Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDasar Bahasa Negara
Rakyat wajib menyedari bahawa Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan bahawa,
“Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen”
dan Perkara 152 (6) menegaskan bahawa,
“Dalam Perkara ini, maksud rasmi ertinya apa-apa jua maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam”.
Fungsi Bahasa Melayu (BM) diperkukuh lagi melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Terdapat akta khusus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai agensi pelaksana. Kuasa DBP di bawah akta tubuhnya, antaranya termasuklah diberikan peranan memberikan khidmat nasihat, menegur dan membimbing.
Pada hemat penulis, jika tindakan yang dilakukan masih tidak berkesan dan pihak-pihak berkenaan terus mengabaikan tanggungjawab, maka segerakanlah buat pindaan, khususnya bagi Akta Bahasa Kebangsaan. Aspirasi Perlembagaan merupakan aspirasi pembentukan identiti kenegaraan dan jati diri bangsa dalam pembinaan negara bangsa.
Sejak tahun 1957, kerajaan telah meletakkan satu wawasan bahawa BM akan dibina sebagai bahasa kesatuan bangsa dan dimajukan menjadi bahasa moden. Tugas pelaksanaan dasar bahasa ini patut dipikul oleh semua pihak berkuasa. Ingatlah bahawa tugas ini bukanlah tugas DBP semata-mata. DBP mungkin menjadi “pemantau” dengan “penanda aras” tertentu dalam pelaksanaan dasar yang sesuai dengan kehendak akta tubuhnya. Semenjak dari usia tahun kelahirannya pada tahun 1956, DBP telah berjaya melaksanakan matlamat seperti kehendak akta tubuhnya, khususnya dari segi pembakuan bahasa. BM sudah terbukti berjaya diangkat ke tahap bahasa ilmu.
Di atas tadi sudah disebut sedikit bahawa Dasar Bahasa Negara ini menjadi “Tanggungjawab Perlembagaan” (Constitutional Responsibility) dari segi pelaksanaan, penggunaan dan penyebarluasannya oleh semua pihak, apalagi urusannya melibatkan pelaksanaan maksud atau tujuan rasmi kerajaan pada peringkat Persekutuan, negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) yakni di sektor awam bahkan di sektor swasta, institusi dan organisasi. Hal ini bermakna semua pihak harus ingat bahawa tanggungjawab melaksanakan dasar bahasa adalah menjadi tanggungjawab bersama. Semua agensi, institusi, organisasi kerajaan dan swasta seharusnya menaruh rasa “megah” dan “bangga” dengan bahasa negara sendiri. Tanggungjawab Perlembagaan wajib dihayati dan dilaksanakan. Jika tidak bagaimanakah matlamat utama perpaduan negara dan bangsa itu dapat dicapai?
Sayogia diingati bahawa bahasa yang lain selain daripada bahasa Melayu, bahasa itu tidak mungkin dapat berperanan atau menjadi wahana perpaduan kerana terdapat kekurangan dan kelemahan tertentu. Kosa kata mana-mana bahasa asing itu tidak cukup bagi menyatakan aspek sosiobudaya, latar geobudaya, flora dan fauna yang berbeza serta kerelatifan budaya, apalagi kearifan tempatan. BM adalah bahasa di kota, bahasa di desa, bahasa di hulu negeri, bahasa yang dituturkan oleh pelbagai etnik dan suku kaum di Malaysia. Versi dialek daerah atau komuniti sahaja yang barangkali ada perbezaan sebutan dan ungkapan. Sifat asal bahasa Melayu yang semula jadi, bahasa lingua franca dan komunikasi umum zaman berzaman adalah antara faktor kekuatannya yang luar biasa. Hakikat ini diketahui semua. Ingatlah bahawa bahasa adalah unsur paling utama bagi jati diri bangsa.
Secara ringkasnya, Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan undang-undang Malaysia menetapkan perkara-perkara seperti yang berikut:
BM telah dipilih menjadi bahasa kebangsaan yang berperanan sebagai “penyatu” bagi bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Bagi mereka yang buta sejarah dan budaya sahaja, sama ada bukan rakyat asal atau rakyat asal sendiri yang sinis kadangkala menolak bahasa Melayu, sedangkan bahasa tersebut merupakan satu daripada teras ikatan terhadap perpaduan rakyat dan jambatan integrasi antara kaum dalam kehidupan berbangsa dan bernegara.
DBP ditubuhkan selari dengan Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan. Objektif penubuhan DBP sebagaimana akta tubuhnya adalah untuk;
(a) Membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang, termasuk sains dan teknologi.
(b) Memperkembang bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan.
(c) Mencetak, menerbitkan, membantu percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan bentuk kesusasteraan lain dalam bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa lain.
(d) Membakukan ejaan, sebutan, dan membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan.
(e) Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul.
(f) Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Di mana-mana pun di muka bumi ini, semua negara memiliki bahasa kebangsaan atau bahasa negara masing-masing. Satu bahasa ditetapkan atau dinamakan statusnya sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi pentadbiran negara. Di Singapura, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, manakala bahasa Cina, Tamil dan bahasa Inggeris menjadi bahasa rasmi mereka.
Perpaduan dapat dicapai dengan satu bahasa kebangsaan, wahana komunikasi umum dan perkongsian nilai-nilai sosiobudaya bangsa yang sama yang lahir melalui bahasa tersebut, bukan pelbagai bahasa campur aduk dan cacamarba sifatnya. Sesebuah negara bangsa yang maju tidak akan ke mana-mana sekiranya tiada kekukuhan perpaduan. Bahasa itu asas pembinaan tamadun dan kerana itulah bahasa menjadi antara pancang utama bagi jati diri bangsa Malaysia.
Lebih jauh lagi, kita perlu memahami bahawa bahasa bukan sekadar dimaksudkan untuk tujuan menulis, bercakap, berbicara, sebagai alat komunikasi dan tujuan penamaan semata-mata. Sebaliknya, peranan bahasa cukup besar dan luas kerana semuanya bermula melalui penguasaan bahasa, sebelum seseorang itu belajar bidang ilmu yang lain. Dalam bahasa, terisi ilmu dan bahasa negara pula mendukung ciri-ciri madaniahnya yang merupakan wahana jati diri kebangsaan, wahana komunikasi dan perpaduan bangsa serta mendukung fungsi komunikatif dan fungsi rasmi bahasa kebangsaan, iaitu “Satu bahasa kebangsaan bagi seluruh negara bangsa Malaysia”.
Bahasa Melayu sebagai bahasa negara bermaksud keperluan dalam negara, iaitu;
Cuba renungi tentang fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa pendidikan, bahasa kesusasteraan, bahasa kebudayaan, kesenian, agama dan falsafah, bahasa ekonomi, perniagaan, perdagangan, industri, bahasa ilmu tinggi, sains dan teknologi. Letakkan fungsi bahasa itu ke dalam satu kerangka besar kenegaraan dan fikirkan maju mundurnya.
Jika sehingga tahun 2000 bahasa Melayu dikatakan mulai mantap, mengapakah sekarang bahasa ini sedang menuruni cerun ke lembah dalam yang tidak pasti? Apakah yang terjadi selepas dua dekad berlalu dan laluan untuk beberapa dekad akan datang?
Kemajuan Pelaksanaan Dasar Bahasa Negara
DBP mempunyai tugasnya yang khusus. Ya, bukan tanggungjawab DBP seratus peratus terhadap pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan dalam semua sektor kerana penggunaan bahasa kebangsaan itu meliputi pelbagai urusannya oleh pihak yang berbeza. Sebagai contoh dalam bidang komunikasi, komersial, perdagangan, industri dan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Jika pihak berkuasa kerajaan dan swasta memahami aspirasi Perlembagaan dalam bidang bahasa, secara perundangan pun, rakyat Malaysia tidak dilarang menggunakan bahasa ibunda atau belajar bahasa etnik atau dialek masing-masing. Tindakan meminggirkan status dan citra bahasa kebangsaan tidak menunjukkan satu sikap patriotisme dan nasionalisme.
Mengapakah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menunjukkan bahawa bahasa kebangsaan itu belum digunakan sepenuhnya secara meluas atau tidak memainkan peranan yang utama bagi urusan komersial dan perdagangan dalam negeri, industri, sains dan teknologi, dan urusan-urusan dalam negeri yang lain? Tempat bahasa Melayu itu diambil oleh bahasa asing yang lain terutamanya bahasa Inggeris. Malah, kualiti bahasa Melayu didapati merosot, terutama sekali apabila bahasa Melayu digunakan secara bercampur aduk dengan bahasa Inggeris.
Soalnya di Malaysia sekarang, apakah benar bahawa fungsi rasmi dan fungsi kebangsaan bahasa Melayu sedang diambil alih oleh bahasa Inggeris? Bahasa Melayu berhadapan dengan aneka cabaran untuk dipertahankan. Dalam banyak perkara, memang statusnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang terpinggir, bahkan dipinggirkan. Penekanan berlebihan terhadap penggunaan bahasa Inggeris tanpa disedari menjadikan rakyat sendiri yang meminggirkan bahasa negara, wujudnya situasi menang-kalah – menang bahasa Inggeris, kalah bahasa Melayu.
Citra kenegaraan dan kebangsaan Malaysia seolah-olah kian kabur oleh kekeliruan berbahasa. Status bahasa kebangsaan di Malaysia bagaikan melukut di tepi gantang berbanding dengan negara bangsa yang lain. Apakah mustahil suatu waktu wajah Malaysia itu pada masa akan datang bertopengkan budaya asing?
Kemajuan pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK) menunjukkan bahawa pencapaiannya masih berada pada tahap “kebeluman” dan “kerendahan” sebagai bahasa rasmi; sebagai bahasa kebangsaan; bahasa pengantar pendidikan; sebagai bahasa ekonomi, perniagaan, perdagangan dan perkhidmatan kewangan; sebagai bahasa penyelidikan, penciptaan dan pembangunan sains dan teknologi; penggunaannya dalam amalan industri (industri tinggi, industri kecil dan sederhana) dan bidang profesional (perubatan, kejuruteraan, kepeguaman, kewangan). Apakah ini bermakna obor semangat sudah tidak abadi dan api dari suatu zaman itu akan padam oleh tiada lagi kesaktian lidah rakyat?
Bahasa Inggeris, pada masa ini kelihatan sedang mengambil kedudukan yang istimewa sehingga nama kawasan, papan tanda, taman perumahan, gudang dan gedung perniagaan dinamakan dengan nama-nama Inggeris.
Kita sudah dengar berkali-kali sejak sekian lama, misalnya isu papan iklan dan papan tanda di bawah penyeliaan PBT yang mengabaikan status bahasa kebangsaan. Malah pernah timbul isu papan tanda di Shah Alam kerana ada percubaan meletakkan bahasa Cina sama taraf dengan bahasa kebangsaan. Apakah cahaya nyalaannya itu tidak dikongsi bersama oleh pimpinan dan pentadbiran kerajaan?
Persoalannya ialah sejauh manakah rakyat memahami dan menghayati kedaulatan undang-undang dan peruntukan yang menetapkan bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam melaksanakan maksud Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun, Kerajaan Negeri dan PBT? Mengapakah kemajuannya turun naik, bermusim, dan tidak konsisten? Mengapakah kurangnya keazaman pimpinan agensi, institusi dan organisasi bahkan betapa malapnya political will? Apakah rakyat Malaysia faham bahawa mereka tidak dilarang menggunakan, belajar atau mengajar bahasa-bahasa lain termasuklah bahasa kaum atau etnik sendiri? Janganlah sekali-kali menyamakan status antara rasmi dengan tidak rasmi, antara hak negara dengan hak kaum.
Hakikat meraikan “kepelbagaian” yang ada di Malaysia disebabkan perbezaan kaum, etnik dan suku bangsa, agama dan kepercayaan, adat resam serta aspek kebudayaan, sepatutnya segenap lapisan rakyatnya akur bahawa alat utama perpaduan itu melalui bahasa yang sama kerana bahasa milik bersama yang merentasi kaum, etnik dan masyarakat. Kesatuan dan persatuan bangsa sesungguhnya tidak mungkin akan dapat dicapai tanpa suatu bahasa kebangsaan. BM bukan hanya milik orang Melayu, sebaliknya milik kebangsaan rakyat dan milik negara. Malaysia tidak meletakkan dasar pelbagai bahasa secara laissez faire sebagai bahasa rasmi. Malaysia cuma ada satu bahasa negara dan Malaysia itu pun satu.
Malaysia akan mencapai status negara maju, tetapi rakyatnya tidak mahu mengamalkan sikap seperti rakyat di negara maju. Kita tidak malu kehilangan maruah dan tidak bersedia mempertahankan identiti negara bangsa Malaysia. Majukah kita dan merdekakah kita dengan sikap dan tabiat begitu? Jepun, Korea, China, Jerman, Perancis, Itali, dan Rusia sangat mencintai bahasa negara mereka sendiri. Cintakah kita terhadap bahasa negara? Apakah ini bermakna Malaysia juga memerlukan suatu reformasi dalam pembinaan, pengembangan dan penggunaan bahasa bagi menghormati penggunaan bahasa negara ibarat kita menghormat diri kita sendiri.

Kini sudah hampir tujuh dekad (1956-2025) DBP sebagai agensi pembina dan pengembang bahasa tidak henti-henti “bertarung” antara kekeliruan persepsi dengan “kemestian” memartabatkan bahasa Melayu. Rupa-rupanya tidak semua pihak menjulang bahasa negara. Sepatutnya bahasa kebangsaan dijunjung dan bahasa Inggeris atau lainnya yang dikelek.
Malaysia merupakan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Tetapi kemerdekaan dan kedaulatan itu dicemari pula oleh kian nipis dan lunturnya jiwa patriotisme. Orang-orang politik pun bersikap bungkam mendiamkan diri, mungkin kerana tidak tahu dan tidak faham akan isu bahasa atau sengaja mendiamkan diri, serta mencari jalan selamat di lajur politik. Mereka tidak menjelaskan situasi dan menekankan betapa pentingnya keluhuran Perlembagaan dijunjung dan kedaulatan undang-undang dipertahankan seperti mana prinsip Rukun Negara.
Terdapat petanda bahawa rakyat mengambil fahaman sesuatu perkara kenegaraan itu sebagai perkara persendirian, bukannya keMalaysian. Adakah sesudah beberapa dekad, rakyat belum membuang tanggapan negatif bahawa bahasa Melayu itu dianggap bahasa orang Melayu bukan sebagai bahasa negara atau bahasa kebangsaan Malaysia, sebaliknya bahasa Melayu hendaklah dilihat sebagai bahasa negara dan tidak wajar melagakannya dengan bahasa Inggeris.
“Obor Semangat Nan Abadi” menyemarakkan cahaya obor semangat demi kesejahteraan nusa bangsa. Kepentingan ilmu dalam tradisi pendidikan sangat kukuh. Tujuan mengembangkan ilmu dan menyatukan umat yang terdiri daripada dari pelbagai kaum dan etnik seperti di Malaysia ini juga adalah melalui bahasa. Jadi di situ, letaknya peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, penyebaran pengetahuan, komunikasi bahkan fungsinya lebih luas daripada itu. Walaupun bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa negara, bukan bermakna ditolak kemungkinan bagi rakyat menguasai bahasa utam dunia atau disekat mempelajar bahasa kaum sendiri.
Lihatlah apakah yang telah dan sedang terjadi kepada Malaysia? Aspirasi Perlembagaan bagaikan tidak dihayati dan prinsip-prinsip Rukun Negara sekadar menjadi ucapan di bibir. Keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang tidak dipegang kuat atau teguh dilaksanakan. Meskipun ada penegasan konsep tentang rule of law.
Pada zaman globalisasi dan teknologi moden ini, ada keperluan bagi generasi muda Malaysia untuk menguasai lebih daripada dua bahasa, misalnya selain bahasa negara sendiri, adalah bahasa Inggeris dan ada pilihan untuk kemahiran komunikasi dalam bahasa Arab, Sepanyol, Perancis dan bahasa-bahasa Asia. Ada keperluan hubungan diplomatik, dagang dan komunikasi. Di negara seperti Korea, Jepun, China, Rusia, Perancis, Jerman dan di Asia-Pasifik, bahasa Melayu/Indonesia dipelajari, selain fungsi yang disebutkan itu, juga untuk mereka mengenali warisan dan pemikiran peradaban Melayu. Masalah yang timbul dalam kelangan kita ialah persepsi yang sempit.
Jati diri, keperibadian dan sahsiah sesebuah negara bangsa selamanya terletak di atas bahasa negara. Bahasa adalah asas pembinaan tamadun bangsa. Malaysia memerlukan suatu keberanian baru, kekuatan aspirasi dan keazaman politik (political will) yang benar-benar padu, bertindak dan melaksanakan dasar bahasa negara seperti mana kehendak undang-undang.
Matlamat tersebut tidak akan dapat dicapai tanpa wujudnya kesedaran dan keinsafan yang semestinya berpedomankan Perlembagaan. Keazaman dan perancangan strategik yang benar-benar serius, kebijaksanaan dan hikmah tindakan yang akan merobah senario lembab pencapaian bahasa pada masa ini.
Jadikanlah cahaya yang terang benderang ke atas diri bangsa oleh “Obor Semangat Nan Abadi” sebagai suatu penerusan perjuangan. Di ruang inilah letaknya falsafah “bahasa jiwa bangsa” pegangan DBP dalam mengukuhkan semangat rohaniahnya melalui ruang lingkup pembinaan dan pengembangan fungsi utamanya.
Artikel disesuaikan berdasarkan syarahan penulis dalam Wacana Peradaban Perkara 152: “Obor Semangat Nan Abadi” bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia pada 25 Jun 2025 anjuran DBP Wilayah Timur bertempat di Maktab Sultan Ismail (SIC), Kota Bharu.