Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kuiz “Bijak Kata, Pandai Bicara” anjuran Bahagian Buku Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 berjaya mencuri tumpuan pengunjung dengan penyertaan yang aktif dan penuh semangat di reruai DBP semalam.
Acara kuiz “Bijak Kata, Pandai Bicara” mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran ramai peserta yang memenuhi reruai DBP sepanjang penganjurannya.
Acara ini menampilkan kehadiran istimewa YBrs. Dr. Muhammad Faizul Abdul Hamid, iaitu pensyarah dari Universiti Putra Malaysia yang turut memberikan dorongan dan inspirasi kepada peserta untuk menguasai bahasa dengan lebih baik. Kuiz ini bukan sahaja menguji kecekapan peserta dalam mengeja dan memahami bahasa Melayu dengan tepat, malah turut menyuntik semangat cintakan bahasa kebangsaan.

Program ini berperanan sebagai medium untuk menyemai kecintaan terhadap bahasa Melayu dalam pelbagai lapisan umur. Suasana yang penuh meriah menjadikan acara kuiz ini antara acara tumpuan yang menceriakan PBAKL 2025. Peserta yang aktif turut menerima hadiah sebagai tanda penghargaan daripada DBP. Melalui penganjuran seperti ini, DBP terus komited dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasakan penggunaan bahasa yang betul dalam kalangan masyarakat.