Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sekali lagi mencuri tumpuan pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada hari keempat dengan tarikan program Sahabat Kata.
Sahabat Kata merupakan permainan bahasa, iaitu Cakna Kata yang buat pertama kalinya dimainkan bersempena dengan PBAKL 2025. Tema permainan yang dipilih adalah yang berkaitan dengan istilah, dialek, bahasa Orang Asli dan ejaan Jawi.

Permainan berbentuk didik hibur yang dikendalikan oleh Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP ini memberi ruang kepada para peserta dan khalayak untuk memperoleh pengetahuan bahasa melalui kuiz interaktif.
Kira-kira 100 orang khalayak telah mengikuti program ini yang terdiri daripada pegawai dari Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), pelajar Universiti Malaya (UM), Universiti Selangor (UniSel) dan pengunjung reruai DBP.
Nurul Aida Natasha, seorang daripada peserta Sahabat Kata dari UM berpandangan bahawa permainan didik hibur seperti ini perlu diperbanyak pada masa akan datang agar masyarakat cakna dengan kata atau istilah baharu.
Begitu juga bagi Shakirah, pelajar UniSel yang berpendapat bahawa program seperti ini wajar diteruskan secara berkala bagi memastikan ilmu yang berkaitan dengan bahasa dapat diberikan secara berterusan kepada masyarakat.
Wakil MPSJ pula berpandangan bahawa permainan interaktif seperti ini sangat menarik jika dapat dibawa dan diperkenalkan ke pelbagai organisasi tidak kiralah sama ada sekolah, universiti, agensi kerajaan atau swasta.

Program ini telah berjaya menarik perhatian masyarakat dalam usaha untuk menyebarluaskan maklumat istilah, dialek, bahasa Orang Asli dan tulisan Jawi kepada masyarakat.