Diterbitkan pada 3 Jun 2025, 12:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Promosi dan Pengiktirafan telah menganjurkan Wacana Puisi ASEAN yang berlangsung di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025. Program ini telah diadakan pada 1 Jun 2025, pukul 2.00 petang di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dan menghimpunkan tiga tokoh puisi dari Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura yang mewakili denyut nadi kesusasteraan serantau.

Wacana ini menampilkan YBrs. Dr. Haji Abang Patdeli bin Abang Muhi, Sasterawan Negeri Sarawak Ke-6; Yang Mulia Awang Suip bin Haji Abdul Wahab, Pemangku Pengarah DBP Brunei yang juga penyair prolifik dengan nama pena Nurfiq atau Naga Buana; serta Encik Chairul Fahmy bin Hussaini, penyair mapan dari Singapura yang lebih dikenali sebagai Alang Budiman, manakala moderator untuk wacana ini ialah Encik Muhammad Lutfi Ishak, sasterawan muda yang diangkat kerana kepakarannya dalam bidang puisi kontemporari.

Program ini berlangsung dalam tiga pusingan, dimulakan dengan dua sesi soal jawab antara moderator dengan ahli panel, diikuti oleh sesi ketiga yang dibuka kepada hadirin. Perbincangan tersebut telah menyentuh pelbagai topik termasuklah cabaran, kedudukan dan peranan puisi dalam membina jati diri serantau serta kesinambungan tradisi sastera dalam era digital dan globalisasi.

YBrs. Dr. Abang Patdeli menyatakan bahawa walaupun puisi mungkin kurang mendapat tempat dari segi komersial berbanding dengan novel, namun genre ini tetap berperanan penting dalam memperkukuh bahasa dan menyemai nilai kebangsaan. Menurutnya, wujud pelbagai platform yang terus mengangkat puisi di Malaysia seperti Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan, Hari Puisi Malaysia dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia, selain kepenyairan turut diambil kira dalam pemilihan Sasterawan Negara dan Anugerah S.E.A Write Award serta Hadiah Sastera Mastera.

Awang Suip pula berkongsi perkembangan puisi di Negara Brunei Darussalam yang kini semakin hidup dan berevolusi. Penyair di negaranya meneroka bentuk baharu seperti puisi potret yang diinspirasikan daripada karya visual seperti lukisan atau gambar. Beliau turut menyatakan bahawa syair dan sajak sering digunakan dalam acara rasmi kenegaraan, khutbah, dakwah serta menjadi medium mendekati masyarakat secara beradab dan berbudaya.

Encik Chairul Fahmy pula menyentuh realiti cabaran bahasa di Singapura, khususnya dalam kalangan generasi muda yang lebih fasih berbahasa Inggeris. Namun begitu, kepenyairan Melayu terus rancak menerusi pelbagai inisiatif seperti Anugerah Persuratan, Sayembara Sastera, Anugerah Panel Emas dan Pingat Budaya yang pernah dianugerahkan kepada tokoh penyair terkemuka seperti Isa Kamari dan Nadi Putra.

Menambahkan seri wacana, ketiga-tiga ahli panel turut mempersembahkan deklamasi puisi. Awang Suip mendeklamasikan puisi bertajuk “Gendang Ombak Bertalu” yang mengangkat semangat kemelayuan dan keteguhan bangsa, manakala Encik Chairul Fahmy menyampaikan sajak ciptaan sendiri bertajuk “Melayu Bikin Malu” yang menyentuh sisi kritis jati diri bangsa dalam dunia.

Dalam ucapan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami bin Jahari menyifatkan Wacana Puisi ASEAN sebagai manifestasi komitmen Malaysia dalam memperkukuh hubungan kesusasteraan serantau yang sejajar dengan peranan negara sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

 Acara ini bukan sekadar pertemuan ilmiah tetapi lambang kepada jalinan budaya dan kesusasteraan yang telah lama tumbuh di rantau ini. Walaupun kita berbeza dari segi sistem politik dan struktur negara, akar sejarah dan semangat kemanusiaan yang mengikat kita sebagai bangsa serumpun tetap utuh dan terus relevan.

Beliau menyambut baik idea asal program ini yang dicadangkan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek sebagai usaha menjadikan sastera sebagai wahana diplomasi budaya dan pemacu perpaduan ASEAN.

YBrs. Dr. Hazami turut mengutarakan cadangan agar wacana ini dijadikan acara tahunan dengan menjadikan Sarawak sebagai tuan rumah tetap bersempena dengan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan.

Masalah seperti pendanaan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha menyatukan penyair serantau. Justeru, kita akan merintis kerjasama dengan kerajaan negeri untuk menjadikan acara seperti ini lebih kukuh dan mampan.

Beliau turut menyokong cadangan menganjurkan pengembaraan kesusasteraan atau pelayaran sastera yang menghubungkan penulis dari Kalimantan Barat, Singapura, Selatan Thailand dan Borneo melalui aktiviti berkala dan pelbagai.

YBrs. Dr. Hazami Jahari dan tetamu kehormat lain.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari dan tetamu kehormat lain.

Pada akhir ucapannya, Ketua Pengarah DBP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan acara ini termasuklah ahli panel, moderator dan rakan-rakan sastera dari negara jiran.

Semoga pertemuan ini bukan yang pertama dan terakhir, sebaliknya menjadi pencetus kepada kerjasama berpanjangan yang menyuburkan akar sastera Nusantara.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi