Diterbitkan pada 31 Mei 2025, 10:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

 

Pada masa ini, media sosial merupakan satu keperluan dalam kehidupan masyarakat tanpa mengira jenis pekerjaan, status sosial atau umur. Sekitar awal tahun 2000-an, laman sosial yang popular pada ketika itu ialah MySpace dan seterusnya diikuti oleh Twitter pada tahun berikutnya. Seiring dengan perkembangan teknologi, pelbagai aplikasi media sosial baharu telah muncul seperti Facebook, TikTok, Instagram dan WhatsApp yang digunakan secara aktif sehingga hari ini. Media sosial masa ini bukan sahaja berperanan sebagai medium interaksi sosial seperti bertanya khabar dan mendapatkan berita terkini, malah turut dimanfaatkan untuk tujuan perniagaan, promosi produk dan sebagai platform menunjukkan bakat. Walau bagaimanapun, penggunaan media sosial yang meluas ini telah memberikan kesan terhadap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Pengaruh media sosial terhadap bahasa Melayu dapat dilihat daripada dua sudut, iaitu sudut positif dan sudut negatif. Keadaan ini berkaitan secara langsung dengan isu linguistik yang semakin kompleks dalam era digital. Dari sudut positif, media sosial berpotensi menjadi wahana yang membantu mengukuhkan penguasaan bahasa Melayu melalui penggunaan harian dalam komunikasi, penulisan kandungan dan penyebaran maklumat. Namun begitu, dari sudut negatif, media sosial turut menyumbang kepada kemerosotan penggunaan bahasa Melayu yang baku apabila pengguna lebih cenderung menggunakan bentuk bahasa yang tidak gramatis, bahasa rojak atau singkatan yang menjejaskan struktur dan ketepatan bahasa Melayu.

Satu daripada pengaruh media sosial terhadap masyarakat ialah kecenderungan untuk menggunakan singkatan dalam gaya penulisan. Fenomena ini berlaku disebabkan oleh dorongan untuk menyampaikan pendapat dengan segera, secara santai dan keinginan untuk kelihatan moden dalam kalangan pengguna media sosial. Antara singkatan yang sering digunakan termasuklah “X” yang menggantikan perkataan “tidak” dan “nnt” yang menggantikan perkataan “nanti”. Penggunaan singkatan secara berterusan boleh memberikan kesan yang negatif terhadap ketepatan ejaan dalam aktiviti penulisan formal. Amalan ini berpotensi menyumbang kepada kesalahan ejaan yang berlaku secara tidak disedari, terutamanya apabila pengguna telah terbiasa menulis dalam bentuk ringkas di platform media sosial. Keadaan ini menimbulkan cabaran terhadap usaha mengekalkan standard bahasa Melayu yang betul dan baku dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, media sosial turut menyumbang kepada peningkatan penggunaan bahasa rancu dalam kalangan masyarakat. Bahasa rancu atau lebih dikenali sebagai bahasa rojak merujuk amalan mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam satu pertuturan atau penulisan. Pada asalnya, media sosial dimanfaatkan untuk tujuan komunikasi dan interaksi bagi memudahkan urusan harian, sama ada dalam bidang pekerjaan atau pendidikan. Namun begitu, penggunaan bahasa rojak pada masa ini semakin diterima umum sebagai budaya komunikasi harian yang dianggap biasa. Hal ini demikian kerana masyarakat beranggapan bahawa penggunaan bahasa rojak mencerminkan status sosial yang tinggi dan gaya hidup moden. Sebagai contoh, “time kejadian itu saya sedang lunch” merupakan gambaran yang jelas terhadap penggunaan bahasa rojak. Sekiranya amalan ini dibiarkan berterusan tanpa sebarang teguran atau penegasan terhadap kepentingan bahasa yang betul, maka kestabilan dan ketepatan struktur bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat akan terjejas, sekali gus melemahkan penguasaan terhadap bahasa Melayu yang baku dan berkesan.

Di samping itu, media sosial turut memberikan pengaruh terhadap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat, terutamanya ketika melaksanakan urusan rasmi. Sebagai contoh, dalam penulisan e-mel berkaitan dengan pekerjaan. Kesan daripada pengaruh tersebut berkemungkinan dokumen rasmi mengandungi kesalahan ejaan, susunan ayat yang tidak menepati tatabahasa bahasa Melayu, penggunaan istilah dan perbendaharaan kata yang tidak tepat. Situasi ini boleh menjejaskan tahap profesionalisme dan imej sesebuah organisasi. Hal ini demikian kerana pembaca beranggapan bahawa organisasi terbabit tidak menitikberatkan ketepatan, kualiti dan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan baku. Penggunaan bahasa Melayu yang tepat dan lengkap dalam konteks rasmi amat penting bagi memastikan kelancaran penyampaian maklumat, sekali gus mengelakkan kekeliruan dalam pemahaman oleh penerima maklumat.

Kesan media sosial terhadap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat turut dapat dilihat melalui kewujudan istilah yang direka sendiri dan tidak tersenarai dalam Kamus Dewan Perdana. Keadaan ini menggambarkan bahawa istilah tersebut tidak belum diiktiraf sebagai sebahagian daripada bahasa Melayu standard. Sebagai contoh, perkataan “mantul” merupakan gabungan tidak rasmi antara perkataan “mantap” dengan “betul” yang digunakan oleh sesetengah pengguna untuk membawa maksud sangat mantap. Perkataan ini sering digunakan bagi mengekspresikan rasa kagum dan dianggap menarik serta mencerminkan gaya bahasa yang moden dan terkini.

Tambahan pula, masyarakat kini lebih cenderung menggunakan istilah yang tular ketika berkomunikasi di media sosial seperti TikTok dan Facebook. Penggunaan istilah moden dan tidak baku seperti ini bukan sahaja mempengaruhi struktur bahasa, malah turut menyumbang kepada pengabaian warisan bahasa Melayu klasik. Dalam jangka masa panjang, kecenderungan ini berpotensi menghakis apresiasi masyarakat terhadap keindahan dan nilai sastera bahasa Melayu yang telah sekian lama menjadi tunjang kepada identiti bangsa.

Seterusnya, media sosial turut memberikan kesan yang positif terhadap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat. Kesan ini dapat dilihat melalui usaha segelintir pengguna yang menggunakan platform media sosial untuk menyampaikan kandungan kreatif dengan menggunakan bahasa Melayu yang betul dan teratur. Antara kandungan yang dihasilkan termasuklah puisi, cerpen, video pendidikan dan infografik yang berupaya menarik minat dan perhatian khalayak. Hal ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada perluasan penyebaran bahasa Melayu melalui kandungan digital yang berkualiti, sekali gus menggalakkan penggunaannya dalam bentuk yang lebih kreatif dan moden.

Kesimpulannya, media sosial memberikan pengaruh yang signifikan dalam mencorakkan cara masyarakat menggunakan dan menguasai bahasa Melayu. Platform media sosial menyediakan ruang yang luas kepada masyarakat untuk berinteraksi secara lebih kreatif dan meluas dalam penggunaan bahasa Melayu. Namun begitu, masyarakat turut terdedah kepada pengaruh negatif seperti penggunaan ejaan yang tidak baku, bahasa rojak dan kesalahan tatabahasa. Sekiranya isu ini tidak ditangani secara tuntas, keaslian bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan terjejas. Sehubungan dengan itu, penggubal dasar, pengguna dan pendidik hendaklah bersatu hati dalam memastikan penggunaan bahasa Melayu dalam media sosial dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab agar kedudukannya terus terpelihara dan selaras dengan perkembangan era digital masa ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi