melahirkan rasa rindu terhadap orang tersayang. Lirik ini membangkitkan kenangan indah zaman dahulu, terutamanya bagi orang yang mempunyai pengalaman beraya di kampung. Contoh lirik daripada lagu ini ditunjukkan dalam contoh (4).
Dari segi gaya, lagu raya moden sering menggabungkan pelbagai genre muzik, seperti pop, R&B, hip-hop dan muzik tarian elektronik (EDM), seterusnya menjadikannya lebih bertenaga dan moden. Ada juga lagu moden yang menggabungkan elemen tradisional, seperti gamelan, keroncong dan irama asli, yang memberikan sentuhan nostalgia.
Sebagai contoh, lirik Lagu Raya menggabungkan elemen pop dan rentak yang dinamik, seterusnya menjadikannya lagu raya yang moden dan terkini, Raya Nak ke Mana mengilhamkan irama zapin dalam persembahan dan Satu Hari di Hari Raya menggabungkan elemen pop moden dengan melodi yang masih mengekalkan suasana raya yang klasik.
Dengan melodinya yang segar dan lebih menarik, ditambah dengan irama yang rancak dan penuh semangat, lirik lagu ini lebih mesra pendengar dan mudah dihafal. Contoh lirik daripada lagu ini ditunjukkan dalam contoh (5) hingga contoh (7).
Dari segi struktur pula, ada lirik yang dicipta berdasarkan perbualan dan disampaikan secara duet. Sebagai contoh, lagu klasik Seloka Hari Raya menceritakan perbualan antara lelaki dengan perempuan tentang keadaan dan pesanan pada hari raya. Strukturnya menyebabkan lagu ini masih diminati hingga kini.
Kini, ada ciptaan versi moden antara suami dengan isteri dalam komunikasi harian, iaitu lagu Meriah Lain Macam. Lagu ini unik kerana menggunakan elemen cinta dan kasih sayang dengan cara mengulang kata “sayang” sebanyak 36 kali, selain video muziknya yang lebih berunsur humor dan mengandungi lakonan suasana raya.
Secara keseluruhannya, lagu raya klasik dan lagu raya moden tetap membawa semangat Aidilfitri dan suasana gembira ketika menyambut hari kemenangan ini. Walaupun lagu klasik tetap malar segar, lagu raya moden membuktikan bahawa muzik raya sentiasa berevolusi dan relevan dengan peredaran zaman.