Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Bahasa telah melancarkan 25 judul buku ilmiah dalam bidang bahasa Melayu dalam Majlis Pelancaran Buku Ilmiah Bidang Bahasa Melayu yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).
Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara, Parlimen Malaysia dan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA, Yang Berhormat (YB) Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Haji Awang bin Sariyan.

Menurut YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Haji Awang bin Sariyan, kurangnya penulisan buku ilmiah linguistik dalam bahasa Melayu berpunca daripada beberapa isu utama termasuklah kekurangan geran penyelidikan dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan, serta kurangnya pengiktirafan terhadap karya ilmiah berbahasa Melayu dalam sistem penarafan institusi pengajian tinggi (IPT).
Beliau turut menyeru agar pihak Kementerian Pendidikan Tinggi dan IPT meningkatkan sokongan dengan menambah geran penyelidikan dan memberikan pengiktirafan yang sewajarnya terhadap karya ilmiah dalam bahasa Melayu.
Ujar beliau lagi,
Sokongan institusi melalui geran dan pengiktirafan terhadap penerbitan berbahasa Melayu sangat penting bagi merancakkan penghasilan karya ilmiah, khususnya dalam bidang linguistik.
Pelancaran ini membuktikan bahawa komitmen DBP yang berterusan dalam merancakkan penerbitan ilmiah dapat memperkukuh perkembangan bahasa Melayu dalam wacana keilmuan arus perdana.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Mohd Anuar bin Rethwan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Haji Awang bin Sariyan atas kesudian beliau merasmikan Majlis Pelancaran Buku Ilmiah Bidang Bahasa Melayu pada hari ini.
“Pada pagi ini, DBP melancarkan 25 judul buku ilmiah bidang bahasa Melayu, hasil penulisan pakar bidang bahasa Melayu. Syabas diucapkan kepada semua penulis atas kejayaan ini. Tahniah kepada DBP atas usaha berterusan dalam menerbitkan karya ilmiah.”
Terdahulu sebelum berlangsungnya majlis tersebut, satu sesi Bicara Buku Pragmatik: Teori dan Praktis oleh Ahli Lembaga Pengelola DBP, Yang Berbahagia (YBhg.) Profesor Dr. Nor Hashimah binti Jalaluddin telah diadakan. Sesi bicara ini telah menarik perhatian ramai pengunjung reruai DBP.

Dalam sesi tersebut, YBhg. Profesor Dr. Nor Hashimah menjelaskan secara lebih mendalam tentang aspek teori dan aplikasi bidang pragmatik dalam konteks linguistik Melayu, dengan memberikan beberapa contoh peribahasa dan pantun yang sering digunakan dalam masyarakat.
Majlis Pelancaran Buku Ilmiah Bidang Bahasa Melayu turut dihadiri oleh Penerbit Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Press merangkap Pengerusi Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), Yang Berusaha (YBrs.) Profesor Madya Dr. Siti Rahmah binti Awang; Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani binti Omar (yang menjalankan tugas Pengarah Jabatan Penerbitan DBP); Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa, YBrs. Puan Noraini binti Abd Shukor; Ketua Editor Bahagian Multimedia, YBrs. Puan Naimah binti Yusof; Ketua Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan, YBrs. Puan Sylee Riza binti Arif; tokoh bahasa serta penulis buku.
Senarai judul Buku Ilmiah Bidang Bahasa Melayu yang dilancarkan pada hari ini adalah seperti yang berikut:
| Bil. | Judul | Penulis/Editor |
| 1. | Makna dan Nilai Kata “Setia” Berdasarkan Pendekatan Linguistik Kognitif | Hishamudin Isam |
| 2. | Sosiolinguistik: Dinamik, Variasi dan Perubahan | 1. Che Ibrahim Salleh
2. Norazlina Mohd Kiram 3. Arbak Othman |
| 3. | Dialek Melayu Hulu Pantai Timur Semenanjung Malaysia | Mohd Tarmizi Hasrah |
| 4. | Narratives of Malaysian Indigenous Peoples: A Historical Linguistic Study of Their Migration and Settling Down | Asmah Haji Omar |
| 5. | Teori Relevan dan Penerapannya dalam Bahasa Melayu | Hasmidar Hassan |
| 6. | Bahasa Penan Selungo: Huraian Fonologi, Morfologi dan Sintaksis | Asmah Haji Omar |
| 7. | Keberdayaan Bahasa Melayu: Teori dan Aplikasi | Pitchay Gani Aziz |
| 8. | Bahasa Melayu Abad Ke-17: Dokumentasi Eropah | 1. James T. Collins
2. Karim Harun |
| 9. | Dialektologi Bahasa Peribumi | Editor:
1. Nur Faaizah Md Adam 2. Santrol Abdullah |
| 10. | Suara dan Rasa dalam Terjemahan Naratif | Editor: Rokiah Awang |
| 11. | Emosi, Bahasa Figuratif dan Teori Relevan | 1. Mary Fatimah Subet
2. Nor Hashimah Jalaludin |
| 12. | Kemahiran Kesedaran Fonologi: Pengaruhnya terhadap Literasi Murid Dwibahasa | 1. Chan Sheok Ee
2. Rogayah A Razak 3. Lim Hui Woan |
| 13. | Pengenalan Nahu Fungsional | Mohammad Fadzeli Jaafar |
| 14. | Merunut Varian Lembangan Sungai Terengganu: Aplikasi Sistem Maklumat Geografi | 1. Shahidi A. Hamid
2. Mohamad Firdaus Azaharuddin |
| 15. | Perkataan dalam Al-Quran dari Aspek Semantik dan Bunyi | 1. Mat Taib Pa
2. Mohamad Hussin 3. Siti Sara Ahmad |
| 16. | Penterjemahan Budaya dalam Bahasa Melayu | Editor: Goh Sang Seong |
| 17. | Pragmatik dan Analisis Wacana Melayu | Mohammad Fadzeli Jaafar |
| 18. | Pragmatik: Teori dan Praktis | Editor: Nor Hashimah Jalaluddin |
| 19. | Kamus Loghat Kedah | Asmah Haji Omar |
| 20. | Hikayat Merong Mahawangsa: Interpretasi Teks dan Nilai Sejarah | Asmah Haji Omar |
| 21. | Bahasa Kentak Bong: Huraian Fonologi dan Nahu | Asmah Haji Omar |
| 22. | Tujuh Ilmu Pilihan dalam Bahasa Melayu yang Mendahului Bahasa Inggeris Jilid I | Shaharir Mohamad Zain |
| 23. | Sintaksis Kanak-kanak Kecelaruan Bahasa Perkembangan | Norsofiah Abu Bakar |
| 24. | Stilistik dalam Puisi Melayu Moden | Mohammad Fadzeli Jaafar |
| 25. | Warisan Linguistik Bahasa Melayu | Mohd Tarmizi Hasrah |