Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Satu sesi ilmiah yang penuh makna menerusi program “Wacana Perihal Peribahasa” telah berlangsung pada 31 Mei 2025 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025. Program ni telah berjaya menghimpunkan tokoh-tokoh bahasa dalam satu sesi perbincangan yang bertujuan mengupas dan menyemarakkan lagi penggunaan peribahasa dalam kalangan masyarakat generasi kini.
Personaliti televisyen terkenal, iaitu Encik Irfan Syahmi Nasution yang juga merupakan pengacara program Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah bertindak sebagai moderator bagi sesi wacana tersebut. Beliau berjaya mengemudi sesi tersebut dengan penuh berinformasi dan santai.
Panel jemputan yang berkongsi ilmu dan pandangan dalam wacana tersebut ialah YBrs. Dr. Norhayati Ab. Rahman, Pakar Sastera Melayu (Panel 1); YBrs. Prof. Madya Dr. Samsudin Suhaili, Pensyarah dan Pakar Sosiobudaya (Panel 2) dan YBrs. Dr. Richard Ignacy, Pensyarah IPG Kampus Batu Lintang (IPGKBM) (Panel 3).
Dalam ucapan pembukaan, hadirin disajikan dengan tayangan montaj bertemakan peribahasa serta diperkenalkan kepada pelbagai buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang memperkaya khazanah peribahasa Melayu. Antaranya termasuklah Kamus Istimewa Peribahasa Melayu karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain yang telah dicetak ulang lebih 12 kali sejak diterbitkan pada tahun 1975, di samping buku-buku popular seperti Peribahasa Sekolah Menengah dan Peribahasa Sekolah Rendah hasil penulisan Puan Asiah Abdul Rahman.

Wacana ini bertujuan mengangkat martabat peribahasa Melayu sebagai warisan budaya bangsa, memperkaya penggunaan bahasa dalam penulisan dan pertuturan serta memberikan pendedahan kepada generasi muda tentang nilai-nilai yang terkandung dalam peribahasa.
Wacana ini menjadi semakin rancak apabila perbincangan menyentuh peribahasa yang dekat dengan jiwa generasi muda. Antara yang dibincangkan ialah peribahasa “perigi mencari timba” yang secara tradisional dianggap bertentangan dengan norma budaya Melayu kerana kebiasaannya pihak lelaki yang memulakan perhubungan. Perbincangan ini mendapat perhatian daripada penonton yang hadir, terutamanya generasi muda.
Program ini membuktikan bahawa peribahasa bukan sekadar warisan bahasa, malah merupakan cerminan budaya, nilai dan pemikiran bangsa yang harus dipelihara dan dimartabatkan sepanjang zaman.