Diterbitkan pada 25 Mei 2025, 20:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Permainan Roda Kata yang ditampilkan dalam bentuk digital, bersifat interaktif dan lebih menarik menjadi tumpuan pengunjung  reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025.

Permainan tersebut merupakan komponen dalam Program Sahabat Kata yang dianjurkan oleh Bahagian Perkamusan, DBP di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Sebagai rekod, permainan Roda Kata merupakan aktiviti yang sinonim dengan Bahagian Perkamusan, namun menampilkan kelainan pada tahun ini apabila dilaksanakan secara digital dan berlangsung di atas pentas.

Program yang berkonsepkan didik hibur tersebut bertepatan dengan iltizam untuk mendidik pelajar dan masyarakat tentang cara menggunakan kamus dengan betul dalam suasana yang santai.

Selain itu, program ini juga bertujuan menggalakkan masyarakat terutamanya pelajar untuk mengenali kamus secara lebih dekat.

Program yang berlangsung selama satu jam ini disertai oleh mahasiswa dari Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia yang turut memeriahkan program tersebut.

Dalam permainan Roda Kata Digital yang berlangsung dengan dua pusingan, sebanyak enam orang peserta telah mengambil bahagian di atas pentas dan mereka dikehendaki menjawab soalan mengikut kategori yang dipaparkan secara rawak pada skrin.

Selaras dengan objektif program, peserta perlu merujuk Kamus Dewan Perdana (KDP) untuk mendapatkan jawapan yang tepat. Hal ini secara tidak langsung melatih mereka menggunakan kamus dengan cara yang betul.

Peserta perlu menjawab soalan mengikut kategori yang dipaparkan pada Roda Kata Digital dengan merujuk Kamus Dewan Perdana (KDP).

Sesi permainan Roda Kata ini kemudiannya dibuka kepada pengunjung yang berminat untuk menguji kemahiran mereka dalam penggunaan kamus.

Nurliz Haziqah binti Agus, pelajar dari Universiti Malaya telah dinobatkan sebagai peserta paling menyerlah dan aktif.  Kesemua peserta yang terlibat membawa pulang cenderamata istimewa, iaitu baucar buku DBP, buku terbitan DBP dan buku nota.

Yang turut hadir dalam program ini termasuklah Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera (JBBS) DBP,  YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin bin Dato’ Paduka Mohamed dan  Ketua Bahagian Perkamusan, Puan Zuraini binti Yeop Ahmad.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi